Novel Cerpen Cerita Online Terbaik
Perkongsian hasil karya kreatif termasuk novel dan cerpen.
Friday, 18 July 2014
Sunday, 13 July 2014
Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: Cerpen
Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: Cerpen: Cerpen Seikhlas Kasih, Cerpen Cinta Dalam Diam, Cerpen Mr Vampire, Cerpen Mata, Cerpen Semanis Madu, Cerpen Yang Ketiga Vol 1, Cerpen Yang ...
Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: CERPEN : Yang Ketiga
Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: CERPEN : Yang Ketiga Vol 1: Muzik berdentum kuat hingga membingitkan telinga dalam kelab malam itu. Kesemua manusia dalam kelab itu bagai telah hilang kewarasan akal. ...
Saturday, 12 July 2014
Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: Novel Bahagia buat Natrah - Part 1
Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: Novel Bahagia buat Natrah - Part 1: BAB 1 Suasana di bandaraya Kuala Lumpur sesak dengan banjiran manusia. Terik matahari diredah meski bahangnya membakar kulit. Dari jauh...
Novel Bahagia buat Natrah - Final
BAB 21
Hakim berpaling bila
terasa sesuatu di baling ke arahnya dari belakang. Lamunannya tercantas. Dia
dapat melihat Natrah yang tersenyum memandangnya.
“Oo… Sayang baling abang dengan batu?
Nakalnya.” Hakim cuba mendekati isterinya yang berdiri agak jauh dari tempatnya
berdiri, namun langkahnya terhenti melihat Natrah menghalakan telapak tangan
kanan ke arahnya. Berkerut dahinya melihat kelakuan Natrah.
Natrah menapak selangkah dua mendekati
suaminya. Nafas dihela. Langkahnya yang mula-mula perlahan semakin laju. “Ouch!
Sayang..” Hakim kini terbaring di atas pasir dan Natrah berbaring di atasnya. Tangan
Natrah dilingkar pada pinggang Hakim. Pelukan Natrah begitu erat sekali.
“Kenapa ni?” Belakang isterinya diusap
lembut. Hairan dia dengan sikap Natrah yang sukar ditebak ini. Dia melepaskan
keluhan perlahan. Nafasnya sedikit sesak namun hatinya tetap berbunga dipeluk
erat isterinya. Kali ini isterinya sendiri yang meluru ke dalam pelukannya
dengan rela.
Natrah melepaskan pelukannya lalu duduk
bersimpuh menghadap suaminya yang duduk berlunjur. Wajah Hakim yang berkerut diusap.
Tangannya itu kemudian dipegang Hakim. “Kenapa ni, Natrah?” Risau juga melihat
perubahan Natrah. Apa sebenarnya yang telah terjadi? Gadis itu mengigaukah?
Natrah tersenyum manis. Hanya buat Hakim.
Wajahnya dirapatkan ke telinga Hakim. “Saya sayang suami saya.” Gemersik suara
Natrah menyelinap masuk ke pendengaran Hakim. Kelu lidahnya untuk membalas
kata-kata Natrah. Wajah mulus Natrah yang tersenyum dipegang. Matanya tidak
berkelip memandang wajah itu. Dia yakin dia tidak bermimpi. Semerdu itu suara
isterinya.
Hakim terus-terusan
merenung Natrah dengan senyuman. Kekok Natrah mahu membalas renungan Hakim.
Entah mengapa, gelisah benar dia malam itu. Hakim tidak membenarkan dia
berganjak walau seinci jauh darinya. Tangannya digenggam kejap Hakim.
Natrah berdehem. “Saya dah confess dekat
awak tadi. Tapi awak tak jawab pun.” Matanya memanah simen lantai. Sedikitpun
tidak membalas renungan menggoda suaminya.
“Apa?
Saya, awak? Well, Natrah nak ABANG jawab apa?” Hakim masih enggan mengeluarkan
ayat yang Natrah nantikan. Sengaja mahu mengusik Natrah.
“Ye lah. Saya dah cakap… Emm, awak cakaplah
pula.” Merah kembali muka Natrah yang putih bersih. Hakim tertawa kecil melihat
reaksi isterinya. Natrah merungut dalam hati. Kenapalah dia perlu luahkan
perasaan dia dahulu. Kan dah malu. Tapi, dia hanya mahu suaminya mendengar ayat
itu sebagai ayat pertama yang keluar dari bibirnya.
“Natrah cakap apa, ya?” Hakim masih enggan
mengaku kalah. Melopong Natrah melihat sikap Hakim yang berpura-pura bodoh itu.
Hakim menolak dagu Natrah agar mulut isterinya kembali tertutup. Natrah
mendengus geram.
“Tak apa.. Awak tak ingat tak apa. Saya
tarik balik kata-kata saya.” Natrah mencebik. Tangannya ditarik dari genggaman
Hakim lalu disilangkan. Dia mengalihkan pandangannya dari Hakim. Terasa dia
dipermainkan suaminya sendiri.
Hakim meraih tubuh Natrah ke dalam
pelukannya. Natrah hanya membatukan diri. Terasa hangat pelukan itu. Hakim
menongkatkan dagunya ke ubun-ubun Natrah. Haruman rambut Natrah menyapa
derianya.
“Kalau Natrah sayang suami Natrah, abang
lagi sayang isteri abang.” Senyuman terukir di bibir Natrah. Tangannya
diletakkan ke dada bidang suaminya. Jelas dia merasa degupan jantung suaminya
yang kencang. Sama sepertinya. Hakim mengucup lembut dahi dan kemudiannya
beralih ke bibir munggil Natrah. Tangannya mengusap perlahan belakang
isterinya. Hakim tidak mampu lagi menepis naluri lelakinya. Natrah juga hanyut
dalam pelukan suami yang dicintainya.
BAB 22
Hakim terjaga dari lelapnya. Dia mencapai
telefon bimbitnya. Baru pukul lima pagi. Tapi, Natrah tiada di sisinya. Ke mana
isterinya menghilang?
Hakim bangun menuju ke bilik air sambil
menggosok-gosok matanya. Mungkin isterinya ke situ. Namun sangkaannya meleset.
Hatinya mula gelisah melihat tiada tanda isterinya berada di bilik itu. Tanpa
membuang masa, Hakim meluru keluar dari bilik itu. Hatinya dihimpit kerisauan
dan pelbagai persoalan.
Mungkinkah Natrah mengalami trauma yang sama
semula selepas apa yang berlaku malam tadi? Kalaulah dia mampu menahan diri,
mungkin Natrah tidak hilang seperti sekarang. Kini air matanya hampir merembes
keluar. Tak mungkin. Bukankah Natrah telah sembuh? Mustahil. Betapa dia memohon
agar segala tekaannya salah.
“Awak!” Sedikit tinggi
suara Natrah memanggil Hakim. Pelik dia melihat Hakim yang kelam kabut semacam.
Macam kena rasuk pun ada.
Hakim berpaling saat
mendengar suara isterinya. Terus dia berlari ke arah Natrah lalu tubuh ramping
itu dirangkul erat agak lama hinggalah Natrah sendiri menolak lembut tubuh sasa
Hakim. Mahu patah pinggangnya dipeluk Hakim sebegitu.
Hakim merenung wajah mulus Natrah. Tiada
tanda trauma pada wajah cantik itu. Jadi, ke mana Natrah pergi meninggalkannya
lena seorang diri.
“Natrah pergi mana? Abang minta maaf kalau
Natrah tak suka apa yang jadi antara kita semalam. Itu semua salah abang. Abang
minta maaf, tapi jangan tinggalkan abang.” Serak basah suaranya merayu agar
Natrah tidak bertindak drastik meninggalkan dia.
Berkerut dahi Natrah mendengar kata-kata
yang keluar dari bibir suaminya. “Apa awak cakap ni? Awak mengigau ke?”
Tangannya dilambai-lambai di hadapan wajah Hakim. Mana tahu kalau-kalau betul
suaminya mengigau.
Tangan Natrah di hadapan wajahnya ditangkap
lalu digenggam erat. Hakim menggelengkan kepalanya. “Abang janji abang tak buat
lagi. Abang takkan paksa Natrah lagi. Kita balik, jom.” Hakim menarik lengan
Natrah namun Natrah tidak berganjak.
“Awak. Saya rasa awak dah salah fahamlah.
Saya okay. Lagipun… Hal semalam tu… Emm…” Natrah berjeda sebentar. Merona merah
wajahnya saat kenangan manis yang telah memeterai hubungan yang halal antara
mereka kembali ke ingatannya. Dia merenung sejenak wajah suaminya. Memang dia
pasti suaminya berfikir yang bukan-bukan. Nampaknya, walau segan dia harus
memberitahu Hakim apa yang dia rasa.
“Kita kan suami isteri. Awak tak paksa pun…”
Kini giliran Hakim pula merona merah. Mereka sama-sama hanyut meladeni cinta
yang akhirnya terluah mengatasi ego. Tapi, sungguh dia tidak ingat semua itu
saat mendapati Natrah tiada lagi di sisinya.
Hakim melepaskan pegangannya. Sebelah
tangannya mencekak pinggang manakala sebelah lagi tangannya memegang belakang
tengkuknya. Walaupun suatu masa dahulu dia liar, namun buat kali pertamanya dia
mengalami perasaan sebegini.
“Habis tu, Natrah pergi mana pagi-pagi buta
ni?” Hakim memandang sekilas Natrah yang masih lagi menunduk. Pelik ke mana
isterinya menghilang tanpa berita.
“Pukul lima macam ni, biasanya kami kejut
budak-budak bangun tidur. Bersiap tunggu dekat masjid.” Hakim terangguk-angguk
seperti burung belatuk.
Natrah kembali tertunduk. Waktu itu matanya
menangkap di sebalik samar-samar cahaya kaki Hakim yang tidak beralas.
“Awak tak pakai selipar?” Berkerut dahi
Natrah. Sudahlah kawasan ini banyak duri. Tidak sakitkah suaminya itu?
Hakim turut tunduk merenung kakinya. Dia sendiri
tidak perasan yang dia meluru keluar berkaki ayam. Yang ada dalam kepalanya hanya
Natrah. Sekarang, bila dia sudah perasan barulah dia merasa sedikit pedih dan
rasa berdenyut-denyut di kakinya.
“Awak ni kan. Ada ke
keluar ke tanah tak pakai selipar. Tak pasal-pasal luka. Nasib baik tak ada
paku karat ke apa ke.” Natrah membebel pada Hakim sambil menyapu ubat luka di
kaki Hakim yang diletakkan di atas ribanya. Tak sayang kaki betul dia ni.
“Sayang juga Natrah dekat abang. Tapi kan.
Baru abang tahu. Natrah ni suka membebel rupanya.” Terpana seketika Natrah
melihat Hakim yang hanya tersengih seperti kerang busuk. Secara automatik
Natrah menekan kuat luka di kaki Hakim.
Apa lagi… Terjerit kecil Hakim dibuatnya.
Mengekek Natrah melihat reaksi Hakim. Comel juga lelaki itu. Kulit lelaki itu
yang agak cerah kembali kemerahan.
“Hisy! Sayang ni kan..” Hakim menarik hidung
kecil mancung Natrah. Kemudian bibirnya diketap sengaja mengacah gadis itu yang
sudah tertawa kecil.
“Hakim menyimpan bagasi
pakaiannya dan Natrah ke dalam bonet kereta. Kemudian dia mendekati Natrah yang
masih berpegangan tangan dengan Farida.
“Natrah jangan lupa sekali-sekala jenguklah
ummi dekat sini.” Farida mencium kedua-dua belah pipi Natrah.
“Insyaallah, ummi. Natrah pergi dulu.
Assalamualaikum.” Natrah menyambut tangan Hakim yang dihulurkan padanya lalu bergerak
meninggalkan Farida yang mengiringinya dengan senyuman.
“Waalaikumussalam.” Farida memandang kereta
Natrah hingga hilang dari pandangan. Dia dapat melihat sinar kebahagiaan pada
pasangan itu. ‘Berbahagialah anakku…’ Bisik hati kecilnya.
BAB 23
“Woi! Tengok siapa ada dekat sini. Pheewwit!
Imam masjid siot!” Langkah Helmi terhenti. Dia berpaling mencari pemilik suara
yang sangat dikenalinya.
“Tok imam, tok imam… Saya ni jahat. Tuhan
ampunkan saya, tak? Hmm?” Remy terus-terusan menyakitkan hati Helmi. Dia
sebenarnya marah kerana Helmi menghilang dan keluar dari kumpulannya begitu
sahaja sedang lelaki itu merupakan sumber kewangannya.
“Kau nak apa?” Helmi cuba sedaya upayanya
agar tidak terlalu mengikut amarah. Situasi begini lebih baik dikawal dengan
ketenangan dan akal yang waras.
“Aku nak apa? Aku nak duit la, tolol!” Remy
menunjal-nunjal kepala Helmi hingga Helmi terundur setapak dua.
“Aku tak ada duit.” Jujur sahaja Helmi
menjawab. Dia sememangnya ada sedikit duit yang diberi Dato’ Syukor sementara
mencari kerja baru di luar sana, namun satu sen pun tidak disentuhnya. Dia
lebih rela mengikat perut dan membanting tulang bekerja sebagai buruh kasar.
Dia tidak layak menerima duit itu sedang Dato’ Syukor terang-terangan membuangnya
dari keluarga itu.
“Apa? Tak ada duit? Heh! Kau ingat aku ni
bodoh ke? Anak Dato’ tak ada duit.” Remy menggosok hidungnya. Giannya untuk
dadah semakin menjadi-jadi. “Macam ni la, kawan. Aku pakai cara baik kau tak
nak. Nampak gayanya aku kena pakai cara kasar.”
Remy mengeluarkan kamera dari poketnya. Mahu
pitam Helmi melihat aksinya memperkosa Natrah terakam dalam kamera itu. Dia
segera mencapai kamera itu, namun Remy lebih pantas bertindak mengacahnya
dengan pisau. Tindakan Helmi terhenti.
“Allah!” Penutup botol
mineralnya terlepas dari tangannya sewaktu dia cuba menutup botol itu. Dia
melepaskan keluhan ringan.
Hakim mencapai penutup botol air mineralnya
yang tergolek agak jauh darinya. Saat dia berdiri tegak semula, matanya
menangkap kelibat adiknya, Helmi. Dia segera berlari mendekati Helmi apabila
menangkap imej lelaki asing menghalakan pisau ke arah adiknya. Kayu di tepi
jalan di capai.
Tanpa amaran, kayu bersaiz sederhana itu
hinggap di belakang Remy hingga lelaki itu jatuh menyembah tanah. Pisau dan
kameranya tercampak di atas jalan. Baru dia hendak bangun membalas, Hakim
pantas mengacah dengan kayu yang masih di tangannya. Remy lari meninggalkan
tempat itu.
Hakim memandang Helmi yang terpaku bagai
orang bodoh. Hakim mengambil kamera yang tercampak dari tangan Remy sebentar
tadi. Tangannya menggeletar melihat apa yang terakam dalam kamera itu. Dia
pasti kedua-duanya adalah adiknya dan isterinya.
Bagai baru tersedar dari mimpi, Helmi
merampas kamera di tangan abangnya. Namun, segalanya telah terlambat. Satu
penumbuk padu hinggap di pipi adiknya.
“Rupa-rupanya… KAU!” Hakim tidak dapat
membendung kemarahan yang dia rasakan. Kayu di tangannya dilibas tanpa arah.
Kotak-kotak kosong di dinding berterabur menerima penangannya. Helmi hanya
mampu memerhati abangnya melampiaskan kemarahan.
Hakim melangkah masuk
ke dalam rumah. Natrah yang sedang leka berborak dengan Dato’ Syukor dan Bik
Yanti tersedar akan kehadiran Hakim di muka pintu. Dia segera mendapatkan Hakim
diikuti Dato’ Syukor.
Dengan
senyuman manis, Natrah menghulurkan tangan mahu menyalami suaminya. Namun,
senyumannya mati apabila Hakim dengan dinginnya berlalu meninggalkan dia
seolah-olah dia tidak wujud di situ.
Baru Dato’ Syukor ingin menegur Hakim,
matanya menangkap kelibat Helmi. Hatinya mula rasa tidak senang. Natrah
mengekori langkah Hakim ke bilik.
“Hakim dah tahu, abah.”
Helmi tertunduk merenung lantai. Dato’ Syukor memicit-micit kepalanya. Anak dan
menantunya baru sahaja mahu menjenguk kebahagiaan. Tapi, bala lain pula yang
datang menimpa. Dari reaksi Hakim, jelas anaknya tidak mampu menerima kenyataan
ini.
“Macam mana boleh jadi macam ni?” Dato’
Syukor sudah tidak larat memikirkan setiap dosa keluarganya terhadap Natrah.
Sedang Natrah langsung tidak tahu-menahu akan perihal ini.
Helmi hanya diam. Mahu diceritakan pun dia
rasa tiada tenaga. Andai Hakim menyampaikan perkara ini pada Natrah… Mungkin gadis
itu tidak akan memaafkan dia buat selama-lamanya.
Natrah mengambil tempat
duduk di atas katil bersebelahan suaminya. Namun, hatinya tersentuh apabila
Hakim bangkit dan duduk di sofa pula. Sedaya upaya dia menahan rasa.
“Kenapa dengan awak ni? Saya ada buat salah
dengan awak ke?” Natrah merenung anak mata Hakim. dia sedar suaminya itu
melarikan pandangan darinya. Entah di mana silapnya kali ini sedang dia baru
hendak merasa secangkir kasih seorang suami.
Hakim hanya menahan rasa. Tidak… Memang ini
bukan salah Natrah… Tapi, aku juga mangsa. Adik aku sendiri yang telah
menghancurkan hidup gadis yang dia cintai. Adiknya sendiri… Bukan orang lain…
Kenapa mesti Helmi? Layakkah lagi dia menggelar dirinya sebagai suami Natrah?
Keluarganya banyak berdosa pada Natrah. Dia benci dengan dirinya sendiri.
Hakim meninggalkan Natrah sendirian menjeruk
rasa. Saat itu, hatinya terlalu terluka dan pedih untuk memikirkan tentang
perasaan Natrah. Hakim mencapai bagasinya lalu menyumbatkan apa sahaja pakaian
yang sempat dicapainya ke dalam beg itu.
“Awak nak pergi mana? Kenapa dengan awak
ni?” Natrah memegang lengan Hakim cuba menghentikan perbuatannya. Hakim menepis
dan secara tidak sengaja tertolak Natrah hingga gadis itu terduduk di lantai.
Hakim sendiri terkejut dengan perbuatannya.
Baru dia hendak membantu Natrah bangun, dia kembali memalingkan muka. Dia tidak
sanggup menyentuh Natrah buat masa ini. Dia tidak mampu…
“Ni bukan salah kau. Tapi aku… Maaf, aku tak
boleh jelaskan apa-apa buat masa ni.” Hakim segera meninggalkan Natrah yang
masih berteleku di atas lantai. Luluh hati Natrah mendengar panggilan ‘aku-kau’
oleh suaminya. Apa yang telah dia lakukan?
BAB 24
Natrah termenung di jendela. Sudah tiga hari
tiada khabar dari Hakim. Rindu yang menepu dalam jiwanya semakin tidak mampu
ditahan lagi. Sejak Hakim tiada, kini Helmi pula kembali menjadi penghuni setia
rumah ini.
Banyak kali juga Helmi cuba memujuk hatinya
yang nanar rindukan Hakim. Malangnya, sedikitpun tidak mampu menyembuh luka.
Selera makan Natrah turun mendadak sekali dengan berat badannya. Dia kecewa
ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebab dan musabab yang munasabah.
Natrah mendail lagi nombor telefon Hakim
buat kesekian kalinya. Hanya suara operator yang menyambut panggilannya. ‘Awak…
Kenapa awak buat saya macam ni. Sebelum ni, awak janji awak takkan lukakan hati
saya.’ Entah berapa kali hatinya merintih dibiarkan dalam kegelapan. Tidak tahu
sebab perubahan tiba-tiba Hakim.
Natrah memandang kosong
pinggan berisi steak di hadapannya. Bawalah dia ke hotel seratus bintang
sekalipun, seleranya tetap mati. Jika dipaksa juga, jawabnya akan keluar semula
dari mulutnya.
“Hakim.” Hampir serentak suara Dato’ Syukor
dan Helmi memanah pendengaran Natrah. Segera Natrah mengangkat kepalanya.
Matanya bergenang dengan air jernih melihat wajah yang siang malam dirinduinya.
Natrah segera bangun menuju ke arah Hakim
yang leka berbual dengan rakannya di kaunter. “Awak…” Natrah bersuara menarik
perhatian Hakim dan kawannya. Senyuman Hakim semakin hambar sebaik wajah Natrah
hinggap di kornea matanya.
“Siapa tu?” Kawan Hakim menampar ringan bahu
Hakim. Badrul merasa seperti pernah melihat gadis itu, tetapi dia tidak mampu
mengingatinya.
“Tak ada siapa-siapalah. Aku tak kenal pun.
Jom, blah.” Hakim berlalu meninggalkan Natrah yang kelu mendengar bicaranya.
Dia tahu hati isterinya terluka, tapi dia turut berduka. Dia masih belum
bersedia untuk kembali pada Natrah.
Badrul memandang
perubahan temannya. Dia sememangnya tahu akhir-akhir itu Hakim ditimpa masalah
tapi nampaknya seperti masalah itu berganda beratnya selepas kemunculan gadis
itu. Siapa gadis itu? Dia yakin dia pernah berjumpa dengan gadis itu. Dia mula
membuka satu-persatu laci ingatannya.
“Hah! Baru aku ingat. Dia isteri kau kan.
Nama dia…” Badrul memejamkan matanya cuba mengingati nama isteri kawan baiknya.
“Natrah.” Akhirnya Hakim bersuara. Nama yang
dia rindui setiap saat. Tapi luka yang ditanggungnya terlalu dalam.
“Seriously, dude. What is happening sampai
kau buat isteri kau macam tu sekali?” Dia tahu Hakim dikahwin paksa tapi
padanya tidak wajar Hakim memperlakukan Natrah sebegitu. Walhal jelas terpancar
duka dalam anak mata gadis itu yang seolah-olah sudah hilang cahayanya. Malah
Hakim sendiri… Wajahnya jelas cengkung dan tidak terurus. Kenapa mesti menyeksa
hati Natrah jika dia sendiri menjadi terseksa?
“Hakim… I’m your friend. Tell me. What has
happen?”
Setelah didesak beberapa kali, barulah Hakim
menceritakan satu persatu yang terjadi. Badrul pula sekejap mengangguk, sekejap
menggeleng. Tumpah simpatinya pada Natrah yang tidak henti-henti ditimpa
kedukaan.
“Hati aku sakit, Bad.” Rintih Hakim.
“You are so selfish.” Badrul merenung tajam
Hakim membuatkan dahi Hakim berkedut seribu.
“What do you mean?” Sangkanya Badrul akan
mengurangkan pedihnya tapi, rakannya itu menuduhnya sebegitu pula.
“Apa yang membuatkan kau fikir luka di hati
kau lebih parah dari luka di hati Natrah. Dari cerita kau, aku rasa Natrah
bagai dipermainkan keluarga kau. Dia mangsa sebenar dalam hal ni. Adik kau,
Helmi hancurkan hidup dia. Masa depan dia. Kau? Kau seperti dah robek hati dia
yang sedia hancur. Aku rasa kalau kau belah dada dia dan jenguk hati dia, baru
kau akan tahu macam mana nanarnya jiwa perempuannya diperlakukan macam itu.
Kalau aku jadi dia, mungkin pintu kemaafan takkan terbuka lagi untuk kau dan
family kau.” Panjang lebar Badrul bercerita
“Tapi, aku…” Hakim masih cuba memberi logik
tindakannya meninggalkan Natrah. Badrul perlu faham yang dia turut terluka.
“Hakim… Kau rasa apa yang akan Natrah buat
kalau dia tahu hal ni? Kau tinggalkan dia macam tu je. You kept her in the
dark. Kalau ditakdirkan suatu hari nanti dia yang tinggalkan kau, apa yang kau
nak buat?” Badrul mengerutkan dahinya.
“Bad, itu yang aku takutkan. Itu yang aku
takutkan. Aku takut Natrah menuntut aku lepaskan dia. Aku takut dia melangkah
keluar dari hidup aku. Setiap kali aku lihat wajah dia, aku rasa diri aku
berdosa sangat. Apa yang Helmi lakukan. Apa yang aku pernah lakukan. Aku tahu
dia takkan aafkan aku Bad. Aku takut dia pergi Bad. Aku takut…” Hakim
memanggung kepala. Air mata lelakinya tumpah juga. Itulah yang dia sering
rasakan sejak kebenarannya terbongkar. Takut kehilangan ratu hatinya itu.
Badrul bangun dari duduknya lalu menarik
kerusinya ke sebelah Hakim yang masih dilanda sebak. Bahu rakannya dipegang. “Disebabkan
rasa takut kau itu, Natrah menderita. Kerana takut kehilangan dia, kau buat
seolah-olah dia tidak wujud dalam hidup kau. Tapi, kau masih rasa terseksa,
kan?” Hakim masih tertunduk.
Badrul melepaskan keluhan berat. “Kau kena
beritahu dia perkara sebenar. Masalah takkan selesai dengan kau melarikan diri
macam ni. She’s gonna need you to face the truth. Apa yang dah terjadi tak
dapat diubah lagi. Aku tahu kau rasa bersalah kerana Helmi itu adik kau. Tapi,
apa yang adik kau lakukan tidak ada kena-mengena dengan kau. Kau tak bersalah.”
Badrul cuba memujuk.
“Kau fikir Natrah akan rasa begitukah? Dia
pasti akan bencikan aku. Dan akhirnya, dia akan tinggalkan aku. Aku tak
sanggup, Bad. Aku terlalu sayangkan dia. Demi Allah, aku sayangkan isteri aku.”
Semakin laju air matanya meluncur keluar membasahi pipi.
“Kalau kau sayangkan dia, beritahu dia
perkara sebenar. Dia berhak tahu. Jangan jadi pengecut.” Lama Hakim terdiam.
Dia benar-benar menjadi pengecut saat berhadapan dengan situasi begini. ‘Ya
Allah, apa yang harus aku lakukan?’ Desah hati kecilnya.
BAB 25
“Abah, Helmi tak jangka
benda ni boleh jadi macam ni sekali.” Helmi memegang tangan Dato’ Syukor. Dia
benar-benar tidak menjangka segalanya terbongkar jua. Bukan niatnya…
“Macam mana kau kata tak boleh jangka? Semua
ni sebab dosa kau. Kau rogol dia. Kau tahu tak? Hidup Natrah dah hancur kau
kerjakan. Sekarang ni perkahwinan dia pula yang semakin retak. Puas hati kau?”
Dato’ Syukor menarik semula tangannya. Segala-galanya jadi berantakan!
Natrah terasa dunianya seperti berpusing.
Betulkah apa yang dia dengar keluar dari mulut Helmi dan Dato’ Syukor. Bibirnya
terasa kering, tekaknya terasa perih. Tangannya yang menggeletar memeluk
tubuhnya cuba menahan perasaan yang maha hebat melanda dirinya. Entah marah,
entah sedih, entah terkejut. Dia tidak pasti. Saat ini, apa yang dialaminya
terlalu hebat.
“Hakim tahu semua ini?” Natrah muncul
tiba-tiba di belakang Dato’ Syukor membuat kedua beranak itu terdiam. Serasa
berderau darah mereka melihat reaksi Natrah yang jelas telah mendengar
semuanya. Betullah kata Dato’ Syukor. Tiada rahsia di dunia ini.
“Hakim tahu tak?” Suara Natrah meninggi.
Buat kali pertamanya mereka mendengar lengkingan Natrah. Masing-masing
tertunduk merenung lantai.
Tersentak Hakim
mendengar suara Natrah. Segera dia membuka kasutnya lalu terus melangkah ke
dalam rumah. Dia dapat merasa suasana yang tegang dalam banglo mewah itu.
Hatinya tercarik melihat mata Natrah yang merah merenung tajam ke arahnya. Penuh
kebencian…
“Hebat… Seluruh ahli keluarga ni memang
hebat.” Natrah terasa kakinya bagai longlai. Segera dia menggunakan sofa
dihadapannya untuk menyokongnya berdiri. Rohnya bagai ditarik keluar dari
jasadnya. Dia menelan liur seketika. Perit…
“Puas kamu semua hancurkan hidup saya. Hah?
Apa yang korang nak dari saya? Apa dosa saya pada keluarga ni sampai maruah
saya, hidup saya dilayan lebih hina daripada sampah dekat tepi jalan.” Dia
meraup wajahnya. Cukup lumat hatinya dikerjakan mereka. Natrah memegang
dadanya. Sakit… Terlalu sakit dikhianati mereka yang telah dianggap sebagai
keluarga sendiri. Dalam esakan dia memukul dadanya.
“Tak guna saya cakap apa-apa lagi. Semuanya
dah jelas.” Natrah cuba memanggil semula kekuatan yang tersisa. Dia tak akan rebah
di hadapan keluarga ini. Sama sekali dia tak akan menunjukkan kelemahannya. Air
matanya diseka.
Natrah berjalan mendekati Hakim yang
dibaluti rasa bersalah. “Ceraikan saya.” Dunia Hakim terasa mahu runtuh.
Akhirnya isterinya meluahkan juga perkataan itu. Perkataan yang paling
ditakutinya. Tidak… Ini semua mimpi. Natrah tak mungkin tinggalkan dia.
“Abang takkan ceraikan Natrah. Abang
cintakan Natrah.” Tangannya yang membelai halus pipi Natrah yang kelihatan agak
cengkung itu ditepis kasar. Hakim sedar isterinya terlalu menderita.
“Cinta? Macam mana awak boleh cintakan saya
padahal awak jijik dengan saya. Cakap! Itu ke yang dinamakan cinta?” Natrah
melepaskan keluhan. Sarat dengan duka. Hakim tertunduk. Natrah memandang
sejenak wajah suaminya. Wajah itu juga cengkung dan tidak terurus. Kumis dan
jambang halus mula menghiasi wajah Hakim. Mata lelaki itu sembab dan merah
seperti baru selepas menangis. Mungkinkah Hakim juga terseksa sepertinya? Namun
segera ditepis perasaan itu. Apa yang Hakim rasakan tidak terbanding dengan apa
yang dia terpaksa hadapi.
“Natrah…” Kini Dato’ Syukor cuba memegang bahu
Natrah. Kasihannya anakku. “Ampunkan abah…” Hanya itu yang mampu terucap
olehnya. Dia tidak tahu bagaimana lagi mahu merawat hati Natrah yang parah.
“Terima kasih Dato’, Helmi, Hakim. Terima
kasih sebab dah buat hati saya mati. Lepas ni, saya yakin saya takkan dapat
luka yang lebih sakit dari yang ini.” Natrah kembali memakukan pandangannya
pada Hakim. “Tahniah sebab apa yang awak cakap dah pun jadi kenyataan. Saya memang
takkan rasa secicip pun bahagia.” Hakim merasa seperti dipanah petir mendengar
ayat yang pernah diucapkannya kepada Natrah di awal perkahwinan mereka. Air
mata lelakinya tumpah lagi.
Natrah melangkah keluar dari rumah itu
dengan keperitan yang amat sangat. Baginya, mati mungkin lebih baik dari ini.
Langkahnya terhenti saat banglo mewah itu
sudah jauh dari pandangan mata. Di bahu jalan itu, Natrah terduduk dan menangis
semahu-mahunya.
Hakim hanya terpaku di
situ. Dia terasa udaranya untuk bernafas bagai telah direnggut. Dadanya terasa
sesak. Air mata lelakinya begitu murah mengalir. Kini Natrah benar-benar tekad.
Helmi mendekati abangnya. Ya Allah… Berdosanya
dia menghancurkan hidup Natrah dan abang kandungnya sendiri. Tangannya memegang
bahu Hakim yang kelihatan bergetar.
“Hakim… Aku..” Belum sempat Helmi menyusun
bicara, tubuh Hakim terlebih dahulu rebah menyembah lantai. Terpana Helmi di
situ sebelum dia mendapatkan abangnya itu.
Dato’ Syukor turut membantu Helmi mengangkat
Hakim ke atas sofa. Mata tuanya dapat melihat betapa menderita sekali Hakim
menanggung kehilangan wanita yang dicintainya sepenuh jiwa raganya dari
hidupnya.
Dia tidak pengsan, tetapi seluruh fungsi
anggota badannya bagai terhenti. Kakinya tidak mampu menampung berat badannya.
Tangannya longlai tidak mampu digerakkan. Matanya merenung kosong syiling
rumahnya. Suara Helmi dan Dato’ Syukor menyeru namanya hanya sayup-sayup
kedengaran menyapa telinga.
Dia menelan liurnya. Terasa perit sekali
tekaknya. “Aku tak layak menjadi suami dia… Aku tak mampu mengejarnya yang
semakin jauh berlari meninggalkan aku… Ketakutan aku jadi nyata. Dia menuntut
aku melepaskan dia. Aku tak mampu mengejar dia. Aku tak mampu menggapai
tangannya. Dosa-dosa lalu mengunci seluruh tubuhku dari mendapatkan dia.”
Rintih Hakim antara dengar dan tidak.
Helmi dan Dato’ Syukor berpandangan. Helmi
tertunduk. Semua salahnya. Dia menanggung dosa yang terlalu besar. Seharusnya
dia yang menanggu derita. Bukan Natrah dan bukan juga abangnya.
“Maafkan aku…” Helmi bingkas lalu melangkah
laju keluar dari rumah itu tanpa mempedulikan laungan Dato’ Syukor memanggil
namanya. Dia tidak layak berada di situ. Dia malah merasakan dia tidak layak
hidup di dunia ini menabur derita kepada semua orang yang dia sayang hanya
dengan kewujudannya.
BAB 26
Farida terkejut
mendapat berita dari Natrah. Besar sungguh apa yang ditanggung Natrah. Natrah
tidak tahu, kemana lagi dia harus membawa dirinya selain tempat dia membesar.
“Natrah nekad nak bercerai dengan Hakim?”
Farida masih mahu bertanya. Hati tuanya tetap mengatakan Natrah dan Hakim saling
mencintai malah sememangnya ditakdirkan untuk bersama.
Natrah mengangguk lemah. Tudungnya yang
berkibar-kibar ditiup angin di pegang. Otaknya sekarang terlalu serabut. Dia
bencikan keluarga itu, tapi dia lebih bencikan dirinya yang tidak mampu mengikis
Hakim dari hatinya.
“Natrah, runtuhnya sebuah perkahwinan itu
akan menggegar arasy. Bercerai itu adalah jalan yang paling dibenci Allah. Ummi
percaya Natrah tahu itu.” Bahu gadis itu diusap lembut.
“Natrah dah tak larat ummi. Natrah dah
terlalu penat. Baru Natrah nak rasa bahagia, derita datang berganda-ganda.
Kadang-kadang Natrah rasa tak adil. Kenapa mesti Natrah yang rasa semua
penderitaan ni. Dunia ni seolah-olah nak tengok sejauh mana Natrah boleh
melentur sebelum akhirnya Natrah patah.” Natrah membaringkan kepalanya ke bahu
Farida.
“Natrah, Allah bagi ujian pada hambanya
dalam pelbagai bentuk. Ramai lagi yang lebih menderita di luar sana. Tak baik
nak mempersoalkan takdir Tuhan. Sekarang ni keputusan ada di tangan Natrah
samada Natrah mahu lulus atau gagal dalam ujian ni. Tapi Natrah kena ingat
hidup kita macam roda. Bukan sentiasa di atas dan tidak selamanya di bawah.”
Kepala Natrah yang dibalut tudung putih dibelai lembut.
Katil itu diusap
lembut. Kenangan bulan madunya dengan Hakim memenuhi kepalanya. Kenapa? Kenapa
begitu payah untuk dia mendapatkan kebahagiaan? Air matanya mengalir lagi.
Natrah mengetap bibirnya kuat.
Dia mengambil pula bantal di kepala katil
lalu wajahnya ditekup pada bantal itu. Terasa seolah-olah dia dapat menghidu
haruman Hakim. Rindunya pada suaminya benar-benar menyeksa batinnya.
Tetapi, hatinya sudah terlalu parah. Apa
yang berlaku ke atas dirinya. Reaksi Hakim yang menjauhkan diri darinya saat
mengetahui kebenaran itu menambah luka yang tidak tertanggung. Hakim jijik
dengannya. Sama seperti di awal perkahwinan mereka. Natrah yakin itu.
Natrah mencapai sekeping kertas di atas
meja. Borang cerai yang diambilnya petang tadi dibelek. Ditahan air matanya
dari jatuh. Pen di atas meja dicapai. Dia harus mulakan hidup baru. Jauh dari
keluarga itu.
Menggeletar tangan
Hakim membuka sampul surat yang baru diterimanya. Natrah betul-betul tekad
menuntut perpisahan. Dia terduduk di kerusinya sambil merenung wajah Badrul
yang duduk berhadapan dengannya.
Badrul yang turut membaca surat itu
mengeluh. Pasti gadis itu merasa terlalu sakit hingga tegar meruntuhkan perkahwinannya.
Sudah dia katakan, yang akan merasa luka paling dalam adalah Natrah sendiri.
Luka yang bisa membunuh jiwa raga seorang perempuan.
“Bad, aku tak sanggup lepaskan dia. Aku
terlalu sayangkan dia.” Hakim memicit kepalanya. Dia tidak mampu bayangkan
hari-hari seterusnya tanpa nama Natrah dalam kamus hidupnya.
“Aku tahu. Tapi, kau bayangkan sendiri apa
yang Natrah rasakan sekarang. Sekeping hati dia hancur. Dia perlu mulakan hidup
yang baru.” Badrul cuba memberi rasional. Bukan mudah mahu melepaskan orang
tersayang. Tapi jika untuk kebaikan orang itu, Hakim perlu juga merelakan. Perkahwinan
menuntut kerelaan kedua belah pihak.
Dia
meletakkan kedua-dua belah tangannya ke atas meja kerja majikan dan juga
rakannya itu. “Kalau kau sayangkan dia, you
should walk in her shoes. Cuba faham apa yang dia rasa.” Badrul merenung
sedalam-dalamnya anak mata Hakim. Jelas kelihatan betapa menderita sahabatnya
ini menghadapi kehilangan Natrah. Dalam hatinya, dia berdoa agar Natrah mampu
melihat cinta yang tertanam dalam hati Hakim.
Rossa mengikuti kereta
Hakim. Telah berhari-hari dia mengekori lelaki itu, menanti masa sesuai untuk
menyerang. Hatinya penuh dendam pada Natrah yang telah merampas Hakim darinya.
‘Dasar perempuan kampung. Kau akan mati dalam tangan aku!’ Hatinya bertempik.
Pisau di tempat duduk sebelahnya dicapai.
Tangannya menggenggam pisau itu erat. Saat Natrah muncul di balik matanya nanti
akan ditusuk pisau itu ke tubuh Natrah supaya dendamnya terlunas.
Segala rasionalnya sebagai manusia hilang
begitu sahaja. Syaitan sudah merajai segenap jasadnya. Dosa tidak pernah dipedulikan. Yang penting
hatinya puas dapat melihat sendiri roh Natrah terpisah dari jasadnya.
Bagai orang tidak waras, Rossa ketawa.
Mulanya halus dan perlahan lalu semakin kuat bergema dalam keretanya.
“Natrah, kita perlu
bincang.” Hakim memandang tepat wajah Natrah yang sarat dengan duka. Pipi gadis
itu kelihatan semakin cengkung. Mata gadis itu juga sembab dan bengkak.
Wajahnya benar-benar kelihatan lesu.
Natrah langsung tidak memandang suaminya.
Tangannya disilang. Apa yang Hakim ingin cakap, dia akan dengar tapi
keputusannya tidak akan berubah.
“Abang tak rasa abang mampu lepaskan
Natrah…” Jujur Hakim menyatakan apa yang dia rasa saat ini.
Bibir Natrah sedikit terjongket. Entah
mengapa dia terasa lucu mendengar ayat Hakim. “Apa yang susah sangat? Bukan
awak benci dan jijik ke tengok saya? Jadi buat apa nak simpan saya lagi?”
Matanya masih lagi terarah ke jalan.
“Tak… Abang sayangkan Natrah. Waktu tu hati
abang terluka. Abang tak mampu nak kawal diri abang… Tapi sumpah abang tak rasa
jijik dengan Natrah. Abang takut bila abang dapat tahu dosa keluarga abang terhadap
Natrah terlalu besar.” Hakim cuba memegang bahu Natrah namun gadis itu lebih
pantas mengelak.
“Abang mengaku abang memang pengecut.
Disebabkan abang takut abang larikan diri. Abang takut Natrah tuntut
perpisahan. Tapi, akhirnya mimpi ngeri yang abang cuba elakkan tetap jadi
kenyataan.” Hakim meraup wajahnya. Terasa jambang halusnya dibasahi air mata.
“Awak cuma fikirkan hati awak yang terluka.
Hati saya yang hancur pula macam mana. Ada awak fikir?” Jari runcing Natrah mengunjal
dada Hakim. Wajah Hakim juga jelas dihempas derita. Kelihatan tidak bermaya dan
tidak terurus.
“Abang minta maaf. Abang cintakan Natrah.
Demi Allah, Mohammad Hakim cintakan Siti Natrah.”
“Awak tinggalkan saya terlebih dahulu. Itu
yang awak panggil cinta?” Natrah sedikit sebak mendengar bicara Hakim. Tidak!
Dia tidak akan mengalah. Hatinya mesti dikeraskan. Luka yang dihadiahkan
keluarga itu bukan luka kecil…
“Natrah… Natrah akan lebih bahagia tanpa
abang?” Hakim menguatkan hatinya. Mereka saling berbalas pandang. Renungan yang
hanya mereka berdua mampu tafsirkan. Natrah cuba melarikan anak matanya. Tidak!
Dia tidak boleh tewas kali ini.
Hakim mendekati Natrah. Dagu isterinya itu
dipegang. “Natrah pandang abang. Beritahu abang apa yang Natrah rasa. Natrah
rasa Natrah lebih bahagia tanpa abang? Terus-terang abang cakap, abang takkan
bahagia tanpa isteri abang.”
Natrah kembali kelu. ‘Hati, kuatlah.’ Natrah
memejamkan matanya. Tidak sanggup rasanya melafazkan kata-kata itu sambil
merenung mata bundar suaminya. Dia terasa seolah-olah menipu dirinya sendiri.
Baru Natrah mahu
membuka mulut, sesuatu menangkap perhatiannya. Matanya membulat melihat Rossa
berlari laju ke arahnya. Berderau darahnya apabila matanya menangkap kilauan
pisau di tangan Rossa. Segalanya berlaku terlalu pantas.
Saat Rossa mendekat, Natrah memejamkan
matanya. Dia yakin pisau itu akan tertusuk di tubuhnya. Namun aneh, dia tidak
merasa keperitan yang sepatutnya dia rasa.
Natrah kembali membuka matanya. Terasa jantungnya
bagai berhenti berdenyut melihat Hakim kini terbaring di atas jalan dengan
berlumuran darah. Pisau itu masih terpacak di perut Hakim. Merah muka lelaki
itu menahan kesakitan yang sangat dasyat.
Rossa yang pada mulanya terpaku di situ cuba
melarikan diri. Dia melintas jalan tanpa melihat ke kiri dan kanannya. Apa yang
dia tahu dia harus lari. Dalam sekelip mata tubuhnya melayang dilanggar kereta
sebelum terbaring semula di jalan. Saat dia terkutik-kutik menahan sakit,
sebuah lagi lori menggilis tubuhnya. Segala-galanya menjadi hitam.
“Ha… Hakim.” Natrah
menjadi tidak keruan. Darah yang membuak-buak keluar dari tubuh suaminya
merenggut jiwanya. Wajahnya saat itu,
pucat lesi. Jika ditoreh sekalipun pasti tidak berdarah.
Tangan Natrah sebelah menggenggam erat
tangan Hakim manakala sebelah tangannya menggeletar saat memegang hulu pisau
itu. Hanya tuhan yang tahu apa yang dia rasakan saat ini. Kepala Hakim diangkat
lalu dipangkunya.
Hakim menekan perutnya. Sekelilingnya
semakin kelam. Dia menangkap imej Natrah di sebelahnya. Natrah selamat.
Isterinya selamat. Senyuman manis terukir di bibirnya. ‘Cukup. Ini sudah cukup.
Aku berjaya melindungi Natrah.’ Hatinya berbisik.
Natrah memangku kepala Hakim. Sekuat hati
dia menjerit melihat mata Hakim yang tertutup rapat. Hakim tidak boleh
tinggalkannya. Tidak dengan cara begini. Tidak…
BAB 27
Natrah memandang tangannya yang berlumuran
darah Hakim yang mula mengering. Tangannya menggeletar. Empangan air matanya
pecah. Doa dipanjatkan tanpa henti. Janganlah nyawa suaminya diambil.
Dato’ Syukor memeluk bahu menantunya
manakala Helmi hanya bersandar di dinding. Turut mendoakan keselamatan
abangnya.
“Abah, Natrah ingat hati Natrah dah cukup
lumat sampai Natrah takkan rasa sakit lagi. Tapi bila Natrah tengok sendiri
mata Hakim terpejam. Natrah… Natrah… Rupanya masih ada lagi ruang dalam hati ini
untuk merasa sakit.” Natrah kembali teresak-esak. Dato’ Syukor mengucup
ubun-ubun Natrah. Memang Natrah cintakan Hakim.
“Hakim akan selamat. Kita sama-sama doakan.”
Dato’ Syukor cuba memujuk Natrah agar bertenang walaupun hatinya sendiri
dirusuh ketakutan memikirkan anak sulungnya sedang berperang dengan maut.
“Kami dah cuba sedaya
upaya. Sekarang ni kita hanya mampu berdoa. Walaupun Encik Hakim telah melepasi
tahap kritikal, namun keadaannya masih belum stabil.” Berita itu disampaikan
dengan lancar sekali oleh doktor separuh abad itu.
Natrah merasa kakinya lemah sekali untuk
menanggung tubuhnya. Mujur sahaja Dato’ Syukor dan Helmi sempat menahan Natrah
dari tersungkur.
“Boleh kami melawat?” Helmi mengajukan
soalan. Doktor tersebut mengangguk sedikit. Dia menepuk perlahan bahu Helmi
bagi melahirkan rasa simpatinya.
Natrah segera mengikut stretcher yang keluar
membawa Hakim dari bilik bedah. Begitu juga Helmi dan Dato’ Syukor.
Rambut Hakim di belai
lembut. Sebelah tangannya lagi memegang tangan Hakim. Sekejap-sekejap dia
mengucup tangan itu. “Awak, awak kena sembuh. Awak kena bangun. Baru saya boleh
maafkan awak.” Lembut Natrah berbisik di telinga Hakim.
Dia telah berjanji dengan dirinya yang dia
tidak akan pergi lagi dari sisi Hakim. Apa yang telah berlalu dia tidak mampu
untuk mengubahnya. Yang harus dia fikirkan masa hadapan mereka bersama.
Dia sudah cukup terseksa menghadapi risiko
kehilangan Hakim. Dia juga telah mendapat jawapan untuk soalan Hakim. Dia tidak
mungkin akan bahagia tanpa suaminya. Mungkin hatinya dilanda duka sekarang,
tetapi dia yakin luka itu akan bertambah parah jika Hakim tiada di sisinya.
Dato’ Syukor dan Helmi telah ke surau
hospital untuk menunaikan solat hajat untuk keselamatan Hakim. Bukan dia tidak
mahu ikut, cuma dia mahu Hakim melihatnya dahulu jika suaminya itu sedar.
Natrah mendekatkan lagi kerusinya ke katil
hakim. dia bangun sedikit lalu dahi suaminya dikucup penuh kasih. Tiada lagi
rusuh di hatinya. Hanya cinta buat suaminya.
Hakim memandang
sekeliling. Gelap dan kelam. Tiba-tiba muncul cahaya yang menyilaukan pandangan
mata. Disebalik cahaya itu muncul dua lembaga. Helmi dan Natrah. Aksi mereka
berpelukan mencabar kesabaran Hakim. baru dia hendak menyerang kedua-duanya,
cahaya itu hilang mengembalikan dia dalam kegelapan.
Dia merasa bahunya dipegang. Wajah mulus
Natrah muncul di hadapannya. Ada air jernih bergenang di tubir mata isterinya.
Ya, dia teringat. Isterinya hanyalah mangsa. Hakim cuba memeluk tubuh itu namun
susuk Natrah semakin lama semakin jauh. Dia cuba mengejar. Nama gadis itu
dilaung berkali-kali. Namun ia tetap menjauh.
“Natrah… Natrah…” Tenggelam timbul suara
Hakim mengganggu lena Natrah. Segera Natrah bangkit mendekatkan telinganya ke
bibir Hakim. Terharu dia mendengar suaminya berulang kali menyebut dan menyeru
namanya.
“Saya ada dekat sini, awak.” Natrah
membisikkan ke telinga Hakim. Mata Hakim terbuka perlahan-lahan. Kelibat Natrah
dicarinya. Gadis itu tersenyum memandangnya.
Tangannya mencapai belakang tengkuk Natrah
lalu ditarik lembut ke dadanya. Dia yakin ini bukan lagi mimpi. Isterinya tidak
meninggalkannya.
Dato’ Syukor dan Helmi
berjalan menuju ke bilik wad Hakim ditempatkan. Helmi menjinjit beg yang terisi
pakaian Natrah memandangkan Natrah berdegil enggan pulang.
Sebaik pintu wad dikuak, Dato’ Syukor dan
Helmi saling berpandangan. Mereka melihat Natrah dan Hakim sama-sama terlena di
atas katil. Tangan sasa Hakim melingkar erat di bahu Natrah seolah-olah tidak
akan dilepaskan lagi.
Dato’ Syukor dan Helmi sama-sama tersenyum.
Walau sekejam mana takdir itu, namun jodoh antara pasangan itu tetap kekal.
Inilah ketentuan yang telah ditentukan Tuhan untuk hambanya.
Hakim bermain dengan
jemari runcing isterinya yang sedang terlena. Dia tahu Natrah penat menjaganya
siang dan malam hingga dia semakin sembuh. Sejenak dia tersenyum melihat dahi
Natrah yang sekejap berkerut sekejap tidak. Entah apa yang dimimpikan isterinya
itu.
Hakim memandang Helmi yang melangkah masuk ke
dalam wad. Adiknya jelas tidak berani bertentang mata dengannya. “Aku dah
uruskan borang discharge kau.”
Selesai bicaranya, Helmi terus berpaling ingin keluar dari bilik itu.
“Apa rancangan kau lepas ni?” Langkah Helmi
terhenti. Walau apa yang telah dilakukan Helmi memang salah, tapi jika Natrah
sendiri telah memaafkan Helmi apa haknya untuk tidak memaafkan adiknya. Lagipun
carik-carik bulu ayam akhirnya akan bercantum jua.
“Aku nak sambung belajar dekat luar negara.”
Berkerut dahi Hakim. Adiknya mahu membawa diri sejauh itu?
“Ke mana? Kau dah fikir habis-habis ke?”
Helmi mengangguk. Dia tersenyum sumbing ke arah Hakim. Jelas abangnya tahu
perasan dia kala ini. Dia memandang sekilas pada Natrah yang masih lena di
kerusi sebelah katil abangnya.
“Kau tahu aku baru putus cinta. Tak salah
kalau aku nak bawa diri.” Hakim merenung tajam mendengar bicara Helmi. Helmi
ketawa kecil melihat reaksi abangnya. “Ya… Aku tahulah kau pun cintakan dia.
Tak payah tenung aku macam tu. Aku bukan nak rampas dia pun. Dia isteri kau.” Kata-kata
Helmi menyedarkan Hakim. Dia tersenyum tawar. Dia tahu persis perasaan adiknya.
BAB 28
Natrah
khusyuk mengacau nasi goreng di dalam kuali itu sambil diperhatikan Bik Yanti.
Hakim memerhati dari jauh sebelum mendekati kedua-duanya dengan topang yang
menyokong berat badannya. Dia masih tidak mampu berjalan dengan kekuatannya
sendiri.
“Syyy…” Hakim meletakkan jari telunjuknya di
bibir saat Bik Yanti berpaling ke arahnya. Dia mengisyaratkan Bik Yanti agar
berlalu meninggalkannya dengan Natrah. Bik Yanti tersenyum melihat sikap Hakim.
“Bik, nak garam.” Natrah menghulurkan
tangannya tanpa mengalihkan pandangannya dari nasi goreng ciptaannya itu.
Hampir semua benda yang dia nampak di dapur itu dicampak ke dalam kuali.
Hakim menghulur dan menyambut botol berisi
garam. Dia bergerak lebih dekat dengan Natrah penuh hati-hati agar tidak
mengeluarkan sebarang bunyi. Topang di sandarkan pada cabinet dapur.
Perlahan-lahan tangannya melingkar pinggang
ramping Natrah. Dia dapat merasakan tubuh Natrah terloncat sedikit. Terkejutlah
tu. Natrah memalingkan kepalanya dengan muka geram yang sengaja dibuat-buat.
“Apa awak ni. Kacau saya buat kerja. Dah,
pergi main jauh-jauh.” Natrah menggoncangkan sedikit bahunya agar suaminya
meleraikan pelukan. Hakim tidak mengalah. Dia mengeratkan lagi pelukan dari
arah belakang sambil dagunya didaratkan di bahu Natrah.
“Buat je lah kerja Natrah. Anggap abang
macam halimunan.” Hakim tidak mempedulikan keluhan kecil Natrah. Dia mencapai
tisu di sebelah lalu mengesat dahi Natrah yang berpeluh. Namun pelukan masih
belum dileraikan.
“Amboi! Romantiknya
pagi-pagi lagi…” Teguran Dato’ Syukor memeranjatkan Hakim yang akhirnya termalu
sendiri.
“Mana ada abah. Biasalah pengantin baru.”
Hakim memberi alasan.
“Pengantin baru apanya. Dah lapuk dah pun.”
Kali ini Helmi pula muncul lalu menyampuk diiringi gelak tawa Dato’ Syukor.
“Pengantin baru bersamalah.” Hakim memintas.
Natrah yang sibuk menghidang mencubit lengan suaminya. Terjerit kecil Hakim
dibuatnya.
“Tak padan dengan sakit. Pandai je
mengarut.” Natrah membidas. Ketawa mereka sekeluarga meletus.
Lapangan
terbang itu sesak dengan orang ramai. Helmi memandang sepi kawasan sekeliling.
Kini, dia berada di negara asing. Keluarganya tidak menghantarnya selepas dia
menolak berkali-kali dengan alasan dia tidak suka mengucapkan selamat tinggal.
Baru dia bangun
berjalan ke arah pintu keluar, dia dilanggar seseorang hingga terjatuh. Banyak
kertas berterbangan di situ. Helmi menanggalkan cermin matanya. Dia menangkap
imej seorang wanita kelam kabut mengutip helaian-helaian kertas supaya tidak
dipijak orang.
Helmi mengeluh melihat
gadis itu bersusah payah meminta agar orang ramai tidak memijak kertas-kertas
yang bertaburan di atas lantai sedang suaranya begitu perlahan.
“Excuse
me! Can you all please give way for this lady to pick up her documents. Please
don’t step on them.” Akhirnya Helmi sendiri melaung selepas bosan melihat
gadis itu terkocoh-kocoh sendirian.
Gadis itu memandang Helmi tidak berkelip.
Kemudian Helmi menolong pula mengutip kertas itu hingga selesai lalu diserahkan
pada gadis itu.
“Thanks a lot. I’m really sorry for all this
troubles.” Lancar gadis berambut perang itu berbicara.
“No sweat.” Helmi menjawab. Dia memerhati
gadis itu. Gadis itu semulajadi cantik namun penampilannya cukup serabut.
Dengan baju yang besar tidak sepadan dengan tubuhnya yang kecil molek dan
cermin mata besar yang menyembunyikan mata coklat gadis itu, kecantikan dia
sukar dikesan jika tidak diperhatikan betul-betul.
“Comel juga awek ni kalau tengok
betul-betul.” Perlahan sahaja suara Helmi. Namun gadis itu dapat menangkap
bicaranya.
“Excuse me?” Gadis itu memandang Helmi
dengan dahi berkerut. Helmi memandang ke arah lain. Dengarkah gadis itu? Ah,
bukannya minah salleh itu faham pun. Dia tersenyum sendiri.
“Saya comel?” Gadis itu mengulang semula
kata-kata Helmi. Terbuntang mata Helmi mendengar kefasihan gadis itu bercakap
dalam bahasa melayu. Tergagap-gagap Helmi mahu menjawab. Malunya, Tuhan sahaja
yang tahu.
“Actually, I’m half malay half Britain.
Anyway, I’m Maria.” Maria memperkenalkan dirinya.
“I’m Helmi.” Helmi tersengih.
Begitulah permulaan
hubungan mereka…
Tidak
berkelip mata Hakim merenung wajah Natrah yang sedang mencuci lukanya. Sampai
sekarang dia sebenarnya masih terasa di awang-awangan. Dia bagaikan tidak
percaya Natrah betul-betul tidak meninggalkannya.
“Berlubanglah muka saya awak tenung macam tu.” Natrah menjeling manja sekilas pada Hakim. Sungguh… Melihat suaminya masih bernafas di hadapan matanya benar-benar bagaikan sejuta rahmat buatnya. Tidak dapat dia bayangkan kalau Hakim benar-benar meninggalkan dirinya buat selamanya pada hari itu. Pasti Natrah akan merana mengenangkan sikapnya terhadap Hakim lebih-lebih lagi suaminya tercedera hanya kerana untuk melindunginya. Melihat Hakim membuka matanya semula terus membasuh semua luka yang pernah ada.
“Berlubanglah muka saya awak tenung macam tu.” Natrah menjeling manja sekilas pada Hakim. Sungguh… Melihat suaminya masih bernafas di hadapan matanya benar-benar bagaikan sejuta rahmat buatnya. Tidak dapat dia bayangkan kalau Hakim benar-benar meninggalkan dirinya buat selamanya pada hari itu. Pasti Natrah akan merana mengenangkan sikapnya terhadap Hakim lebih-lebih lagi suaminya tercedera hanya kerana untuk melindunginya. Melihat Hakim membuka matanya semula terus membasuh semua luka yang pernah ada.
“Abang tenung sebab takut Natrah tiba-tiba
hilang.” Natrah merenung anak mata Hakim.
“Saya takkan pernah pergi lagi dari hidup
awak.” Selesai mencuci luka Hakim, Natrah mencapai tangan Hakim lalu
dikucupnya.
“Saya minta maaf… Untuk semuanya.” Lirih
suara Natrah menuturkan kata-kata maaf yang lama bersarang di hatinya. Hakim
membelai rambut Natrah.
“Abang minta maaf juga…” Hakim memegang dagu
Natrah agar memandangnya.
“Abang sayangkan isteri abang.” Hakim
berbisik. Natrah tersenyum manis.
“Abang cintakan Natrah sampai mati ke?”
Natrah bertanya. Giliran Hakim pula tersenyum mendengar panggilan Natrah
kepadanya.
“Ya… Malah bukan sampai mati sahaja. Abang
sanggup mati demi cinta kita.” Natrah melabuhkan kepalanya di dada bidang
Hakim.
Dalam
hati, Natrah memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada tuhan. Dia
sudah penat berada di bawah dalam putaran hidupnya. Kini kebahagiaan
betul-betul untuk Natrah. Semua kepahitan yang dia lalui sebelum ini akan
memaniskan lagi kehidupannya di masa hadapan. Selamat tinggal duka selamat
datang bahagia
~ TAMAT ~
Subscribe to:
Posts (Atom)