BAB 1
Suasana
di bandaraya Kuala Lumpur sesak dengan banjiran manusia. Terik matahari diredah
meski bahangnya membakar kulit. Dari jauh, kelihatan seorang gadis
mengipas-ngipas tubuhnya dengan kertas surat khabar di tangannya. Peluh yang
mula merintik di dahinya dikesat dengan hujung lengan baju kurungnya.
Mata Natrah melilau ke sekelilingnya. Bandar
itu sangat asing buatnya. Rasa takut mula menjalar dalam diri. Sudah dua hari
dia menetap di bandar itu. Bekalan duitnya juga semakin sikit. Itupun dia hanya
menumpang tidur di masjid bagi menjimatkan wang. Nasib seolah-olah tidak
menyebelahinya. Dia masih juga belum mendapatkan kerja.
Dia mengeluh entah buat keberapa kalinya
sejak menjejakkan kaki di kota batu ini.
Matanya ligat mencari sebarang tawaran kerja yang diiklankan di media massa
itu. Dia tidak boleh berputus asa!
“Hei! Kau ni tak
habis-habis nak malukan abah! Ni dah berapa kali abah jamin kau dari jail! Nak
jadi apa dengan kau ni, ha? Nak jadi setan?” Bergema rumah besar itu dengan
lengkingan suara Dato’ Syukor. Tubuhnya terasa membahang menghadapi perangai
anak bongsunya yang sudah tidak serupa manusia. Rasa mahu dipijak-pijak sahaja
budak yang tidak reti bahasa itu. Biar anaknya itu tahu langit itu tinggi atau
rendah.
“Abah ni bisinglah. Bingit telinga ni tahu,
tak? Orang dahlah penat, yang pergi membebel lagi tu buat apa?” Helmi
menjuihkan bibirnya. Telinganya rasa berdesing sahaja menelan amarah Dato’
Syukor. Bukan sekali dua drama sebegini berulang. Dah banyak kali pun. Dia
sendiri sudah muak melihat reaksi Dato’ Syukor. Langsung tidak terkesan di
hatinya.
Kali ini Dato’ Syukor memang benar-benar
tidak dapat membendung amarahnya. Helmi yang sedang duduk bersahaja di sofa
diterpanya. Leher baju anaknya itu dicengkam. Ringan sahaja penumbuknya
melayang ke wajah kacak anaknya itu. Terjelepok Helmi di lantai akibat penangan
ayahnya itu. Darah mudanya mula mendidih.
“Apa yang abah tahu, pukul! Pukul! Pukul!
Kenapa tak bunuh saja orang. Selama ni, apa yang orang buat abah bukan ambil
tahu. Sikit-sikit Hakim yang pandai. Hakim yang baik. Orang ni, abah pandang
sebelah mata saja.” Sofa berhampiran Helmi ditendang sekuat hati. Dengan mata
yang merah, dia meninggalkan Dato’ Syukor terkedu sendirian.
Dato’ Syukor terduduk di sofa. Dadanya yang
terasa sakit dicengkam. Sejak arwah isterinya meninggal, Helmi mula berkawan
dengan budak-budak jahat. Kata-kata dan nasihatnya dan Hakim bagai tidak ada
nilai bagi Helmi. Anaknya itu semakin lama semakin tersasar. Helmi sering
ditangkap kerana merosakkan harta benda awamlah, meragutlah. Bukannya tidak
diberi wang belanja buat kegunaan harian Helmi. Mungkin inilah caranya golongan
muda seperti Helmi mencari kepuasan dalam menjalani hidup. Hati tuanya terasa
seperti disiat-siat mengenangkan kegagalannya dalam menunaikan amanat daripada
arwah isterinya yang menginginkan kedua-dua putera mereka berjaya di dunia dan
akhirat. Entah lepas ini, apa pula yang akan dibuatnya. Hanya Tuhan sahaja yang
tahu…
Hakim mengelus lembut
tangan gadis manja dihadapannya. Gadis itu dilayan penuh kasih. Sesekali Rossa
menjeling manja ke arah kekasih hatinya itu. Sempurna sekali pada pandangannya.
Kacak, bergaya, kaya pula tu. Sudah pasti lelaki itu akan digodanya
sehabis-habisan. Bukan senang hendak mencari lelaki yang lengkap pakejnya
seperti Hakim pada zaman sekarang.
“Sikitnya you makan.” Hakim melihat sisa
makanan di dalam pinggan Rossa yang masih banyak.
“I tengok you pun dah kenyang tahu.” Manja
sahaja Rossa bersuara. Baru dia ingin menyambung bicara, telefon Hakim menjerit
minta diangkat.
Berita yang dibawa abahnya langsung tidak
mengejutkannya. Hakim mengerti sangat dengan sikap adiknya Helmi yang memang
selalu suka memberontak. Namun, dia masih khuatir penyakit jantung ayahnya
menyerang semula.
“Sayang, Helmi buat hal lagilah. I nak balik
tengok abah. You nak ikut?” Bibir Rossa memuncung saat perihal Dato’ Syukor
dibangkitkan. Panjangnya mahu sedepa.
“Tak naklah I. Karang tak pasal-pasal kena
halau dengan bapak you tu. Dia kan pantang gila kalau nampak muka I. You nak balik, baliklah seorang.” Nadanya
dibuat seolah-olah merajuk. Hakim memaut dagu gadis itu lalu tersenyum manis.
Dia tahu benar Dato’ Syukor memang tidak merestui hubungannya dengan gadis
kecil molek itu.
“Janganlah merajuk. Esok kita jumpa lagi,
ya? Love you.” Tangannya mengusap lembut pipi mulus gadis itu seraya mendaratkan
bibirnya tepat di pipi gadis itu sebelum berlalu pergi.
Hakim melangkah keluar dari restaurant itu
sambil matanya terarah pada telefon bimbit di tangannya. Dia harus
mengkhabarkan pada pembantunya yang dia tidak dapat masuk ke pejabat petang
ini.
“Ouch.” Hakim terduduk di kaki lima itu.
Telefon bimbitnya terbang entah ke mana. Hakim mengaduh sambil menggosok
pinggulnya seketika sebelum mendaratkan pandangan yang tajam kepada orang yang
telah melanggarnya. Gadis berbaju kurung biru lembut itu kelihatan turut
terduduk tidak jauh darinya.
“Encik tak apa-apa ke?” Gadis itu mengutip
telefon bimbit Hakim lalu diserahkan kepada tuannya. Hakim berdehem seketika.
Sakit di pinggulnya masih belum hilang.
“Hey, mata awak letak dekat mana, huh? Main
langgar je orang.” Sinis Hakim memerli gadis bertudung litup itu.
Natrah, menjeling malas. Dari bicara sahaja,
dia sudah dapat membaca watak lelaki itu. Sombong dan ego.
“Maaf ye encik. Mata saya ada dekat sini.”
Natrah mengarahkan kedua-dua telunjuknya ke matanya. Orang yang seperti ini
bukan boleh dibuat baik nanti dipijaknya kepala kita, omel Natrah dalam hati. Berkerut
dahi Hakim mendengar nada suara gadis itu. “Tapi, mata encik saya tak tahu lah
kan. Dekat handphone je dari tadi.” Natrah menyambung lagi. Tangannya disilang.
Memang betul bukan dia yang salah tetapi
Hakim yang tidak memandang ke hadapan ketika berjalan. Namun Hakim tidak
mengalah. “Awak ni…” Baru Hakim meninggikan nada suara, Natrah terlebih dahulu
mencelah.
“Saya minta maaf.” Natrah malas mahu
memanjang cerita. Dia masih perlu menyambung urusan mencari kerjanya. Terkedu
Hakim mendengar ucapan maaf gadis itu. Natrah memandang Hakim yang terdiam kaku
di situ.
‘Hemph… Tak tahu nak cakap apa la tu. Harap
muka je handsome tapi lembab juga. Tergagap-gagap dari tadi.’ Natrah tersenyum
sendiri. Apa yang lelaki itu fikir, dia tidak peduli. Dia kutuk pun dalam hati
sahaja bukan depan-depan pun.
“Saya dah minta maaf, jadi saya pergi
dahulu.” Natrah bergerak meninggalkan Hakim yang masih terkedu. Gadis itu
meminta maaf walau bukan salahnya. ‘Pelik…’ Fikir Hakim.
Hakim terpijak sehelai kertas. Dia lalu
memungutnya dan meneliti borang itu. Resume lengkap gadis tadi. Siap dengan
gambar sekali. Manis…
“Siti Natrah binti Kamil…” Meniti nama gadis
itu di bibir Hakim. lelaki itu tersenyum. Hujung jarinya mengusap gambar
bersaiz passport itu. ‘Cantik juga dia ni.’
Hakim meninggalkan
resume itu di atas pasu bunga disebelahnya dan berlalu pergi tanpa menyedari
bahawa nama itu bakal terukir dalam diari hidupnya dan itu hanyalah permulaan
bagi takdir yang akan mengikat mereka…
BAB 2
Dato’
Syukor duduk di birai katilnya. Gambar terbaru Siti Natrah yang dikirimkan dari
rumah anak yatim ditatapnya. Pandangan mata anak itu seiras ayahnya, Kamil yang
merupakan sahabat dunia akhiratnya. Fikirannya menerawang kembali ke masa lalu…
Lima
belas tahun yang lalu…
“Kau tahu aku cintakan
Laila. Tapi, kau rampas dia dari aku. Kau memang kawan yang paling HEBAT!”
Berapi-api Syukor menengking Kamil. Raut bersalah terukir jelas di wajah
sahabatnya itu.
“Aku minta maaf, tapi aku tak rampas dia dari
kau. Kau dah berkahwin dulu dengan Khasidah sebelum aku dan Laila bernikah.”
Kamil cuba mempertahankan dirinya. Baginya dia menikahi Laila kerana
terang-terangan sudah terpadam semua hubungan antara Syukor dan wanita itu.
“Aku kahwin dengan Khasidah sebab terpaksa.
Mak ayah aku yang jodohkan aku dengan dia. Aku tak pernah lepaskan Laila dari
hidup aku.” Tangannya disilang. Kamil yang pada awalnya duduk di pangkin kayu
itu bangun lalu bergerak mendekati Syukor. Bahu sahabatnya itu dipegang.
“Habis kau nak ikat Laila dengan hubungan
yang tak pasti? Kau nak seksa dia sampai bila sedang kau bahagia dengan isteri
kau? Ini yang kau cakap cinta?”
“Kalau ya pun aku terpaksa lepaskan dia,
kenapa mesti kau yang menikahi dia? Kau kawan baik aku!” Tangan Kamil ditepis. Walaupun
dia tahu hubungan antaranya dengan Laila telah samar tetapi dia tetap merasa
dirinya dikhianati lebih-lebih lagi apabila melibatkan kawan baiknya sendiri.
Kamil melepaskan keluhan kecil. “Sudahlah tu
Syukor. Semua dah jadi. Kita bahagia dengan keluarga kita masing-masing.
Lupakan apa yang dah terjadi. Kita dah tak mampu nak perbetulkannya. Ini semua
aturan dari Yang Maha Kuasa” Kamil mengendurkan nada suaranya. Dia tidak mahu
suasana tegang ini berlanjutan.
Syukor berpaling lalu memanah Kamil dengan
renungan yang tajam. “Lupakan? Tak semudah tu. Kau dah kecewakan aku.
Persahabatan kita cukup sampai sini sahaja. Lepas ni anggap sahaja kita tak
pernah wujud dalam hidup masing-masing. Kau dengan jalan hidup kau, aku dengan
jalan hidup aku.” Syukor berlalu meninggalkan Kamil tanpa mempedulikan
panggilan sahabatnya itu.
Hanya dengan cara ini dia dapat menghalang
jiwanya daripada sakit akibat melihat kemesraan sahabat baiknya dengan wanita
yang pernah menjadi ratu di hatinya.
“Abah?” Suara Hakim
mencantas lamunan Dato’ Syukor. Hakim melabuhkan punggung di sebelah Dato’
Syukor. Paha lelaki tua itu ditepuk lembut.
“Abah okay tak ni?” Hakim merenung riak
wajah tua bapanya yang telah dihiasi garis-garis halus itu. Ada beban yang
tertanggung di bahu lelaki yang bergelar bapa itu.
Matanya terarah pula ke tangan Dato’ Syukor.
Ada gambar seorang wanita namun hanya matanya yang kelihatan. Bahagian wajahnya
yang lain terlindung oleh telapak tangan Dato’ Syukor.
“Abah
okay.” Jawapan Dato’ Syukor mengembalikan pemerhatiannya pada lelaki itu. Hakim
mengeluh. Mulut Dato’ Syukor mungkin mengatakan yang dia baik-baik sahaja.
Tapi, hatinya…
“Abah tak payah fikir banyak sangat. Helmi
tu bukannya peduli pun pasal kita.” Dato’ Syukor menggelengkan kepalanya.
“Adik kau tu memberontak sebab abah yang tak
pandai didik dia. Semua ni salah abah. Kalau ibu kamu berdua masih hidup, Helmi
mungkin tak jadi macam ni.” Dato’ Syukor memandang potret Khasidah yang
tersangkut di dinding.
“Abah, dah sampai ajal ibu. Kita kena
terima. Kita tak boleh mengharap sesuatu yang tak mungkin. Nanti Hakim cuba
cakap dengan Helmi. He can’t keep doing this to himself. Dia makin lama makin
merosakkan diri dia sendiri.” Dengus Hakim. Timbul rasa geram terhadap Helmi
yang seolah-olah hidup di dunianya sendiri dan tidak mahu mengerti keperitan
yang ditanggung bapa mereka.
“Sekurang-kurangnya abah tahu Hakim takkan
tinggalkan Helmi terkontang-kanting seorang diri. Hakim mesti bantu Helmi.” Tangan
Hakim digenggam erat. Sekuat harapan yang ada buat anak-anaknya.
Hakim mencabut
headphone yang ada di kepala adiknya. Helmi menjeling Hakim sebentar sebelum
matanya terpejam semula. Kepalanya dibaringkan di kepala katil sementara
kakinya dilunjurkan.
“Kau nak apa?” Helmi bersuara namun matanya
masih terpejam rapat. Keningnya berkerut sedikit. Mungkin tidak selesa dengan
kehadiran Hakim.
“Aku tak sukalah kau buat abah macam ni. Kau
tak nampak ke yang abah tu tak sihat.” Hakim masih tenang. Dia duduk di sebelah
adiknya.
Helmi tersenyum sinis. Tangannya memegang
pipinya yang masih kebas ditumbuk abahnya tadi. “Kau tak payah risaulah. Dia tu
kuat. Confirm seratus tahun yang akan
datang pun dia hidup lagi. Ni buktinya.” Helmi menunjukkan kesan lebam di
pipinya.
Hakim ketawa kecil melihat muka adiknya yang
lebam kebiruan itu. Pantas sahaja tangannya menekan kesan lebam itu hingga
terjerit kesakitan Helmi.
“Padan muka kau! Lain kali buat lagi. Biar
muka kau biru macam Toshio.” Sergah Hakim. Terlintas di fikirannya wajah biru Toshio
Saeki dari cerita The Grudge yang sering menganggu tidurnya ketika zaman
remajanya dulu. Berkerut wajah Helmi menahan sakit. Hakim bergerak ke pintu
sebelum berpaling semula memandang Helmi.
“Aku nasihatkan kau ni supaya suatu hari
nanti kau takkan menyesal. Kita dah tak ada ibu. Abah seorang yang tinggal. Kau
dah besar, jadi kau fikirlah sendiri.” Hakim menarik tombol pintu bilik itu.
Helmi membaling bantal ke arah pintu yang
telah tertutup itu. Kata-kata Hakim sedikit pun tidak menjadi barah malah
memarakkan lagi api amarahnya. Helmi segera mencapai kunci motornya. Dia tidak
boleh terus duduk dalam rumah ini. Mahu meletup dadanya menahan marah.
BAB 3
“Woi,
geng. Apasal muka macam cekodok basi ni?” Remy menepuk kasar belakang Helmi.
Tahu sangat Helmi pasti baru selesai berperang dengan Dato’ Syukor.
“Ni.. apasal muka ni. Dapat sedas dari orang
tua tu ke? Kuat juga penumbuk dia!” Giliran Bob pula membuka mulutnya yang
kepoh. Tangannya yang mencengkam dagu Helmi ditepis kasar. Warung tempat mereka
melepak itu semakin bingit dengan bunyi deruman motosikal-motosikal mat rempit.
“Aku tengah panas ni! Yang korang nak bakar
aku ni lagi apasal. Nak kena sedas pula ke dari aku?” Tengking Helmi. Dia sudah
bangkit dari duduknya. Nafasnya turun naik dan dadanya berombak kuat. Kedua-dua
tangannya sudah bersedia menggenggam penumbuk padu menunggu masa untuk
dilayangkan sahaja. Bob dan Remy bertukar pandang sambil mengangkat sebelah
kening mereka.
“Rileks la, bro. Yang kau nak emo lebih-lebih ni kenapa? Kitorang tahu
macam mana nak sejukkan hati kau.” Remy mengangkat tangannya sambil membuat
aksi minum. Seraya Helmi menepis tangan Remy yang mendarat di bahunya.
“Kau jangan nak buat sial. Sejahat-jahat aku
ni pun aku tak pernah minum benda tu tahu tak?” Helmi memang tidak berani
menyentuh air kencing setan itu. Dia hanya memerhati dari jauh sahaja
kawan-kawannya yang seronok memabukkan diri. Akalnya masih waras.
“Ek eleh. Ustaz… Ana rasa tidak perlulah ustaz
menunjukkan kealiman ustaz di sini. Enjoy je geng!” Helmi masih diam. Otaknya
berkira-kira. Bob mengangkat sebelah keningnya. “Kejap! Ke kau takut ni?” Bob
memerli sambil diikuti sorakan geng-gengnya yang lain. Berdekah-dekah dia
ketawa dihadapan Helmi.
Nada sinis rakan-rakannya membuat Helmi rasa
tercabar. Tanpa memikir lebih lanjut akan akibat yang bakal diterima, huluran
botol arak dicapai kasar dari tangan Bob lalu diteguk rakus. Rakan-rakannya
yang lain ketawa galak berjaya menghasut Helmi.
Natrah melangkah laju
menuju ke masjid yang sudah dua hari menjadi tempat tumpangannya untuk
bermalam. Entah mengapa, malam itu hatinya berasa gelisah.
Dia melajukan langkah sambil memandang ke
kiri dan kanan jalan yang sunyi itu. Dia terlewat gara-gara tertidur di dalam
bas hingga terlepas stesen.
Dia memaki dirinya yang terlalu cuai. Kini
jarak yang terpaksa dia rempuh dengan berjalan kaki semakin jauh dan sunyi.
Sudahlah kakinya terseliuh akibat terlanggar seorang lelaki ketika di kaki
lima.
Helmi terasa dunianya
berpusing. Dia tidak mampu mengawal tawanya. Remy yang memboncengkannya turut
tertawa melihat Helmi yang semakin mabuk.
Remy menghentikan motornya. Ada sesuatu yang
menarik perhatiannya. Helmi yang bising menyanyi di belakang di suruh senyap.
“Apasal berhenti ni?” Soal Helmi dalam
keadaan separuh sedar. Remy ketawa sinis.
“Kau nampak tak apa yang aku nampak?” Helmi
turut memandang ke arah yang sama dengan Remy. Matanya mengecil melihat seorang
gadis yang kelihatan tergesa-gesa.
“So?” Helmi menyoal semula.
“Hisy! Engkau ni! Lauk tu. Tapi, geng.
Memandangkan kau stress malam ni. Aku bagi kau seorang je kendurikan lauk tu.
Pegi la! Apalagi!” Remy menolak kepala Helmi. Helmi yang faham akan maksud
rakannya itu turun dari motosikal dan mula mengekori langkah gadis itu. Fikirannya
berada di separa sedar ketika itu. Ditambah dengan pengaruh air haram, nafsu
jahat mula bergelojak dalam dirinya. Dia memerhati gadis itu yang masih belum
menyedari kehadirannya seolah-olah helang menanti masa untuk menyambar
mangsanya.
Nyaring jeritan Natrah
sebaik melihat lelaki dengan wajah terselindung di sebalik kegelapan malam
menyergahnya secara tiba-tiba. Dia mula menggigil ketakutan. Sekilas Natrah
terbayang perkara-perkara yang kejam dan ngeri seperti yang selalu dilihatnya
melalui berita dan dada-dada akhbar. Hatinya memohon agar Allah melindunginya.
Dalam masa yang sama dia merayu agar lelaki itu tidak mempengapakannya.
Baru sahaja gadis itu mahu membuka langkah
seribu, lelaki itu terlebih dahulu mencapai hujung baju kurungnya lalu direntap
kuat hingga terkoyak dan mendedahkan apa yang sepatutnya dilindungi. Tudungnya
turut direntap kasar hingga melukai pangkal lehernya.
Natrah meronta sekuat hati. Jeritannya
hanyut ditelan kesunyian malam. Dalam pergelutan itu, Natrah mencakar lengan
lelaki itu. Berang dengan tindakan gadis itu, Helmi nekad memukul gadis itu.
Saat itu, tiada lagi rasa simpati dalam dirinya. Yang dia tahu, dia mahu
melunaskan nafsunya yang tidak mampu dibendung lagi terhadap gadis cantik itu.
Setelah beberapa tumbukan, rontaan gadis itu
berhenti. Natrah longlai tidak sedarkan diri. Dia tewas pada nafsu buas lelaki.
Remy memandang
sekeliling. Dia yakin kawasan itu bukan laluan orang. Pekerjaan terkutuk yang
dilakukan Helmi tidak akan dapat dihidu.
Dia mengeluarkan kamera dari dalam poketnya.
Waktu yang paling tepat baginya mendapatkan rahsia besar Helmi. Setiap
perbuatan Helmi dirakam.
Suatu hari nanti, rakaman ini akan
membantunya. Bila-bila masa dia akan dapat memeras anak Dato’ itu jika dia
perlukan duit. Dia tidak dapat menahan tawa mengenangkan reaksi yang bakal
Helmi tunjukkan.
“Sorry lah geng. Dalam dunia ni memang kawan
makan kawan baru boleh hidup. Lepas ni kau tak boleh lari dari aku. Lepas ni,
aku kaya.” Ngomel Remy serdahana sambil tangannya lincah merakam aksi durjana
Helmi. Sekali lagi tawanya pecah membayangkan yang dia tidak akan pernah putus
duit untuk mendapatkan bekalan dadah.
BAB 4
Helmi
membuka matanya perlahan-lahan. Tekaknya terasa pahit dan kering. Matanya perit
dan pedih. Dia memicit kepalanya yang terasa pusing dan berdenyut-denyut. Dia
cuba mengingati di mana dia berada. Matanya melilau memandang seluruh kawasan
semak itu.
Berderau darahnya saat matanya tertancap
pada seorang gadis yang terbaring disebelahnya. Suasana sekeliling masih gelap,
namun dia dapat melihat jelas wajah gadis itu. Terdapat banyak kesan lebam di
wajah bujur sirih itu. Kain gadis itu yang tersingkap menampakkan paha putih
bersihnya dengan kesan darah kering yang terpalit sedikit mengembalikan
ingatannya.
Helmi terundur ke belakang. Serta-merta
dirinya diburu ketakutan. Nafasnya turun naik dengan laju. Dia memaki dirinya.
“Apa yang kau dah buat ni!” Dia menampar dahinya sendiri. Bibir gadis itu yang
berdarah menarik perhatiannya. Tiada reaksi langsung dari gadis itu. Masih
bernyawakah dia?
Helmi memberanikan diri
mendekati gadis itu lalu merapatkan telinganya pada wajah gadis itu. Dia dapat
menangkap desah nafas gadis itu. Masih ada namun perlahan sekali. Kain gadis
itu yang terselak ditarik semula.
“Maafkan aku. Aku tak sengaja” Helmi
memandang sekilas wajah gadis itu sebelum melarikan diri dari situ.
Sebaik tiba di rumah,
Helmi mengurungkan dirinya di dalam bilik. Hatinya mula dibayangi perkara yang
bukan-bukan. Bagaimana kalau gadis itu mati di situ? Jika dia tertangkap, pasti
dia dihukum bunuh! Tidak! Dia masih belum mahu mati. Dia terlalu takut. Helmi
menarik-narik rambutnya mengharapkan semua yang berlaku itu sekadar mimpi ngeri
buatnya.
Wajahnya yang dibasahi peluh sejuk dikesat
dengan tangan. Dia tidak boleh terus-terusan termenung di situ. Dia perlu lari.
Ya! Lari ke tempat yang tiada sesiapapun yang akan mengenalinya.
Helmi segera mengeluarkan bagasinya. Dengan
tangan menggeletar, dia mencapai apa sahaja yang terlintas di pandangannya.
Segala keperluan disumbat ke dalam beg itu. Dia tidak tahu ke mana dia ingin
melarikan diri. Yang pasti dia tidak mahu terus-terusan berada di situ menanti nasibnya
di muka pengadilan…
Baru sahaja dia melangkah turun, dia
bertembung dengan abangnya. Hakim yang baru selesai membancuh kopi kehairanan
melihat wajah adiknya yang jelas dalam ketakutan ditambah pula dengan bagasi
besar di tangan adiknya.
“Kau ni nak pergi mana dengan beg bagai ni.
Baju kau pun aku tengok kotor semacam. Hutan mana yang kau redah ni?” Soalan
Hakim dibiar tidak berjawab.
Matanya terarah pada pintu besar. Laju sahaja
langkahnya mahu ke sana, namun Hakim terlebih dahulu menghalang langkahnya.
Tindakan yang tiba-tiba itu menyebabkan gelas di tangan Hakim berderai di atas
lantai.
Dato’ Syukor yang dikejutkan oleh bunyi bising
di bawah segera bangkit dari tidurnya. Tersentak dia melihat Helmi bersama
bagasi besar di tangan.
“Kau ni nak pergi mana pula ni? Dah gila ke?
Pergi naik atas sekarang!” Arah Dato’ Syukor. Bik Yanti pula sibuk mengemas
kaca yang berserakan di lantai. ‘Apa lagilah hal sama keluarga Dato’ ini. Bikin
kaget sama orang lagi lena-lenaan.’ Ngumam Bik Yanti dalam hati.
Serabut kepala Helmi dibuatnya. Mustahil
baginya untuk melarikan diri dalam situasi ini. Akhirnya, dia hanya mampu
menurut sahaja kata-kata ayahnya. Waktu ini dia merasakan dirinya sangat kecil.
Bayangan perbuatan zalimnya terhadap gadis asing itu terus-terusan mengasak
mindanya.
Helmi mencampakkan
bagasi ke atas katilnya. Dia mencapai buku lakarannya lalu tangannya lincah
melakar satu gambar. Gambar gadis itu. Lukisan itu lengkap dalam masa tidak
sampai satu jam.
Helmi merenung gambar itu. Besar dosanya
pada gadis itu. Dia sudah menghancurkan masa hadapan gadis itu. Malah, dia telah
membunuh jiwa gadis itu dengan merampas satu-satunya mahkota paling berharga
buat seorang perempuan. Air matanya menitis satu-persatu di atas gambar itu.
“Maafkan aku. Ampunkan aku. Ampunkan aku…”
Hampir renyuk buku lakaran itu digenggam tangan kasarnya. Rasa bersalah menggunung
di jiwa. Dia tidak tahu apa yang dia harus lakukan. Dengan lukisan itu dalam
pelukannya, Helmi akhirnya terlena.
Dato’ Syukor membuka
pintu bilik Helmi. Dia menatap wajah anaknya yang masih terlena. Mindanya
diasak pelbagai persoalan. Apa yang sebenarnya terjadi pada Helmi?
Matanya tertancap pula pada buku lakaran di
dalam tangan Helmi. Dia cuba menariknya dari pelukan Helmi namun Helmi
mengeratkan lagi pegangannya pada buku itu hingga mematikan niat Dato’ Syukor.
“Maafkan aku. Aku tak sengaja.” Perlahan
suara Helmi berbisik. Dato’ Syukor mengelus ubun-ubun anaknya. Hatinya kuat
mengatakan ada sesuatu yang telah terjadi. Air jernih di tubir mata Helmi
menambah keyakinannya.
Dato’ Syukor meninggalkan Helmi yang masih
lena. Lampu bilik itu ditutup. Dia merenung lagi Helmi sebelum menutup pintu
bilik itu, membawa bersama seribu persoalan.
Telefon bimbit Dato’
Syukor menjerit minta diangkat. Dato’ Syukor meneliti nama yang terpapar di
skrin telefon bimbitnya. Farida…
Kedengaran suara serak basah Farida memberi
salam. Dato’ Syukor dapat menebak bahawa wanita itu menangis. “Kenapa ni?”
Dato’ Syukor melembutkan suaranya. Agak lama soalannya dibiar tidak berjawab
sebelum suara wanita itu kembali menyapa telinganya.
Hampir terlepas telefon itu dari tangannya.
Dia terduduk di atas katilnya. Dunianya terasa berpusing mengelilinginya. Dia
bagaikan tidak percaya dengan berita yang disampaikan Farida. Dia memegang
dadanya yang diserang sakit.
“Ya Allah, apa semua ni? Macam mana boleh
jadi macam ni?” Dato’ Syukor merintih dalam kesedihan. Dia tertunduk merenung
lantai.
BAB 5
Natrah
membuka matanya perlahan-lahan. Pandangan yang pada mulanya kabur semakin
jelas. Seluruh badannya terasa sakit dan sengal-sengal. Dia memandang
sekeliling bilik putih itu. Selepas seketika barulah dia menyedari bahawa dia
kini berada di hospital.
“Cik okay tak? Macam mana cik rasa?” Natrah
mengalihkan pandangannya pada gadis muda dihadapannya. Nametag yang tersemat di dada gadis bertudung litup itu dikerling
lemah. Natrah menggerakkan bibirnya, namun sepi… Tiada kata yang terluah.
Natrah menyentuh bibirnya. Ke mana hilangnya
suara dia? Natrah memandang doktor muda itu lalu hujung baju doktor muda itu di
capai. Dia menangis semahu-mahunya.
Doktor tersebut menepuk-nepuk bahu Natrah.
Dia telah menemui kes sebegini beberapa kali. Natrah dikira bernasib baik
kerana masih hidup. Sebagai seorang doktor, dia mampu menyelami perasaan pesakitnya
tambah pula dia juga seorang wanita. Dalam hatinya hanya mampu berdoa agar
Natrah diberi kekuatan menghadapi dugaan ini.
“Sabarlah Cik Natrah. Semua ini dugaan
Allah. Banyakkan beristighfar.” Doktor tersebut membalas pelukan Natrah.
Biarlah gadis itu menenangkan diri terlebih dahulu.
Natrah tersentak dengan
kehadiran Farida. Ibu tua yang telah banyak berjasa dengannya dipeluk erat.
Kedua-duanya hanyut melayan perasaan. Betapa hati Farida tersayat dengan takdir
yang menimpa anak jagaannya sewaktu di rumah anak yatim Al-Bakti dahulu.
“Natrah, ibu ada bawa seseorang yang nak
sangat jumpa dengan Natrah.” Pelukan antara mereka dileraikan. Wajah Natrah
dipegang lalu air mata gadis itu dikesat dengan tangannya. Farida berpaling
memandang Dato’ Syukor yang sedia berdiri di belakangnya. Mata Natrah turut
tertancap pada wajah asing itu.
“Nama saya Dato’ Syukor. Natrah boleh
panggil saya abah.” Ikhlas Dato’ Syukor menatap wajah anak itu. Terbayang di
matanya wajah anak itu saat melihat jenazah Kamil yang kaku diusung ke kubur.
Ada kolam duka dalam mata anak itu.
Natrah memandang Dato’
Syukor dan Farida silih berganti. Tangannya mencapai buku nota di meja
sebelahnya. Dia mencoretkan sesuatu di atas nota itu.
Abah
kenal saya?
Kertas itu dihulur pada Dato’ Syukor.
Berkerut dahi Dato’ Syukor dan Farida. Pandangan mereka terarah pada Doktor
muda yang sedang mencatatkan sesuatu dalam fail di hujung katil Natrah. Faham
akan maksud pandangan kedua-dua mereka, doktor muda itu mengangguk.
“Natrah mengalami
gejala kehilangan keupayaan bertutur disebabkan oleh trauma. Keadaan ini
merupakan kehilangan daya berhubung akibat kesan kejutan trauma kepada otak dan
terhadap kefahaman melalui pendengaran, pembacaan, pertuturan, dan penulisan.
Ini
kerana terdapat bahagian khusus otak yang berkait dengan penguasaan bahasa
mengalami gangguan. Keadaan ini boleh bersifat sementara atau juga memakan masa
bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri. Jadi sokongan moral daripada
keluarga sangat penting melihat kepada situasi pesakit sekarang.” Terang doktor
muda itu secara terperinci.
Dato’ Syukor memandang semula Natrah. Dia
menghela nafas sebentar. “Abah dengan ayah Natrah kawan baik. Kami kenal dari
zaman sekolah lagi.” Dato’ Syukor memulakan bicara. Natrah menumpukan sepenuh
perhatian agar soalannya terjawab.
Empat
belas tahun sebelumnya…
Kamil termenung di
dalam keretanya. Ruang pakir bawah tanah itu sepi tanpa kelibat seorang pun
manusia. Setelah setahun berlalu, akhirnya dia kembali ke apartmen milik lelaki
yang suatu masa dahulu merupakan sahabat baiknya dunia akhirat.
Kamil menghela nafas sedalam-dalamnya.
Berita kematian Laila harus disampaikan pada Syukor dalam masa yang sama dia
harus menunaikan amanat Laila supaya memperbaiki hubungan persahabatan mereka.
Bayangan beberapa susuk tubuh manusia di
sebalik salah satu tiang bangunan itu menarik perhatian Kamil. Tersentak Kamil
saat mendapati bahawa Syukor kini dikepung oleh tiga lelaki bertopeng dan
bersenjatakan batang besi dan kayu. Tanpa memikirkan keselamatan diri, dia
berlari mendapatkan Syukor.
“Hoi!” Jerkahan nyaring suara Kamil
mengejutkan Syukor dan tiga lelaki itu. Tanpa amaran, Kamil menendang perut
salah seorang dari lelaki bertopeng itu hingga lelaki itu terbaring dalam
kesakitan. Syukor segera bergerak mendapatkan Kamil. Mereka bersedia untuk
berlawan.
Selepas lebih kurang
setengah jam, ketiga-tiga lelaki itu berjaya ditumbangkan Kamil dan Syukor.
Syukor berpaling menghadap Kamil. Dia mengerutkan dahi melihat kehadiran Kamil
di situ. Kamil menyerahkan sekeping kertas kekuningan padanya.
Belum sempat Syukor membuka lipatan kertas
itu, Kamil menolak tubuh Syukor hingga tersungkur. Berderau darahnya melihat
salah seorang perompak itu menghentak kepala Kamil dengan batang besi. Darah
membuak-buak keluar dari kepala Kamil. Raungan Syukor bergema mengiringi pemergian
Kamil. Innalillah…
“Doktor… Kenapa Natrah
tak boleh bercakap?” Dato’ Syukor sudah tidak sabar-sabar ingin tahu apa yang
terjadi pada Natrah. Farida turut terangguk-angguk di sebelahnya.
“Cik Natrah menghadapi trauma yang hebat.
Peti suara dia sempurna, tapi secara psikologi yang menyebabkan dia tidak mampu
bercakap. Waktu ini penting untuk orang yang rapat dengannya beri sokongan dan
dorongan untuk dia pulihkan semangatnya. Untuk dia sembuh, bergantung pada
dirinya sendiri disamping ubat yang kami turut bakal bekalkan nanti. Dalam masa
yang sama kes Cik Natrah perlu dirujuk pada pakar psikiatri.” Panjang lebar
penerangan doktor itu. Seketika doktor itu memerhati kedua-dua insan di
hadapannya.
“Saya sebenarnya masih belum buat laporan
polis sebab saya lihat keadaan emosi Cik Natrah belum stabil. Saya tidak mahu
keadaannya bertambah buruk. Tapi, sekarang saya lihat dia sudah semakin stabil.
Rasanya tiada masalah untuk polis soal siasat dia.” Doktor tersebut menyambung
bicara.
“Jangan. Saya tak mahu aib yang ditanggung
Natrah tersebar walau pada seorang insan pun lagi. Biarlah semua ini jadi
rahsia.” Dato’ Syukor segera menghalang niat doktor tersebut. Berkerut dahi
doktor itu.
“Tapi…”
“Tolonglah, doktor. Doktor pun perempuan,
mesti doktor faham.” Dato’ Syukor merayu pada doktor itu. Farida turut terangguk-angguk
bersetuju untuk menutup aib Natrah.
“Kes macam ni perlu dilaporkan. Kita tak
boleh biarkan pelaku tu lepas bebas dekat luar sana.” Doktor itu masih cuba
mengubah keputusan kedua-dua orang di hadapannya.
“Tidak. Saya tak boleh biarkan Natrah
mendapat malu. Kalau perlu, saya sendiri akan berjumpa dengan pengarah.” Tegas
Dato’ Syukor.
Doktor muda itu
melepaskan keluhan. Ini sudah melanggar etika kerjanya, namun dia terbayang perasaan
Natrah yang turut enggan melaporkan apa yang terjadi kepada pihak polis.
Akhirnya, dalam
keterpaksaan doktor muda itu mengangguk. Apalah kuasanya hendak melawan
pengaruh besar Dato’ Syukor yang kebetulannya merupakan salah seorang pemegang
saham besar hospital itu. Dalam diam dia berharap agar pelaku itu mendapat
balasan walau tidak di dunia, biarlah mahkamah akhirat yang mengadili dosanya.
No comments:
Post a Comment