Pages

Thursday, 10 July 2014

Cerpen Orkid yang layu


   Orkid terduduk di bangku taman permainan itu. Tubuhnya terasa lemah sekali. Semangatnya terasa telah jauh terbang meninggalkan jasadnya. Gadis sunti itu memejamkan matanya lalu mendongakkan kepalanya. Terasa panahan lembut cahaya matahari ke kulit kuning langsatnya. Meski dia cuba menahan, namun air matanya jatuh juga membasahi pipi mulusnya. Sebentar kemudian, dia membuka matanya. Terbentang langit biru permai di hadapan matanya. Kesedihan yang membadai di jiwanya kembali tenang.
   "Ya Allah... Apa yang aku harus lakukan?" Bibir nipis Orkid terkumat-kamit mengadu pada yang Maha Kuasa. Dia kemudiannya menjatuhkan pandangannya ke hadapan. Kelihatan ramai orang bersendiri mahupun bersama keluarga ataupun rakan beriadah di taman itu. Mereka semua kelihatan bahagia. Dia pula, bolehkah dia bergembira juga?


#####

    Rumah papan bercampur batu itu kelihatan lengang. Orkid menarik nafasnya dalam-dalam. Kuat Orkid! Kau mesti kuat.
    Perlahan, dia melangkah mendekati rumah itu yang begitu indah dihiasi pelbagai jenis pokok bunga yang kelihatan segar sekali.
    "Assalamualaikum..." Kuat suara Orkid memberi salam namun salamnya terbiar sepi. Orkid menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ke mana pula perginya tuan rumah ini. Gadis itu lalu mengatur langkah ke tepi rumah yang sederhana besar itu. Saat itu dia menangkap susuk seorang wanita yang agak gempal berbaju kurung kuning air. Dia tersenyum lalu mendekati wanita itu dan memeluknya dari belakang.
    "Mak!" Kuat suara Orkid menyergah ibunya, Halijah. Terjungkit bahu ibunya menerima kejutan. Dia segera berpaling lalu bahu Orkid yang ketawa girang itu ditampar kuat. Semakin kuat ketawa Orkid dengan reaksi ibunya itu.
    "Hisy! kamu ni, Orkid. Nasib baik mak ni tak ada sakit jantung. Kalau tak, cari lain bapak kau nanti." Marah Halijah. Orkid hanya mengekek ketawa. Halijah kembali menyambung kerjanya menggembur tanah di dalam pasu bunganya yang terbantut tadi. "Mengejut je balik. Tak ada kelas ke?" Soal Halijah meski dia tahu Orkid sememangnya rajin balik ke kampung setiap kali ada masa. Manja betul anak keduanya itu.
   "Ada. Orang ponteng. Rindu sangat dengan mak." Jawab Orkid bersahaja. Halijah menggelengkan kepalanya.
   "Baru jumpa minggu lepas dah rindu? Belajar tu jangan main-main." Halijah memandang anak gadisnya yang hanya menjongketkan kedua-dua bahu. Orkid melangkah ke arah deretan pasu bersangkut paras bahunya yang didiami bunga orkid pelbagai warna. Halijah turut mengekor lalu berdiri di sebelah Orkid. Intuisinya mengatakan ada sesuatu yang dirahsiakan darinya.
   "Mak... Cantik kan bunga orkid ni. Patutlah mak bagi nama Orkid dekat orang..." Halijah tersenyum. Kerana minatnya pada bunga, habis diletakkan nama-nama bunga pada anak-anaknya. Anak sulungnya, Mawar. Anak keduanya Orkid dan anak bongsunya Melur. Mujur sahaja dia tidak punya anak lelaki. Kalau tidak mahu haru lelaki mempunyai nama bunga.
   Halijah memerhati Orkid yang memetik sekuntum orkid berwarna ungu lalu diselitkan di lipatan selendangnya di bahagian telinga. Orkid bertukar pandang dengan ibunya.
   "Cantik tak?" Soal Orkid sambil tersenyum manis.
   "Cantik... Anak-anak mak semua cantik." Lama mereka terdiam sebelum Halijah bersuara. "Orkid ada apa-apa nak beritahu mak?"
   Orkid menghela nafasnya. Beranikan diri kau, Orkid... Perkara ni serius. Kau perlukan keluarga kau untuk tahu dan menghadapi perkara ini bersama-sama.
   "Mak..." Orkid sudah berhadapan dengan ibunya. Wajah tua itu jelas dibalut kerisauan. Sebelah tangannya mencapai tangan ibunya. Tangan yang telah banyak membelainya, menyuapnya makan, merawat lukanya dan pelbagai lagi jasa yang tak mampu dibalas. Tangan itu digenggam erat. Sebelah lagi tangannya menyentuh bunga orkid yang terselit di selendangnya. "Kalau Orkid ni layu, mak sedih tak?" Soalnya.
   Halijah mencapai tangan Orkid yang menyentuh bunga itu. Kini kedua-dua tangan mereka bertaut erat. "Orkid cuba terus-terang dengan mak." Tekan Halijah tanpa menjawab soalan anaknya.
   Lama Orkid diam tertunduk sebelum akhirnya dia mendapat kekuatan untuk bertentang mata dengan ibunya. "Masa untuk Orkid layu dah dekat..." Ujarnya perlahan. Air matanya sudah tidak dapat di tahan. "Orkid sakit, mak. Orkid sakit." Lirih suara Orkid. Dilihatnya Halijah turut mengalirkan air mata.
   "Apa Orkid cakap ni? Kalau Orkid sakit, kita pergi hospital. Biar doktor rawat Orkid." Halijah sudah menarik tangan Orkid namun Orkid pantas menahan.
   "Doktor tak boleh tolong Orkid mak. Dah terlambat. Orkid... Orkid ada barah otak peringkat ketiga. Dah tak ada siapa boleh tolong Orkid, Mak."
   Halijah menggelengkan kepalanya berulang kali. "Tak.. Doktor yang kau jumpa tu bodoh. Dia tak tahu apa-apa. Kita jumpa doktor lain. Kita jumpa doktor yang betul-betul kali ni.." Halijah cuba lagi menarik tangan Orkid. Tapi kali ini Orkid sudah terduduk di atas tanah sambil menangis teresak-esak. Halijah turut meraung. "Ya Allah..." Rintih Halijah.

#####

   Rumah itu dibalut sepi meski berpenghuni. Orkid merehatkan kepalanya ke riba Halijah. Kini seisi keluarganya telah mengetahui keadaan dirinya. Ya, inilah yang terbaik. Meski pahit mereka harus lalui bersama. Dia terlalu pentingkan diri jika nerahsiakan penyakitnya hanya kerana takut orang yang tersayang turut merasakan kesakitan. Hidup bukan drama.
   Mawar mendekati Halijah dan orkid. Ubun-ubun adiknya diusap lembut. Melur turut sama mendekat lalu mendakap tubuh Orkid yang sedang berbaring itu. Orkid turut sama membalas pelukan itu. Akhirnya empangan air mata tiga beradik itu pecah. Halijah menahan sebak melihat anak-anaknya.
   Idris, bapa Orkid melepaskan keluhan. Dia yang sejak tadi hanya termenung di jendela mendekati isteri dan anak-anaknya. Dahi Orkid dikucup lembut. "Semua kita hadapi bersama-sama. Orkid mesti kuat. Terima kasih sebab Orkid tak rahsiakan perkara ni dari kami." Idris cuba menahan air matanya dari jatuh.
   Orkid mengangguk laju. Dia tahu mereka sedih. Dia juga sebak. Namun dia sangat perlukan kasih sayang keluarga pada saat-saat genting sebegini.

#####

   "Orkid! Kau dah balik!" Dilara segera menerpa tubuh langsing itu lalu dipeluk seeratnya hingga Orkid terbatuk kerana kesesakan. Orkid menepuk tangan rakan baiknya itu.
   "Dah lah. Aku tak boleh nafas ni..." Ujar Orkid dalam nada tersekat-sekat yang sengaja dibuat-buat. Dilara melepaskan pelukan namun kedua-dua tangannya masih melekat di bahu Orkid. Senyuman manis Dilara tiba-tiba memudar. Gadis itu memasamkan muka lalu menjeling Orkid.
   "Kau buat aku risau tahu tak? Kau pergi mana? Menghilang tak cakap apa-apa pun dekat aku." Marah Dilara. Bahu Orkid ditolak lalu tangannya disilang.
   "Alahai, Cik Dilara kita merajuk. Ala bucuk-bucuk." Usik Orkid sambil menarik-narik pipi putih mulus Dilara. "Aku minta maaflah. Aku balik kampung." Ujar Orkid sambil tersenyum pahit.
   Dilara yang menyedari perubahan Orkid mula menunjukkan wajah bimbang. "Kau kenapa? Mak kau paksa kau kahwin ke?" Tebak Dilara melulu. Pecah tawa Orkid mendengar kesimpulan Dilara yang langsung tidak munasabah itu. Ringan tangan Orkid menunjal kepala Dilara yang jelas kehairanan melihat ketawanya yang mendadak itu.
   "Itulah kau! Baca novel je. Kau ingat aku ni heroin novel-novel yang kau baca tu ke? Berangan je..." Sindir Orkid. Dia tahu sangat hobi rakannya yang satu ini.
   Dilara kembali mencebik. Tapi sebentar cuma. Dia lalu menarik tangan Orkid untuk duduk di katil miliknya bersebelahan katil Orkid.
   "Kau tahu.... Adam dah couple. Awek die si Suzana minah gedik kampus ni." Cerits Dilara bersungguh-sungguh namun Orkid hanya tersenyum tawar membuatkan Dilara menggaru kepalanya yang memang sedikit gatal.
   "Baguslah tu..." Orkid memandang wajah Dilara yang berkerut. "Berapa lama kau tak syampu rambut ni?" Marah Orkid sambil menarik tangan Dilara yang laju menggaru kepala. Dilara hanya tersengih.
   "Kau betul okay ke? Baru minggu lepas kau luahkan perasaan dekat dia. Tup-tup minggu ni die dah bercinta dengan orang lain. Kau tak terasa ke?" Orkid menggelengkan kepala. Memanglah dia kecewa tapi apa yang dia hadapi sekarang jauh lebih parah dari putus cinta. Terlalu parah.

#####

   Orkid menatang pinggan berisi nasi lauk kari dan gelas berisi air sirap dengan berhati-hati. Dilara yang mengekor dari belakang tiba-tiba menyeru nama Orkid. Saat Orkid berpaling, tubuhnya bertembung dengan seseorang. Pinggan dan gelasnya melayang. Dia terduduk. Saat itu juga dia terdengar nyaring jeritan seorang gadis. Orkid berpaling melihat meja di tepinya. Terbuntang matanya melihat seluruh tubuh termasuk kepala Suzana dicemari nasi dan kari. Adam yang duduk berhadapan dengan Suzana turut tersentak. Orkid memandang Dilara yang masih melopong. Rasa bersalah menebal dalam jiwanya.
   Orkid segera bangun lalu meminta maaf pada Suzana namun dibalas dengan jelingan yang tajam. Adam turut sama berdiri mendepani Orkid yang sudah tertunduk itu. Dilara segera mendapatkan rakannya.
   "Saya tak sengaja.. Saya minta maaf sangat-sangat." Orkid cuba menghulurkan tisu pada Suzana namun ditepis kasar.
   "Tak sengaja konon. Kau sebenarnya sengaja buat macam ni sebab kau cemburu tengok aku dan Adam kan? Kau memang dengki kan?" Suzana cuba menampar Orkid. Mujur sahaja Dilara lebih pantas menangkap tangan Suzana.
   "Dia dah minta maaf kan. Kalau dia cakap dia tak sengaja maknanya dia tak sengajalah. Apa masalah kau?" Tengking Dilara yang sudah mula hilang sabar. Tangan Suzana digenggam kuat hingga gadis itu mengaduh sebelum dilepaskan.
   Adam yang diam sedari tadi mencapai air kopi ais miliknya yang masih belum luak lalu dicurah ke atas kepala Orkid yang dibalut tudung. Terus suasana di kafe itu menjadi sunyi. Kesemuanya terkejut dengan tindakan mendadak yang tidak diduga itu.
   "Kau suka aku kan? Jadi bila aku bagi kau air kopi ni. Kau mesti gembira kan? Maklumlah, 'hadiah' dari orang yang kau suka." Suzana yang berdiri di sisi Adam tersenyum sinis.
   Serentak itu juga satu tumbukan padu hinggap di muka Adam hingga lelaki itu terpelanting ke atas meja kafe. Bingit kafe itu dengan jeritan Suzana dan beberapa gadis lain yang menyaksikan aksi ganas itu. Dilara dan Orkid hanya berpandangan sesama sendiri.

#####

   Orkid menyambut sapu tangan yang dihulur lelaki tinggi lampai itu. Dilara yang juga duduk di sebelah Orkid di atas pangkin berdekatan dengan dewan kuliah tiba-tiba berdiri.
   "Panas betul hati aku ni dengan jantan tak guna tu. Memang padan dia kena belasah macam tu " Marah Dilara berapi-api. Sebentar kemudian dia berpaling pula menghadap orkid dan lelaki tadi. "Kau pulak Afiq, serius kau cool gile tadi." Puji Dilara ikhlas kepada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Afiq itu. Lelaki itu tertawa kecil melihat kelakuan Dilara yang mencuit hati itu. Comel sungguh di matanya. Dia kemudian memandang Orkid yang hanya diam membisu.
   "Saya patut minta maaf. Kalau saya tak langgar awak tadi, mesti tak jadi macam ni." Orkid tersenyum manis.
   "Tak ada apalah. Benda dah jadi pun." Orkid memandang Dilara. "Aku rasa kena balik juga tukar baju. Tak nak aku pergi kelas macam ni."
   "Ponteng lagi ke? Hmm... Tak apalah. aku  teman kau balik." Ajak Dilara.
   "Tak apalah. Aku boleh balik sendiri." Orkid cuba melarang namun jelingan di mata Dilara itu membuatnya mengalah dan tersenyum sendiri. Hai lah Dilara....

#####

   Orkid memutahkan keseluruhan isi perutnya. Setelah lega, dia memandang wajahnya di cermin. Dia perasan perubahan wajahnya akhir-akhir ini. Kerana sering muntah dan hilang selera makan, pipinya yang penuh kini kelihatan cengkung sedikit. Kulitnya yang dahulu kuning langsat kini kelihatan semakin kusam. Matanya juga sedikit sembab dan tidak bermaya kerana sering berjaga malam dan menangisi nasibnya. Dia mengeluh... Di mana dia perlu dapatkan kekuatan. Setiap hari, dia semakin takut. Untuk tidur, dia takut yang dia tidak akan bangun semula.
   Orkid sedikit tersentak saat bahunya ditepuk perlahan. Dia dapat melihat imej Dilara yang terpantul dari cermin sedang merenungnya dengan wajah serius. Dia hanya tersenyum tawar.
   "Ada apa-apa ke yang kau rahsiakan dari aku?" Soal Dilara dengan suara yang perlahan namun cukup tegas nadanya. Orkid hanya menunduk. Bagaimana dia hendak berterus-terang dengan rakannya ini? Baru dia mahu membuka mulut, satu suara terlebih dahulu mencelah perbualan mereka
   "Kau bunting, kan? Sebab tu kau asyik muntah." Tuduh Suzana yang muncul dari sebalik pintu tandas. Entah sejak bila gadis itu berada di situ. Bulat mata Orkid mendengar tuduhan itu manakala Dilara hanya diam mendengar. "Patutlah kau kena tolak dengan Adam. Dia memang tahu kau perempuan murahan rupanya." Tokok Suzana lagi.
   Orkid memandang ke arah Dilara. Gadis itu turut membalas pandangan Dikara  Namun pandangannya berbeza sekali. Pandangan rakannya itu seolah-olah mempercayai kata nista Suzana. Orkid menggelengkan kepalanya. Namun rasa mual membantutkan penjelasannya. Dia kembali memuntahkan isi perutnya ke dalam sinki. Suzana berlalu dari situ diikuti Dilara. Orkid tidak mampu menghalang meski hatinya meronta mahu menafikan fitnah yang terlalu berat itu.. Hanya air matanya yang menjadi teman.

#####

   Orkid termenung di tingkap bas. Dia nekad! Kepulangannya ke kampung kali ini bagi meminta keizinan dari keluarganya untuk berhenti belajar. Dengan keadaan kesihatannya yang semakin merosot malah sikap Dilara yang dingin serta fitnah tentang dirinya mengandungkan anak luar nikah tersebar dalam kalangan rakan sekuliah hingga dia dipanggil pihak universiti untuk membuat penjelasan benar-benar membuat hatinya tawar. Dia sudah tidak larat cuba memberi penjelasan. Dia benar-benar lelah.
   Gadis itu menyandarkan kepalanya ke tingkap lalu menghamburkan segala kepahitan yang dia rasa melalui air matanya.
   "Adik... Adik tak apa-apa ke?" Soal seorang wanita separuh dekat yang duduk bersebelahan dengannya. Orkid menggelengkan kepalanya lalu mengetap bibirnya yang tidak lagi segar memerah seperti dahulu.
   Wanita itu mengeluh perlahan. Risau pula melihat anak gadis di sebelahnya itu. Jelas kelihatan dihempap seribu permasalahan. Dia lalu menepuk lembut bahu Orkid dengan harapan ada sedikit ketenangan dapat disalurkan ke dalam jiwa anak itu. Orkid semakin sebak mendapat layanan baik dari wanita yang tidak dikenali sedang rakan-rakannya sendiri malah lelaki yang dia sukai sudah mengabaikan dia. Apalah nasibnya....

#####

   "Orkid pasti ke dengan keputusan Orkid ni?" Soal Idris kepada Orkid. Anak gadisnya itu mengangguk lemah. Idris melabuhkan punggung di sebelah Orkid. Rambut anak gadisnya yang lurus dibelai lembut. "Orkid tahu kan? Kalau boleh ayah nak Orkid terus belajar." Pujuk ayahnya. Mati itu pasti. Kenapa harus berhenti menuntut ilmu hanya kerana mereka tahu tempoh masa yang tinggal buat Orkid.
   "Orkid tahu. Tapi lepas ni Orkid kena jalani chemotherapy sekali seminggu. Badan Orkid akan jadi semakin lemah... Orkid tak rasa Orkid mampu. Lagipun..." Bicara Orkid mati. Tak sanggup rasanya menceritakan apa yang dia hadapi di kampus. Idris mengerutkan dahinya. Jelas anaknya kurang senang berkongsi cerita. Biarlah... Dia tidak akan memaksa tapi jika Orkid ingin meluahkan rasa dia sedia mendengar.
   "Kalau macam tu, nanti Orkid tinggal dengan kak Mawar dekat KL. Senang nak pergi hospital." Cadang Idris. Orkid hanya mengangguk dalam diam.

#####
   
   "Aku rasa perempuan tu menghilang mesti sebab malu. Tak pun dia nak gugurkan kandungan dia tu. Hisy! Nampak je macam sopan bertudung tapi perangai mengalahkan syaitan." Herot-berot mulut si Suzana bercerita. Berani sungguh dia menabur fitnah. Tidakkah dia tahu dosa nemfitnah itu lebih berat dari dosa membunuh 1000 orang muslim?
   Dilara yang mendengar kata-kata nista Suzana itu jadi panas punggung. Sakit benar hatinya mendengar teman baiknya dituduh sebegitu sekali. Dilara akhirnya bangkit dari duduknya lalu berdiri betul-betul di belakang Suzana. Namun Suzana masih tidak menyedari kehadiran Dilara sedang rakan-rakannya yang lain yang tertawa tadi terdiam. Kecut perut melihat panahan mata Dilara yang tajam mengalahkan mata pedang.
   "Korang ni kenapa senyap tiba-tiba?" Soal Suzana yang masih dengan sisa tawanya. Dia memerhatikan arah lirikan rakan-rakannya. Namun, belum sempat dia berpaling, dia merasakan rambut perangnya ditarik kuat. Terjerit dia saat mendapat serangan tiba-tiba.
   Dilara mengheret gadis itu turun dari tangga dewan kuliah menuju ke tengah pentas. Pembesar suara yang memang tersedia di situ dicapai. Rambut perang Suzana masih belum dilepaskan. Dia tersenyum sinis saat melihat wajah pucat rakan-rakan sekuliahnya.
   Berdengung bunyi mikrofon menikam pendengaran saat alat itu berada di tangan Dilara. "Korang semua dengar sini!" Jelas suara Dilara mengarah. Afiq yang berada di sudut atas dewan masih ternganga melihat tindakan nekad Dilara. "Sesiapa yang berani cakap bukan-bukan lagi pasal Orkid, akan terima nasib yang sama macam betina ni." Kasar suara Dilara mengugut. Rambut Suzana dicengkam semakin kuat hingga gadis itu menjerit nyaring. Kepalanya bergoyang-goyang mengikut arah tarikan tangan Dilara.
   Adam yang tiba-tiba masuk ke dewan terkejut melihat teman wanitanya disakiti sebegitu sekali. Segera dia menerpa lalu tubuh Dilara ditolak kasar hingga tersungkur. Suzana kini berada dalam pelukannya sambil menangis. Melihatkan itu, Afiq berlari laju mahu mendapatkan Dilara. Namun belum sempat dia mendekat, Orkid tiba-tiba muncul dari sebalik dewan lalu mendapatkan Dilara. Dia membantu rakannya untuk berdiri, namun dia tersentak apabila Dilara menepis tangannya. Dia yang sememangnya sebak mendengar dan memerhati apa yang dilakukan Dilara sebentar tadi dari sebalik dinding bertambah sayu.
   Adam cuba mendekati Dilara dengan niat mahu memberi amaran tetapi Orkid lebih pantas mendepani lelaki itu. Kini, tiada lagi Orkid yang lemah-lembut. Tiada lagi Orkid yang mendiamkan sahaja diri apabila dilayan dengan teruk. "Kau jangan berani apa-apakan kawan aku." Ringkas namun kasar sekali nadanya membuat Adam terkedu. Tidak pernah dia melihat Orkid marah sehingga sebegini rupa.
   Dilara cuba berlalu dari situ tanpa mempedulikan Orkid. Orkid yang menyedari itu segera menarik tangan Dilara menghentikan langkah gadis itu.
   "Lepaskan tangan aku." Lemah sahaja suara Dilara.
   "Aku tahu kau percayakan aku yang aku tak akan buat perkara terkutuk tu. Tapi kenapa kau seolah-olah membenci aku?" Luah Orkid. Pipinya sudah basah dengan air mata. Mawar menjenguk melihat drama air mata di hadapan matanya tanpa niat mahu mencampuri urusan mereka. Biarlah mereka sendiri menyelesaikannya. Dia ke sini pun kerana mahu menghantar adiknya untuk menarik diri dari universiti itu. Dia kembali menyandarkan tubuhnya ke dinding. 'Kuatlah adikku. Kakak akan sentiasa berdiri di belakang kamu.' Bisik hati kecil Mawar.
   Dilara masih tidak menoleh, tidak juga mencuba menarik tangannya dari genggaman Orkid. "Aku memang percayakan kau. tapi kau yang tak percayakan aku."
   Orkid mengerutkan dahinya. "Apa maksud kau?"
   "Kalau kau betul-betul anggap aku ni sebagai kawan kau. Kau akan mempercayai aku dan kau tahu untuk itu kau harus jujur dengan aku. Trust is to be earn. Tapi, kau hanya diamkan sahaja sedang aku tahu kau ada masalah. Kau enggan berkongsi dengan aku. Apalagi namanya kalau bukan kau tidak percayakan aku." Ujar Dilara. Suaranya tersekat-sekat. Dia turut menangis. Dia melangkah menjauhi Orkid yang telah melonggarkan genggaman tangannya. Orkid keliru. Dia memandang langkah Dilara yang berat dengan seribu satu rasa.
   Belum sempat Dilara memulas tombol pintu dewan, Orkid menyeru namanya agak nyaring. "Dilara! Maafkan aku! Aku... Aku..." Orkid tertunduk. Kini semua perhatian dalam dewan itu diarahkan padanya. Begitu juga dengan Dilara yang telah berpaling menghadapnya mengharapkan kejujuran dari rakan baiknya itu. Orkid menghela nafas sedalam mungkin. Ya Allah... Kuatkan aku. "Aku ada barah otak peringkat ke tiga.." Orkid membuka matanya yang dipejamkan tadi. Jelas wajah pucat Dilara memandangnya. Habis sahaja bicaranya, dia terduduk lemah. Seisi dewan menjadi hening. Masing-masing terkejut mendapat khabar itu.
   Dilara berlari mendapatkan Orkid. Kuat raungannya seerat pelukannya terhadap tubuh kurus Orkid. "Ya Allah... Orkid. Kenapa macam ni sekali? Berat sekali penderitaan kau, Orkid. Ya Allah.. Apa salah kami?" Raung Dilara. Dia bagai hilang punca. Afiq turut terduduk di sisi Orkid dan Dilara. Air mata lelakinya turut mengalir lesu. Besar sekali rahsia Orkid. Adam dan Suzana sudah pucat wajah mereka. Sama sekali tidak disangka begini pengakhirannya... Hampir kesemua rakan sekuliah Orkid merasa sebak melihatkan keadaan Orkid dan Dilara. Sayu dan rasa bersalah menghimpit mereka.

#####

   Dilara masih enggan melepaskan tangan Orkid. Dia menyandarkan kepalanya di bahu Orkid. Sungai air matanya masih belum kering. Afiq pula hanya diam membatu di sebelah Dilara.
   "syush.. Dah lah tu. aku belum mati lagi." Gurau Orkid. Namun gurauannya disambut dengan air mata Dilara yang semakin deras. Orkid mengeluh. "Aku minta maaf sebab tak beritahu kau awal-awal. Aku tak ada keberanian. Aku tak kuat..." Ujar Orkid. Dilara hanya menggelengkan kepalanya dalam sendu. Ini bukan tentangnya. ini tentang Orkid.
   "Kenapa?" Hanya itu yang dapat diucapkan Dilara. Dia kehilangan kekuatan untuk berkata-kata.
   Orkid tersenyum hambar. "Ya... Kenapa mesti aku yang dipilih?" Dia bertukar pandang dengan Afiq. Mata lelaki itu kelihatan berkaca. "Aku tahu jawapannya. Sebab Allah tahu aku kuat untuk menempuh dugaan ni. Dia tahu aku redha. Dia tahu aku ada orang-orang yang ikhlas menyayangi aku walau dalam apa keadaan sekalipun."
   Dilara mengangkat kepalanya. Dia merenung dalam-dalam anak mata Orkid. "Kau kawan aku dunia akhirat." Ucap Dilara.
   Orkid mengangguk laju. "Dunia akhirat..." Bisiknya.

#####

   Orkid memandang lesu ke luar tingkap wad hospital. Sudah berapa hari dia terlantar di situ. Dia sendiri tidak mengetahui. "Assalamualaikum.." Lembut suara Melur memberi salam membuat Dilara mengalihkan pandangan ke arah adiknya. Hanya mulutnya terkumat-kamit menjawab salam tetapi suaranya langsung tidak kedengaran.
   "Melur ada bawa something untuk akak." Ceria suara Melur berbicara. Orkid turut tersenyum meski kelihatan hambar. Dia tahu Melur hanya berpura-pura gembira. Bukan hanya Melur bahkan semua orang di sekelilingnya. Dia tahu... Mereka juga tahu. Masa yang tinggal sudah terlalu singkat.
   Melur menunjukkan seikat bunga-bungaan di tangannya. Cantik sekali. Adiknya mengikat beberapa kuntum bunga terdiri dari tiga jenis. Bunga mawar, orkid dan Melur. "Ini Melur buat sendiri, tahu. Tapi jangan bagi tahu mak. Sebab Melur curi bunga mak." Melur bersuara separuh berbisik. Dia kemudiannya tersengih menyerlahkan barisan gigi putihnya yang cantik tersusun. Seputih kelopak bunga melur.
   Tiba-tiba Halijah muncul bersama Mawar dari belakang. Halijah menarik cuping telinga melur yang ditutupi tudung. Terjerit kecil Melur dibuatnya manakala Mawar hanya menahan tawa di belakang.
   "Patutlah bunga mak banyak hilang. Kerja budak bertuah ni rupanya." Halijah berpura-pura marah. Melur tersengih lagi sambil menggosok-gosok telinganya yang terasa agak panas.
   "Alah... Mak. Bunga-bunga mak yang tiga orang ni kan lagi berharga." Manja sahaja Melur memeluk lengan Hallijah. Idris yang baru muncul membelai ubun-ubun Melur sambil tersenyum lembut.
   Orkid memerhati keluarganya. 'Ya Allah... Bahagiakanlah mereka walau aku sudah tiada dalam keluarga ini.'
   Mawar mendekati adiknya. Ubun-ubun adiknya yang dibalut tudung putih dibelai lembut. Hatinya dilanda sebak namun dia cuba menyembunyikannya di sebalik senyumannya. "Kejap lagi Dilara sampai." Ujarnya. Orkid mengangguk. Matanya kembali tertumpu ke luar tingkap. Sekuntum bunga berwarna kuning air kelihatan kembang segar di atas pohon yang gagah berdiri itu. Dia tersenyum. Indah sekali di matanya.

#####

   Dilara mengucup pipi Orkid. Mata gadis itu yang terpejam kembali terbuka perlahan-lahan. Dilara sebak melihat Orkid yang kini terbaring lemah di katil hospital. Mata galak rakannya dulu kini tidak lagi bercahaya. Pipi gadis itu semakin cengkung. Kulit dan bibirnya kelihatan pucat.
   Afiq yang memahami apa yang bermain di hati Dilara mengusap bahu gadis itu. Cuba memberi kekuatan walau dia sendiri turut dilanda badai kesedihan. Dilara memeluk pinggang suaminya yang berdiri di belakangnya. Ya, mereka telah bernikah beberapa minggu yang lepas. Mereka bernikah saat rakan baik mereka, Orkid masih mampu tersenyum menyertai kegembiraan mereka. Tapi, kini Orkid semakin lemah. Sanggupkah mereka menghadapi hari-hari seterusnya tanpa rakan kesayangan mereka itu.
   Orkid menggamit Dilara agar lebih rapat dengannya. Dilara meleraikan pelukannya dari pinggang suaminya. Telinganya dirapatkan ke wajah Orkid. Dilara tersenyum lembut mendengar bicara Orkid yang kedengaran payah sekali.
   Dilara mencapai tangan Orkid lalu dibawa ke bibirnya. "aku pun berterima kasih sebab kau sudi jadi kawan aku..." Dilara menyeka air matanya. Begitu juga Afiq dan seluruh ahli keluarga Orkid. "Dunia akhirat."
   Bibir Orkid yang sedikit menggelupas itu dihiasi senyuman manis. Direnung wajah-wajah yang dia kasihi sepenuh hati. Wajah-wajah yang akan dia tinggalkan untuk kembali pada yang Esa.
   Matanya kembali bertaut dengan mata Dilara. Dilara meletakkan jarinya yang telah dibasahi air mineral ke bibir Orkid bagi mengurangkan kekeringan bibirnya. Orkid menghembuskan nafas lemah sebelum matanya terpejam. Melihatkan itu, pergerakan tangan Dilara terhenti. Halijah sudah menyembamkan wajahnya ke dada idris. Mawar dan Melur berpelukan sambil menangis dalam diam.
   "Assalamualaikum." Satu suara menarik perhatian mereka. Mereka berpaling. Kelihatan Adam berdiri tegak memandang ke arah Orkid. Orkid membuka kembali matanya.
   "Orkid..." Suzana pula muncul di belakang Adam dengan wajah yang jelas dibalut sayu. Suzana kelihatan manis sekali berselendang ungu.
   Dilara kembali memandang Orkid. Dia menghela nafas lega melihat rakannya masih bernyawa. Sebentar kemudian kedengaran bunyi tapak kaki seolah-olah ramai orang berlari menuju ke arah katil Orkid. Tidak sampai beberapa saat, satu demi satu wajah bekas rakan sekuliah muncul di hadapan mereka. Setiap seorang membawa sekuntum bunga orkid pelbagai warna.
   Air mata kebahagiaan mengalir laju membasahi pipi. Kini kesemua wajah yang pernah menjadi sebahagian dari hidupnya yang mencabar ini berada di hadapannya sambil tersenyum. Di situ dia yakin, hubungan mereka datang dari keikhlasan dan tak akan pernah terpadam. Dunia dan akhirat...
   Dengan sisa tenaga yang terakhir, Orkid tersenyum semanis mungkin. "Terima kasih..." Itulah kata-kata terakhir Orkid. Perlahan tapi cukup untuk sampai di pendengaran Dilara.
   Mawar memandang ke arah luar jendela wad. Bunga yang sering direnung Orkid gugur ke tanah mengikut langkah layunya bunga Orkid dalam keluarganya.
   Pergilah Orkid. Tinggalkanlah semua derita dan bawalah segala kenangan yang bahagia... Maka layulah sekuntum Orkid...

   

No comments:

Post a Comment