Pages

Saturday, 12 July 2014

Novel Bahagia buat Natrah - Part 3

BAB 11

   Helmi turun ke ruang tamu saat akad nikah selesai dan doa sedang di bacakan. Bukan sengaja dia lambat turun. Panggilan dari Ustaz Rahim yang mengambil sedikit masanya.
   Dia mengambil tempat di sebelah Dato’ Syukor. Wajah Hakim dipandang sekilas. Jelas ketidakpuasan di wajah itu. Dato’ Syukor enggan menceritakan sebab pernikahan ini. Helmi terbayang pula kekasih hati abangnya, Rossa. Apa yang terjadi pada gadis itu dan bagaimana penerimaannya?
   Selesai mengaminkan doa, tangan Dato’ Syukor berlabuh di paha Helmi. Bibirnya menjuih ke arah Natrah mahu memperkenalkan gadis itu pada Helmi.
   Saat mata Helmi tertancap pada wajah cantik itu, hatinya bergetar. Darah terasa menyirap ke muka. Wajah itu tidak sesaat pun dia lupakan sejak kejadian itu. Dosa-dosa lalu kembali memburu jiwanya. Berbagai persoalan mengasak mindanya.

Rambutnya dirauk. Pelbagai rasa memberat di dadanya. Dia tidak punya kuasa mengulang semula masa. Permandangan malam dari balkoni biliknya direnung sayu. Kini gadis yang pernah menjadi mangsa nafsunya menjadi hak sah abangnya sendiri. Apa semua ini?
   Alangkah bagusnya jika gadis itu menjadi isterinya maka dia bisa mendapat peluang untuk menebus dosanya. Hatinya bertambah resah memikirkan malam ini, gadis itu sepenuhnya menjadi hak Hakim. Dia tidak rela dengan itu.
   Dia tahu suatu hari nanti rahsia yang dia simpan ini akan membawa padah yang lebih besar pada gadis itu dan keluarganya. Dia menyalahkan dirinya.
   Helmi menghempaskan tubuh sasanya ke atas katil. Lengannya mendarat di dahinya. Matanya merenung lampu di syiling namun apa yang dia nampak kini hanya wajah Natrah. Andai sahaja dia tidak berkurung dan mengasingkan diri dari perkembangan yang berlaku di rumah, pasti saat ini Natrah bahagia menjadi isterinya. Apakah takdir yang ditetapkan buat mereka?

Natrah melabuhkan punggungnya di katil. Dia tunduk saat Hakim melangkah masuk ke bilik itu. Dia dapat merasakan pandangan tajam suaminya itu. Hatinya dihimpit rasa bersalah.
   “Kenapa kau tunduk? Rasa bersalah?” Bentak Hakim. Dia menyilang kedua-dua belah tangannya. Dia tegak berdiri di hadapan Natrah yang masih menunduk. Berang dia apabila tiada reaksi dari gadis itu. Tangannya mencengkam kasar pipi Natrah. Kepala gadis itu didongakkan supaya memandangnya. Sedikit pun Natrah tidak melawan.
   “Kau dengar sini. Kau hanya isteri pada nama. Aku jijik nak sentuh perempuan kotor macam kau, faham! Kau takkan rasa walau secicip bahagia pun selepas ni. Aku akan pastikan.” Keras suara Hakim menampar pendengaran Natrah.
   Tubuh langsing gadis itu diheret jauh dari katil menuju ke depan pintu bilik air lalu ditolak kasar hingga terduduk di lantai mozek. Dia melangkah meninggalkan Natrah. Biar gadis itu tidur di situ. Tidak rela rasanya berkongsi katil dengan perempuan kotor itu.
   Natrah memegang perutnya yang sedikit membuncit. ‘Maafkan ibu. Ibu janji awak takkan rasa derita sampai akhir nyawa ibu. Biar ibu sendiri tanggung dosa yang tak pernah ibu lakukan.’ Natrah memandang sejenak Hakim yang telah menarik selimut.
   Tiada rasa simpati langsungkah buat dirinya? Hina sangatkah dia sedang dia hanyalah mangsa keadaan? Bagaimana dia harus menghadapi hari-hari yang akan datang hidup bersama lelaki yang membencinya? Pelbagai persoalan memberat di kepalanya.
   Natrah membaringkan tubuhnya di lantai itu. Rasa sejuk yang menggigit tubuhnya cuba tidak dipedulikan. Dia memaksa dirinya untuk melelapkan mata. Biarlah mimpi ngeri ini dilupakan sementara…

Natrah teragak-agak mahu mengejut Hakim dari lenanya. Dia sendiri telah selesai mengerjakan solat, namun suaminya masih juga tiada tanda mahu terjaga.
   Diberanikan juga dirinya menggoncang tubuh lelaki itu. Sekurang-kurangnya dia ada mencuba. Hakim menepis kasar tangan Natrah.
   “Heh! Kau ni apasal kacau aku?” Hakim kini duduk bersandar di katil. Merah matanya memandang benci pada Natrah. Gementar Natrah melihat renungan tajam itu namun segera dikawal riak mukanya.
   Natrah menghalakan pandangan ke arah jam yang telah menunjukkan pukul enam setengah pagi. Hakim memandang ke arah yang sama sebelum matanya kembali tertancap pada tubuh Natrah yang masih berbalut dengan telekung.
“Sembahyang?” Sinis sahaja senyuman yang terukir di wajah Hakim. Hakim bangun dari katil lalu berdiri tegak menghadap Natrah yang sudah menggigil ketakutan.
    Telekung Natrah direntap lalu rambut gadis itu itu yang mengurai panjang di tarik. Bibirnya didekatkan pada telinga Natrah sambil kepala Natrah digoyang perlahan. “Kau nak tunjuk baik dengan siapa? Hey, Tuhan pun tak terimalah solat perempuan jalang macam kau. Lepas ni jangan kau kacau aku lagi.” Sembur Hakim berapi-api. Tubuh Natrah ditolak hingga tersungkur. Dia kembali menarik selimut. Dia membelakangi Natrah yang masih bersimpuh di situ.
   Hatinya sedikit tersentuh memikirkan telah bertahun-tahun dia meninggalkan amalan wajib itu, namun perasaan halus itu segera dinafikan lalu diusir jauh-jauh.

Helmi memandang Natrah yang sibuk menghidangkan sarapan di atas meja. Dia menghulurkan pinggannya kepada gadis itu. Natrah tersenyum ikhlas sambil mencedok nasi yang digoreng Bik Yanti.
   Hati lelakinya dihambat resah melihat ada duka yang sarat bertakung di sebalik senyuman Natrah. Sungguh dia tidak akan memaafkan dirinya selagi Natrah tidak bertemu dengan kebahagiaan.
   “Duduklah.” Helmi menarik kerusi di sebelahnya. Natrah hanya menggeleng perlahan. Seboleh-bolehnya biarlah dia makan sarapan bersama Bik Yanti  seperti biasa. Ada persoalan timbul di mindanya melihat Helmi yang tiba-tiba muncul pagi ini dan tidak lagi mengurung diri seperti selalunya.
   Wajah kacak Helmi dikerling sekilas. Dia dapat melihat keikhlasan pada wajah itu. Mungkinkah dia akan bahagia jika Helmi yang menjadi suaminya? Segera dia menafikan kenyataan itu.
   Mana ada lelaki yang sanggup memperisterikan perempuan yang telah dihisap madunya. Dia sepatutnya menghargai usaha Dato’ Syukor untuk menutup aibnya. Untuk itu dia harus melatih diri bersabar menghadapi karenah Hakim yang sanggup menikahinya walau bukan secara rela.
   “Duduk sajalah, Natrah.” Dato’ Syukor muncul sambil menjijit briefcase miliknya. Natrah tidak membantah lalu mengambil tempat di sebelah Helmi. Sekilas, dia dapat menangkap senyuman yang dihulurkan adik iparnya itu.
   Hakim yang baru terjengul di ruang makan sempat menangkap aksi berbalas senyuman antara Natrah dan adiknya, Helmi. Entah mengapa ada satu rasa kurang senang di hatinya. Apa mungkin dia cemburu? Hakim segera menafikan.
   ‘Aku tak cemburu! Aku cuma menyampah tengok dia pandai-pandai menggatal dengan adik aku. Ya! Itu sebab aku rasa marah. Itu sahaja sebabnya.’ Hakim mengawal gelodak amarahnya sebelum bergerak mengambil tempat di hadapan Natrah.
   Wajah itu direnung sekejap hingga Natrah mengangkat muka. Pandangan mereka bertaut buat beberapa ketika. Kedua-duanya cuba menafikan perasaan halus yang mencuri masuk ke dalam hati masing-masing.



BAB 12

   Dalam keterpaksaan, Hakim membiarkan tangannya disalam penuh hormat oleh Natrah. Melihat Natrah mencium lembut tangannya, perasaan halus yang hadir sebentar tadi kembali menyelinap ke seluruh sel tubuhnya.
   Segera tangannya ditarik namun riak wajahnya dikawal. Walaubagaimanapun, Dato’ Syukor tidak boleh menghidu apa yang terjadi antara dia dan Natrah. Bukan dia tidak tahu betapa sayangnya Dato’ Syukor pada gadis itu.
   “Esok Helmi mula masuk kerja, ya?” Dato’ Syukor memegang bahu anaknya itu. Kaget juga dia waktu Helmi menyatakan keinginannya untuk bekerja. Namun perubahan anaknya itu diterima dengan senang hati. Helmi hanya mengukir senyuman manis.
   “Natrah start kerja balik lusa, kan?” Dato’ Syukor bertanya saat tangannya disalam menantunya itu. Dia hanya tersenyum saat melihat anggukan gadis itu. Dahi Natrah dikucup penuh kasih. Sudah lama dia ingin berbuat begitu pada gadis ini dan kini dia mampu kerana hubungan mereka telah sah. Natrah benar-benar menjadi anaknya.

Butang alat kawalan jauh itu ditekan beberapa kali sebelum menjumpai rancangan yang mampu menarik minatnya. Helmi yang baru hendak ke dapur membatalkan niatnya saat dia melihat Natrah yang begitu khusyuk menonton televisyen. Dia melangkah ke arah gadis itu.
“Tengok cerita apa?” Mesra Helmi bertanya. Natrah memandang sejenak lelaki itu sebelum mencapai pen dan memo yang sengaja dia letakkan di atas meja.
Cerita korea. Seronok juga…
   Berubah riak wajah Helmi saat menyambut kertas yang dihulurkan Natrah. Berkerut-kerut dahinya. Natrah yang dapat membaca perubahan riak wajah Helmi itu kembali mencoret sesuatu ada kertas memonya.
Doktor cakap saya tak boleh cakap sebab saya masih trauma dengan kemalangan yang menimpa saya. Tapi, insyaallah saya yakin suatu hari nanti suara saya akan kembali.
   Terasa bagai berjuta batu-batu tajam dilemparkan pada dirinya saat membaca coretan gadis itu. Dia yakin kemalangan yang dimaksudkan Natrah itu sama dengan apa yang ada di fikirannya saat ini.
   “Natrah… Kenapa awak tiba-tiba nikah dengan Hakim.” Helmi kembali bersuara setelah beberapa ketika melayan rasa berdosanya. Dia dapat menangkap keruh di wajah manis itu.
Abah tak beritahu Helmi?
   Helmi menggelengkan kepalanya. Ada getar yang bermukim di hatinya. Natrah menghela nafas sedalam mungkin sebelum menulis kejadian yang sering memburu lena dan jaganya. Helmi menanti dalam debaran yang tidak sudah.

Helmi menutup pintu biliknya. Dia melangkah longlai sebelum terduduk di lantai bersebelahan katilnya. Setitis demi setitis air matanya mengalir. Kertas memo yang dihulurkan Natrah renyuk digenggamnya sekuat hati. Seluruh tubuhnya menggeletar.
   “Allah… Al… Allah…” Tersekat-sekat suaranya kedengaran. Hanya itu yang mampu diucapkannya. Betapa besar dosanya pada gadis itu. Kini, anak dari benihnya tidak akan pernah tahu bahawa dialah bapanya. Dalam masa yang sama dialah lelaki yang memusnahkan hidup ibu kepada anaknya.
   Dunianya terasa kelam. Wajah Natrah yang ikhlas menghadiahi senyuman manis buatnya kembali melekat di kornea matanya. Hatinya terasa dirobek-robek. Dia memaki dirinya sendiri. Suma adalah salahnya! Salahnya!

Natrah hairan melihat Helmi yang sarat dibendung duka saat membaca bait-bait tulisannya. Simpatikah lelaki itu padanya? Sampai begitu sekali lelaki itu menunjukkan simpatinya sehingga dia melihat seperti Helmi dapat merasa derita yang dia lalui. Namun hati Natrah sedikit lega kerana Helmi mempercayainya tidak seperti Hakim. Kedua-duanya memang berbeza.
   “Non… Dato’ telefon sebentar tadi. Katanya dia sama Deng Hakim enggak bisa pulang malam ini. Mereka di Pahang. Lagi ada kerjaan.” Suara Bik Yanti mencantas lamunan Natrah. Dia mengangguk memahami mesej yang disampaikan.
   Bik Yanti duduk disebelah Natrah. Tabah betul gadis itu di matanya. Simpatinya tumpah pada gadis malang di hadapannya. Tangannya mengusap perut Natrah yang sudah kelihatan agak buncit. Natrah tersenyum dengan tindakan Bik Yanti.
   Namun hatinya sayu mengenangkan nasib anak di dalam perutnya itu. Kalaulah suaminya yang mengusap perutnya saat ini… Tapi, apa guna memikirkan perkara yang mustahil. Angan hanya tinggal angan dan tidak akan menjadi kenyataan.
   Dia tahu dia tidak layak untuk Hakim. Siapalah dia… Dia hanyalah buah yang telah ditebuk tupai. Sememangnya dia sedar tidak aka nada cinta dan kemanisan dalam perkahwinan ini seperti orang lain. Hanya redha sahaja mampu dia lakukan.

Natrah terjaga dari tidurnya. Tekaknya terasa dahaga yang amat sangat. Dia turun dari katil lalu mencapai tudungnya. Dia melangkah menuju ke dapur.
   Rasa bagai mahu gugur jantungnya. Terkejut dia melihat Helmi yang terbaring di sebelah peti. Dia dapat lihat air yang tumpah berdekatan kawasan Helmi terbaring. Segera dia menerpa tubuh sasa itu. Wajah pucat Helmi ditepuk perlahan.
   Natrah mahu mendapatkan Bik Yanti. Namun niatnya terbantut apabila tangannya dipegang lemah oleh Helmi. Dia dapat melihat lelaki itu membuka mata sedikit dan menggeleng lemah. Nafas lelaki itu nampak perlahan.
   Natrah berhati-hati memapah Helmi ke sofa di ruang tamu. Badan lelaki itu terlalu panas. Terkocoh-kocoh Natrah ke dapur lalu mengambil sedikit air dicampurkan dengan ais untuk mendemah dahi Helmi. Ubat dan air suam juga dibawa ke depan.
   Dia dapat melihat mata Helmi yang sekejap terbuka sekejap terpejam. Gusar hatinya apabila Helmi tiba-tiba jatuh sakit begini sedang pagi tadi lelaki itu kelihatan sihat sahaja. Hatinya berdoa agar demam lelaki itu surut dan tiada apa-apa yang serius menimpa Helmi.

Helmi membuka matanya perlahan. Dia memandang Natrah yang sudah terlentok di sofa sebelah. Dia bangkit dari baringnya. Terasa tubuhnya kuat sedikit berbanding malam tadi. Jam sudah menandakan pukul empat pagi. Kasihan Natrah menjaganya sepanjang malam. Sudahlah gadis itu berbadan dua pula.
   Helmi mendekati Natrah. Berhati-hati pipi mulus itu diusap dan tubuh Natrah digendong. Sedikitpun lena gadis itu tidak terganggu. Dia membaringkan Natrah di katil bilik Hakim. Tangannya bergetar mengusap perut Natrah. ‘Nak, maafkan ayah..’ Sayu hatinya berbisik. Dia lalu bergerak meninggalkan Natrah dengan seribu kekesalan.












BAB 13

   Tubuh yang terasa penat sekali dibaringkan ke atas katil. Baru dia hendak memejamkan mata sesuatu mengganggu fikirannya. Ke mana isterinya? Walau penat dia memaksa diri untuk bangkit.
   Sepanjang dua bulan perkahwinan mereka, sudah menjadi kebiasaan bagi Natrah menyambut kepulangannya, namun kenapa batang hidung gadis itu langsung tidak kelihatan. Apa isterinya masih belum pulang dari pejabat? Mustahil.. Tidak pernah isterinya balik lebih lewat darinya. Pekerjaan sebagai kerani bukannya banyak sangat.
   Hakim membuka pintu bilik air. Tersentak dia melihat tubuh Natrah terkulai di situ. Jatuhkah gadis itu? Tubuh longlai Natrah segera dicempung lalu dibaringkan ke katil. Inilah kali pertama dia membiarkan Natrah berbaring di atas katil mereka.
   Rasa bersalah sedikit mengasak jiwanya saat melihat kesan biru lebam di lengan isterinya. Dia mencengkam lengan gadis itu dengan kasar hingga tumpah air yang dibawa gadis itu buatnya hanya dengan alasan dia tidak mahu meminum air yang dibancuh Natrah.
   Desah nafas gadis itu yang perlahan memanggil rasa risau ke dalam dirinya. Sejenak dia terfikir, perkahwinannya sering dibalut kesunyian. Natrah tidak pernah bersuara meski telah banyak kali menerima penangannya. Aneh juga dia dengan kesabaran gadis itu. Kalau perempuan lain yang dilempangnya, pasti sudah lama menjerit dan meraung.
   Tapi Natrah, hanya menangis dalam diam. Di hadapan Dato’ Syukor juga gadis itu tidak pernah menunjukkan kesedihan. Entah dari mana Natrah mendapat jiwa secekal itu.
   Kepala Natrah bergerak sedikit. Kejadian hitam itu masih mengganggu mimpinya. Bibirnya kelihatan terkumat-kamit, namun tiada sebutir perkataan pun yang lahir dari ulas bibir merah jambunya.
   Lamunan Hakim tercantas melihat Natrah yang seolah-olah diburu sesuatu yang menakutkan. Spontan tangannya ringan mengelus ubun-ubun gadis itu. Natrah kembali hanyut di alam mimpi. Hakim melihat wajah Natrah yang kembali tenang. Ada getar yang memalu dadanya saat menatap wajah cantik itu. Segera dia tersedar lalu bangkit melangkah keluar dari kamar.
   Natrah membuka matanya. Dia pasti ini bukan mimpi. Dia masih terasa lembut elusan suaminya. Pipinya terasa hangat. Pertama kali dia merasa belaian dari suaminya. Kekasaran dan kekerasan Hakim sebelum ini seperti luput begitu sahaja. Dia memejamkan matanya kembali dengan hati yang mula mencambah kasih.

Helmi melihat abangnya resah di luar pintu bilik. Beberapa kali Hakim dilihat meraup mukanya. Helmi membatalkan niat untuk merehatkan badannya di bilik setelah seharian bekerja lalu melangkah mendekati Hakim.
   “Hoi. Apasal aku tengok kau ni dah macam cacing kepanasan?” Sergah Helmi. Hakim tidak tahu mahu menjawab apa. Gelora yang dirasakan sebentar tadi cuba disembunyikan sebaik mungkin.
   “Tak ada apa-apa. Aku okay je. Cuma tiba-tiba rasa panas sikit.” Entah logik entah tidak alasan yang dia berikan pada Helmi. Helmi hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala.
   “Natrah mana? Aku tengok tadi dia tak ada dekat dapur macam biasa.” Helmi cuba bertanya. Hatinya mengandung rindu buat gadis itu walau hanya sekejap tidak berjumpa. Dada Hakim kembali berdebar mendengar nama itu.
   “Tadi aku nampak dia pengsan dalam bilik air. So, aku biar dia rehat atas katil.” Sehabis mungkin suaranya dikawal agar kedengaran bersahaja.
   “Pengsan? Kenapa tak bawa pergi hospital. Macam mana kalau jadi apa-apa pada kandungan dia?” Nada suara Helmi dibalut kerisauan yang menggunung buat Natrah dan bayi di dalam kandungan gadis itu.
   “Kenapa aku nak susah-susah bawa dia pergi hospital. Anak tu bukan anak aku pun. Itu anak dia.” Sinis sahaja senyuman Hakim. Memang dia merasa agak risau dengan keadaan Natrah tadi, namun apabila perihal kandungan Natrah disebut rasa benci dan jijik kembali bermukim dalam jiwanya.
   “Kau ni melampau betul. Kalau kau tak nak bawa, biar aku yang bawa.” Tegas Helmi. Tersentak Hakim mendengar kata-kata adiknya itu. Kerisauan yang ditunjukkan Helmi seolah-olah Natrah itu isteri Helmi dan bukan isterinya.

Natrah terpaksa membiarkan Helmi memapahnya ke dalam rumah. Sejak usia kandungannya semakin meningkat, tubuhnya sering merasa lemah dan tidak berdaya ditambah pula dengan sikap Hakim yang kadang tidak cukup dengan mulut tangan sekali naik.
   Natrah melabuhkan punggungnya di atas sofa. Dia hanya melihat Helmi menghilang ke dapur sebelum muncul kembali dengan segelas air dan ubat. Layanan Helmi yang terlalu baik memanggil sebak ke dalam dadanya. Andai sahaja Hakim seikhlas Helmi… Pasti hidupnya sempurna.
   “Natrah okay?” Dato’ Syukor muncul bersama Hakim. Tersenyum dia melihat Helmi yang begitu perihatin dengan keadaan Natrah. Terkadang hatinya terpanggil, mungkin silap dia menikahkan Natrah dengan Hakim dan bukan dengan Helmi. Dia dapat lihat layanan Hakim yang masih dingin tetapi apabila Natrah disoal, gadis itu hanya menggeleng menafikan sebarang pergolakan.
   Natrah hanya mengangguk perlahan. Matanya dipejamkan. Hakim merenung dalam-dalam anak mata Natrah. Baru sebentar tadi dia mengetahui dari Dato’ Syukor akan sebab kebisuan gadis itu.
   Apa dia salah menghukum Natrah atas kesalahan yang bukan dilakukannya sedang dia sendiri sering perasan lena Natrah sering diburu ketakutan. Pengalamannya melihat betapa murahnya harga diri Rossa membuat dia tidak mempercayai isterinya. Salahkah dia?
   Natrah memejamkan matanya. Penat dia berbalas pandang dengan Hakim yang hanya tercegat dengan riak yang sukar ditebak. Kepalanya yang masih terasa berat disandarkan ke kepala kerusi.
   Melihatkan Natrah seperti mahu terlelap, Helmi menanggalkan jaket yang dipakainya. Tubuh Natrah ditutup dengan jaket itu. Hakim yang hanya menjadi pemerhati dapat merasa darahnya seperti menggelegak. Segera dia mencempung tubuh Natrah lalu dibawa meninggalkan Helmi dan Dato’ Syukor terkedu di ruang tamu.

BAB 14

   Hakim membuka matanya perlahan. Dia melihat Natrah masih lena di atas lantai berdekatan pintu bilik air. Gadis itu kelihatan mengerekot kesejukan. Natrah sendiri mengambil tempat di situ sebaik terjaga dan Hakim tidak menghalang. Dia sebenarnya sudah tidak kisah Natrah berbaring di katil, namun egonya menghalang dia dari meluahkan kata hatinya itu.
    Baru Hakim hendak bangun menuju ke arah Natrah, tubuh itu kelihatan bergerak-gerak. Terus Hakim menarik selimut semula. Matanya dibuka sedikit memerhati pergerakan Natrah. Setiap langkah Natrah tidak lepas dari pandangan matanya.
   Entah mengapa hatinya merasa damai sekali melihat Natrah khusyuk berdoa di tikar sejadah. Dia berpura-pura tidur sebaik melihat Natrah mendekatinya. Gadis itu tidak pernah jemu cuba membangunkannya untuk menunaikan perintah Allah meski pernah beberapa kali tangan kasar Hakim mendarat di pipi gebu itu dan rambutnya yang mengurai lebat ditarik kasar.
   Natrah melihat wajah kacak suaminya dengan penuh kasih. Walaupun lelaki itu tidak akan pernah menyayanginya, dia tidak pernah jemu berdoa agar hati lelaki itu terbuka untuk menerimanya walau bukan sebagai isteri, hanya sebagai seorang manusia.
   Tangannya ringan mengelus perlahan pipi Hakim. Itulah yang sentiasa dia lakukan sebelum mengejutkan suaminya itu dari tidur kerana hanya waktu itu dia mampu menunjukkan rasa kasihnya pada insan yang bergelar suaminya.
   Rasa mahu pecah dada Hakim menahan debaran saat terasa pipinya dielus lembut tangan Natrah yang sejuk. Sedaya upaya dia menahan dadanya yang dilanda gelora.
   Dia membuka matanya saat tubuhnya digoncang gadis itu. Dia melihat gadis itu mengundurkan diri agak jauh darinya. Mungkin gerun dengan reaksi yang bakal dia beri. Entah mengapa semakin dia tatap wajah cantik itu, rasa benci semakin hanyut di bawa arus.
   Dia segera meninggalkan Natrah terkebil-kebil sendirian menuju ke bilik air. Bukan dia tidak reti mendirikan solat hanya dia terlalu hanyut dengan dunia sementara hingga lupa akhirat yang kekal selamanya. Sudah sampai masanya untuk dia berubah. Dan orang yang berjaya melembutkan hatinya tidak lain tidak bukan adalah isterinya sendiri yang sering dia hina dan maki.

Natrah memeluk manja tangan Dato’ Syukor. Seronok benar gadis itu saat menerima ajakan Dato’ Syukor untuk keluar membeli-belah. Tambah pula dengan sikap Hakim yang akhir-akhir ini semakin berubah. Dia tidak lagi dipukul lelaki itu. Mungkin Hakim risau melihat kesihatannya yang semakin merosot. Atau mungkin lelaki itu sudah malas memukulnya. Dia tidak kisah apa sahaja alasan perubahan sikap Hakim. Dia hanya mampu bersyukur atas perubahan positif suaminya.
   Hakim hanya mengikut langkah Dato’ Syukor dan isterinya dari belakang. Sejenak dia terbayang andai sahaja dia dan isterinya berjalan bergandingan seperti itu namun egonya terlalu tinggi untuk mengakui keinginannya sendiri…
“Natrah nak makan apa?” Dato’ Syukor memandang ke arah Natrah yang tersenyum manis. Comel sungguh wajah Natrah. Dia menjeling sejenak ke arah Hakim yang sedari tadi tidak lepas dari memandang Natrah. Hati tuanya tercuit. Lelaki mana yang tidak akan terpikat dengan rupa paras Natrah ditambah lagi dengan sikap manja dan lemah lembutnya.
   Mata Natrah meliar memandang restoran di sekeliling. Pandangannya tertancap ke arah sebuah restoran di hujung sekali. Jelas restoran itu menyediakan masakan ala-ala Thailand. Jarinya ditunjuk ke arah itu sambil tangan Dato’ Syukor ditarik lembut. Manja betul Natrah dengan lelaki yang digelar abah itu.

“Hakim… Honey…”
   Hakim terkejut saat mendengar namanya diseru dari arah belakang. Natrah dan Dato’ Syukor turut berpaling. Riak wajah Hakim dan Dato’ Syukor berubah saat melihat gadis yang tercegat tidak jauh dari mereka.
   Tersentak Natrah saat gadis asing itu tiba-tiba meluru dan memeluk Hakim dengan erat sekali. Apa hubungan gadis itu dengan suaminya hingga gadis itu begitu nekad memeluk Hakim di khalayak ramai. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia menyerang gadis yang baju seperti tidak cukup kain itu.
   “Stop it, Rossa!” Keras suara Hakim memberi amaran. Tubuh gadis itu ditolak kasar lalu dia bergerak ke arah Natrah lalu memegang bahu Natrah yang jelas terkejut dengan tindakannya itu. Dato’ Syukor hanya tersenyum melihat gelagat Hakim dan reaksi Rossa.
   “Siapa perempuan ni? Stay away from him.” Melengking suara Rossa memarahi Natrah. Orang yang lalu-lalang di sekitar ada yang berhenti, ada yang menggelengkan kepala malah ada yang tersenyum sinis melihat drama percuma itu. Terkebil-kebil Natrah ditengking sebegitu rupa.
   “Hei! Dia isteri I. You stay away from me.” Hakim mengeratkan lagi pautannya di bahu Natrah. Telunjuknya tepat mengarah ke wajah Rossa. Rossa sudah mula meraung seperti orang meroyan mendengar bicara Hakim. Natrah menelan liur. Apa sebenarnya yang terjadi ini?
   “Sampai hati you buat I macam ni. I sayang sangat dekat you.” Rossa cuba mencapai tangan Hakim, namun pantas Hakim menepis lalu menjarakkan diri dari perempuan murahan itu. Natrah yang terkebil-kebil itu diheret sekali.
   “Oh… Cinta untuk I, tapi tubuh untuk orang lain. Sudahlah Rossa… you jangan ganggu hidup I lagi. Pergilah cari jantan lain. I dah jijik tengok muka you. Jom, sayang…” Hakim memimpin tangan Natrah jauh dari Rossa yang masih meraung. Natrah sempat berpaling memandang Rossa sebelum gadis itu hilang dari pandangan. Hati kecilnya hancur mendengar bicara Hakim seolah-olah kenyataan itu ditujukan padanya. Mungkin suatu hari nanti dia akan ditinggalkan dan dimalukan di khalayak ramai seperti gadis tadi. Apa yang harus dia lakukan bila saat itu tiba?

Natrah duduk bersimpuh di atas lantai. Dia hanya memandang suaminya yang keresahan di atas katil. Entah apa yang sedang bermain difikiran lelaki itu saat ini.
   Hakim melepaskan keluhan berat. Macam manalah dia boleh terserempak dengan Rossa petang tadi. Selama ini panggilan dan mesej gadis itu tidak pernah dilayan. Dia menyangka setelah menukar nombor, dia mampu lepas dari gangguan gadis itu tapi pusing-pusing boleh pula dia berjumpa dengan gadis itu secara kebetulan.
   Hakim memandang sekilas Natrah yang hanya duduk membisu di atas lantai. Gadis itu masih tidak berani mendekatinya. Gadis itu hanya menyentuhnya saat ingin mengejutkannya sahaja. Pada waktu-waktu biasa, seolah-olah ada jurang yang tidak kelihatan menjarakkan mereka.
   Natrah memegang perutnya yang tiba-tiba berasa sakit. Berkerut sedikit dahinya. Dia memandang Hakim yang melangkah keluar dari bilik. Dia dapat mendengar desah lelaki itu yang mungkin masih berang dengan kejadian petang tadi. Natrah menuruti langkah Hakim. Dia mahu ke dapur untuk meminta ubat dari Bik Yanti.
   Hakim berhenti melangkah di pertengahan tangga. Dia menoleh. Dia yang menyangka Natrah sengaja mengikutinya mula berasa rimas dan sakit hati.
   “Yang kau ni apasal ikut-ikut aku? Tak ada kerja lain ke?” Agak tinggi suara Hakim menyapa telinga. Pantas Natrah menggeleng. Dia hanya mahu ke dapur, bukannya membontoti Hakim. Namun ungkapan itu tersekat di kerongkongnya.
   “Apa geleng-geleng. Rimas aku dengan kau!” Tangan Hakim mula mencengkam lengan Natrah lalu digoncang kuat. Berkerut dahi Natrah menahan sakit. Dalam pada itu, entah macam mana tubuh Natrah hilang imbangan. Dalam sekelip mata, batang tubuhnya bergolek ke bawah.

Helmi yang seronok berbual dengan Bik Yanti mendengar suara abangnya yang dibalut kemarahan. Sewaktu dia melangkah ke tangga, terasa mahu pitam melihat Natrah yang sudah terbaring longlai di situ. Segera dia menerpa tubuh Natrah yang sudah tidak bergerak. Dia melihat abangnya masih kaku beberapa tapak dari situ.
   “Natrah… Natrah…” Helmi menepuk-nepuk perlahan pipi gadis itu. Tiada reaksi. “Ya Allah!” Meraung Helmi saat melihat darah merah pekat mengalir di kaki gadis itu.
   Bik Yanti sendiri sudah teresak-esak melihat keadaan Natrah. Dato’ Syukor yang mendengar kegamatan di tingkat bawah keluar dari bilik. Bulat matanya melihat Natrah yang sudah dicempung Helmi. Darah yang mengalir di kain Natrah bagai mencabut nyawa dari tubuhnya.
   “Ya Allah! Anak abah!”



BAB 15

    Entah sudah berapa lama Natrah berada di wad kecemasan. Helmi memanggung kepala. Dadanya rasa ingin pecah menanggung rasa risau dan takut. Ya, takut akan kehilangan wanita yang dicintainya dan anak yang dikasihi.
   Matanya menangkap imej Hakim yang berdiri kaku di tepi pintu wad. Api kemarahan mula marak menyala dalam dirinya. Dia menerpa tubuh longlai Hakim. Kolar baju abangnya dicengkam kuat. Mencerlung matanya memandang wajah Hakim yang pucat.
   “Kau! Kau yang tolak Natrah, kan?” Bergerak-gerak rahang Helmi menanggung kemarahan yang menggunung. Hakim kelihatan seolah-olah baru kehilangan jiwa. Dia tidak bereaksi langsung dengan tindakan Helmi. Matanya hanya tertancap pada lantai mozek putih itu.
   “Kau dengar tak?” Suara Helmi mula meninggi. Nafasnya deras diikuti dadanya yang berombak laju. Tubuh abangnya digoncang kasar. Hakim mengalihkan pandangannya pada adiknya. Dato’ Syukor dan Bik Yanti berusaha memujuk dan menenangkan Helmi.
   “Aku tak sengaja…” Perlahan sahaja suaranya. Helmi tersenyum sinis. Bukan dia tidak tahu Hakim jijik dengan Natrah. Dia bukan bodoh. Dia bukan tunggul yang tidak dapat melihat kebencian Hakim terhadap Natrah meski Natrah cuba menyembunyikannya dengan senyuman. Mungkin abahnya boleh tertipu, tapi tidak dia.
   “Kau jangan fikir aku budak kecil. Selama ini kau jijik dengan dia, kan? Aku nak kau ceraikan dia sekarang.” Berderau darah Hakim mendengar perkataan cerai. Tidak… Walaupun bibirnya sering basah dengan cercaan dan maki hamun buat Natrah, tidak pernah dia terfikir untuk melafaskan talak. Tidak sekalipun selama perkahwinan mereka.
   “Helmi! Bawa mengucap. Jangan cakap yang bukan-bukan.” Dato’ Syukor menarik tubuh Helmi agar menjauhi Hakim sedikit. Baginya Helmi terlalu nekad tanpa memikirkan keadaan Natrah.
   Helmi mengalihkan pandangannya pada Dato’ Syukor. Dia berharap sangat agar abahnya memahami isi hatinya. Kalau boleh dia mahu menebus dosanya terhadap Natrah malah merealisasikan cintanya buat Natrah.
   “Abah, Helmi yakin Helmi boleh jaga Natrah. Lepas Hakim ceraikan Natrah, Helmi akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas Natrah dan anak kami. Abah tolong suruh Hakim ceraikan Natrah. Natrah terseksa dengan dia.” Berkerut dahi Dato’ Syukor mendengar luahan anaknya. Kepalanya digeleng perlahan.
    Hakim terduduk mendengar kata-kata Helmi. Bik Yanti menangis sambil menekup mulutnya. Kenapa begini sekali konflik yang melanda keluarga Dato’ Syukor. Malah, yang paling terseksa kini adalah Natrah. Hakim segera merangkak ke arah Dato’ Syukor, lalu kaki abahnya itu dipeluk.
   “Abah, Hakim minta maaf. Hakim salah. Abah jangan suruh Hakim lepaskan Natrah. Jangan suruh isteri Hakim tinggalkan Hakim. Hakim janji Hakim tak akan buat lagi.” Seperti anak kecil dia mengongoi di kaki ayahnya. Betapa hancur segala egonya apabila terpaksa menghadapi risiko akan kehilangan Natrah. Dia tidak sanggup… Benar kata orang ‘a true heart will show when we have to face the lost of the beloved’.
   Helmi memandang abangnya dengan mata yang bulat. Dia masih belum buta. Betulkah apa yang dia lihat? Akalnya masih waras dalam menilai. Ada cinta buat Natrah dalam hati Hakim…
   Dato’ Syukor menepuk perlahan bahu Hakim. Dia serahkan semuanya pada Hakim. Dia tiada hak untuk memisahkan pasangan itu sedang dia tahu rahsia hati Natrah.

Dua minggu sebelumnya…
“Kau keluar dari bilik ni!” Hakim mengheret tubuh Natrah keluar dari kamar mereka lalu menghempaskan pintu sekuatnya. Dato’ Syukor yang baru sahaja naik dari dapur terkejut melihat kejadian itu.
   Baru dia hendak menyerang Hakim, Natrah terlebih dahulu memeluk lengannya sambil menggelengkan kepala. Dato’ Syukor memeluk tubuh itu.
   “Abah tak sangka Hakim sanggup buat macam ni pada Natrah. Kenapa Natrah tak pernah cerita pada abah? Semua ni tak boleh dibiarkan. Hakim kena lepaskan Natrah.” Nekad Dato’ Syukor. Dia mahu Natrah lepas dari neraka itu, namun aneh. Kenapa Natrah tidak bersetuju? Dato’ Syukor mencapai kertas yang dihulurkan Natrah.
Abah percayakan Natrah, kan? Hakim suami Natrah. Natrah dah cukup bersyukur dia masih menikahi Natrah walau dalam keadaan begini. Mungkin abah pelik malah Natrah sendiri hairan. Tapi, kenyataannya… Natrah cintakan suami Natrah. Walau tiada secicip bahagia pun buat Natrah, tapi entah kenapa cinta Natrah masih buat suami Natrah.

Lamunan Dato’ Syukor mati saat melihat kelibat doktor melangkah keluar dari wad kecemasan. Keempat-empat mereka menghampiri doktor muda itu. Satu permandangan biasa baginya sebagai seorang doktor…
   “Puan Natrah selamat, tapi kandungan dia… Kami minta maaf.” Doktor lelaki itu hanya menggeleng perlahan. Helmi hampir pitam mendengar berita itu. Segera dia dipapah Dato’ Syukor. Melihat reaksi anaknya itu, dia mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
  
“Helmi ada tahu apa-apa tentang kejadian yang jadi pada Natrah dahulu?” Dato’ Syukor tidak mampu menahan rasa ingin tahunya. Dia tidak boleh nafikan Helmi pernah tersasar dahulu. Perkataan ‘anak kami’ yang meluncur laju dari bibir Helmi menambah curiga. Kemungkinannya tetap ada.
   Ditambah pula malam kejadian hitam itu menimpa Natrah serentak dengan malam Helmi tiba-tiba bersikap aneh. Bik Yanti hanya menjadi pendengar setia manakala Hakim telah masuk ke dalam wad untuk menemui isterinya.
   Dato’ Syukor memegang tangan Helmi yang jelas menggeletar. Helmi mengetap bibirnya kuat. Dia rasa seperti sudah masanya dia membuka pekung di dadanya, namun ketakutan yang dia rasai melebihi segalanya. Dia pasti abah dan abangnya akan membenci dia malah Natrah sendiri… Tidak sanggup dia memikirkannya.
   “Tak ada rahsia dalam dunia ni.” Dato’ Syukor merenung dalam ke anak mata Helmi. Dia mahukan kejujuran anak itu. Helmi menarik nafas sedalam-dalamnya. Air mata kekesalan mengalir membasahi pipinya.
 “Helmi yang bersalah. Masa tu Helmi mabuk…” Perlahan sahaja suara Helmi namun kesannya bagai halilintar yang membelah bumi. Bik Yanti sudah jatuh terduduk di atas lantai. Dato’ Syukor memejamkan matanya. Dadanya tiba-tiba dirasakan sakit.
   “Allah…” Hanya itu yang terungkap di bibir Dato’ Syukor. Helmi memapah ayahnya yang hampir jatuh menyembah bumi manakala Bik Yanti sudah berkejar mendapatkan doktor.









No comments:

Post a Comment