BAB 16
Natrah terasa pipinya dielus lembut. Matanya
dibuka perlahan. Seluruh tubuhnya terasa sakit. Serpihan memori yang berterabur
cuba dikutip dan dicantum saat matanya melihat wajah Hakim yang tersenyum di
hadapannya. Mimpi atau realiti?
Natrah meraba perutnya. Terasa seperti
kosong tidak berisi. Darahnya mula berderau. Hatinya diasak ketakutan. Ingin
ditanya, namun tiada suara yang keluar. Hanya bibirnya terkumat-kamit dan
tangannya tergagau menggapai angin. Dia nanar sendirian…
Hakim menggenggam erat tangan Natrah. Dia
tahu apa yang ingin ditanyakan isterinya itu. Kini dia sendiri harus
menyampaikan berita pedih itu pada gadis yang dia cintai. Puaskah hatinya
melihat hidup Natrah runtuh satu persatu.
“Natrah gugur.” Ringkas. Ya, hanya seringkas
itu yang diucapkan Hakim namun cukup besar kesannya bagi Natrah. Kini dia
tiba-tiba kehilangan makna untuk meneruskan hidup. Natrah menarik tangannya
dari genggaman Hakim. Tubuh Hakim ditolak dengan sisa tenaganya.
Hancur hati Hakim melihat air mata Natrah.
Kalau dulu, mungkin dia akan meloncat kegembiraan melihat hancurnya hidup
seorang gadis bernama Natrah namun kini hancurnya hati Natrah turut membawa
seribu kelukaan padanya. Semua salahnya!
Hakim memeluk tubuh Natrah seerat-eratnya
meski gadis itu meronta lemah. “Maafkan abang. Abang berdosa pada Natrah.
Maafkan abang. Maafkan abang.” Hanya itu yang diulangi Hakim. Natrah berhenti
meronta. Hanya esakannya yang menemani kesunyian yang hanya dia seorang mampu
rasai.
Memang dia tidak nafikan telah lama dia
ingin disayangi suaminya. Namun semahal itu harga yang perlu dia bayar untuk
mendapatkan keikhlasan Hakim. Kejam… Lelaki ini terlalu kejam…
Hakim memimpin Natrah
duduk di kerusi sebelah katil tempat Dato’ Syukor terbaring. Natrah mencapai
tangan Dato’ Syukor. Dia tersenyum melihat Dato’ Syukor membuka matanya.
“Natrah okay?” Serak basah suara Dato’
Syukor menyapa telinga. Dia tidak tahu bagaimana Natrah masih mampu tersenyum
dengan hatinya yang pasti sudah hancur lumat itu. Tabah sungguh anak itu. Sama
seperti ayahnya, Kamil.
Hakim yang berdiri di belakang Natrah
melabuhkan kedua-dua belah tangannya di bahu isterinya itu. Sedaya upaya Natrah
cuba mengawal perubahan riak wajahnya agar tidak dikesan Dato’ Syukor. Biarlah
dia menyimpan sendiri kepedihan yang dia rasa.
Natrah menganggukkan kepalanya lalu
mengambil kertas yang dihulurkan Hakim.
Natrah
okay. Petang ni discharge. Tu la abah, Natrah masuk hospital abah nak masuk
juga. Ni Natrah nak keluar, abah x nak ikut pula?
Dato’ Syukor tersenyum.
Dia mengusap pipi menantunya itu. Rasa bersalah menggunung di dada. Bayangan
Helmi kembali bermain di ruang mata. Bagaimana dia mahu berdepan dengan situasi
ini? Pedih benar kenyataan yang terbentang di hadapan matanya.
‘Kamil… Maafkan aku…’ Hati tua Dato’ Syukor
merintih. Betapa dia dan keluarganya menanggung dosa yang besar terhadap
Natrah. Jika Kamil masih hidup, mungkin kawan baiknya itu akan membencinya.
Dosa keluarganya pada Natrah seolah tidak akan terampun.
Sesekali Hakim
mengerling Natrah di kerusi sebelahnya. Jemarinya pada stereng kereta digerak
mengikut alunan muzik dari corong radio. Dia berdehem dua tiga kali dalam
keganjalan. Namun pandangan Natrah tetap dipaku keluar tingkap. Entah apa yang
menarik pandangan isterinya itu. Ataupun Natrah sengaja enggan bertentang mata
dengannya.
Hakim menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Bingung dia bagaimana mahu memujuk Natrah. Dia bukanlah lelaki yang bijak
bermain kata-kata. Suasana waktu itu terlalu kekok dan ganjal hingga dia berasa
tidak selesa.
‘Come
on, Hakim… You can do it. Gentlemanlah
sikit. Takkan dengan bini pun kau takut.’ Sedaya upaya dia memujuk hatinya yang
entah kenapa gemuruh semacam mengalahkan waktu dia menanti keputusan tender
syarikat diumumkan.
“Ada apa yang menarik sangat dekat jalan
tu?” Hakim memulakan bicara memecah kesunyian antara mereka. Natrah masih tetap
seperti tadi. Diam dan beku. Kata-kata Hakim hanyut dibawa angin.
“Dari tengok jalan tu, baik Natrah tengok
abang. Muka abang lagi handsome dari
jalan tu, tau?” Hakim masih mencuba. Namun Natrah yang masih beku memanggil
rasa janggal kembali dalam kereta itu.
Bik Yanti menyambut
kepulangan Natrah dengan gembira. Tubuh langsing Natrah dipeluk erat. Hakim
hanya memandang gelagat mereka sambil tersenyum. Tabah benar isterinya. Masih
mampu tersenyum meski hati memberat dengan luka yang tidak mampu dipikul. Walau
senyuman itu hanya satu kepura-puraan.
“Helmi mana, bik?” Soalan Hakim mematikan
senyuman Bik Yanti. Natrah turut memakukan pandangannya pada Bik Yanti yang
jelas kelihatan serba-salah.
“Kenapa, bik?” Hakim dan Natrah sudah
berkerut melihat kelakuan Bik Yanti yang tergagap-gagap sedari tadi.
“Itu… Itu… Deng Helmi itu… Udah pindah.”
Akhirnya terluah juga dari bibir Bik Yanti. Dia tidak mahu bercerita
lebih-lebih apa yang dia saksikan. Biarlah Dato’ Syukor sendiri yang membuka
cerita itupun jika lelaki itu cukup kuat. Peristiwa beberapa hari lepas di
hospital kembali bermain dalam memorinya.
“Pindah?” Hakim bersuara dengan nada yang agak tinggi. Matanya membulat
seketika. Hakim dan Natrah saling bertukar pandangan.
Dua
hari sebelumnya…
“Abah… Ampunkan Helmi,
bah. Helmi tak sedar masa tu. Helmi tak tahu apa yang Helmi buat.” Merah wajah
putih bersih Helmi. Air matanya sudah banyak tumpah hari ini. Pekung yang
selama ini disimpan erat akhirnya terbuka jua. Helmi cuba menggapai tangan
abahnya yang langsung tidak memandangnya. Namun tangan tua itu pantas menepis.
“Abah… Helmi nak bertanggungjawab dengan
perbuatan Helmi. Helmi nak ambil Natrah jadi isteri Helmi. Helmi janji Helmi
akan tebus dosa Helmi pada Natrah.” Helmi melutut pada ayahnya yang masih diam
di atas katil hospital.
“Bertanggungjawab? Dengan cara hancurkan
rumah tangga abang kau? Tak cukup lagi ke dosa yang kau buat? Hah! Helmi?”
Terjengil mata Dato’ Syukor memandang Helmi yang sudah menunduk. Walaupun dia
sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan namun penangan yang dirasakan lebih
dasyat dari yang dia sangka mendengar pengakuan anaknya. Dia tidak dapat
menyelindung rasa kecewanya.
“Abah, Natrah tak bahagia dengan Hakim. Abah
tahu macam mana layanan Hakim pada Natrah, kan?” Dato’ Syukor tahu akan perkara
itu. Tapi, dia juga tahu isi hati Natrah.
“Habis, kau mampulah bahagiakan Natrah lepas
apa yang kau buat pada dia? Mana kau tahu Natrah akan terima kau?” Dato’ Syukor
melepaskan keluhan berat melihat Helmi yang diam tertunduk.
“Abah tahu kau jahat… Kau nakal… Tapi abah
tak pernah sangka sejauh ni kau boleh kecewakan abah.” Dato’ Syukor memejamkan
matanya sejenak. Nafas dihela lembut. Getaran kecewa dalam jiwanya tergambar
dalam kata-katanya.
“Abah nak kau keluar dari rumah abah.
Jauhkan diri dari Natrah…” Putus Dato’ Syukor. Pergilah, Helmi. Sungguh Dato’
Syukor tidak sanggup untuk melihat wajah anaknya saat ini. dia terlalu kecewa.
BAB 17
Natrah tercegat memandang pintu bilik Helmi.
Entah berapa lama lelaki itu menyepi. Helmi memang misteri dan sukar diagak.
Kalau dulu, sepinya diubati Bik Yanti dan Helmi kini ruang sepi itu cuba diisi
suaminya. Tapi, hatinya tetap beku walau sehangat mana pun cinta yang Hakim
hulurkan padanya.
“Apa Natrah buat termenung dekat sini? Kan
badan tu tak berapa sihat lagi.” Lembut sahaja suara Hakim menyapa telinga
Natrah. Tangan lelaki itu mendarat di bahu Natrah, namun sedikit pun tiada
reaksi dari gadis itu.
Hakim mendesah perlahan. Sudah beberapa hari
Natrah membeku dengan layanannya. Malangnya, dia sendiri bukanlah pandai sangat
memujuk. Naik buntu dia memikirkan kedinginan Natrah. Tapi dia tetap bersyukur
kerana setidak-tidaknya Natrah tidak pernah meminta dia melafazkan talak.
Hakim turut termenung memandang pitu bilik
Helmi yang tertutup rapat. Yang adiknya lagi satu masalah. Ke manalah adiknya
itu menyepi. Pergi tanpa khabar berita. Apa adiknya benar-benar serius
menyuruhnya menceraikan Natrah. Hai… Hidup, kenapalah kau begitu mengelirukan.
Natrah merenung wajah
suaminya yang telah jauh termenung. Natrah bergerak perlahan meninggalkan
Hakim. Pelik benar suaminya itu. Sikit-sikit berangan. Dia ada depan mata pun,
Hakim masih boleh berangan.
Natrah melangkah masuk ke bilik Helmi. Kemas…
Mujur ada Bik Yanti, jika tidak pasti bersawang bilik kosong itu. Susunan
kertas di meja berdekatan tingkap menarik perhatian Natrah. Perlahan-lahan dia
bergerak ke arah itu.
Kertas-kertas di atas meja itu dibeleknya
berhati-hati. Cantik… Dia tidak menyangka adik iparnya mempunyai bakat dalam
bidang lakaran. Dia merenung satu-persatu lakaran di tangannya. Ada gambar
permandangan, gambar laluan trafik malah gambar keluarga mereka termasuk Bik
Yanti juga ada.
Bibir Natrah sedikit terjongket melihat gambar
Bik Yanti yang mencebik bibir. Namun senyumannya mati saat matanya tertancap
pada gambar yang seterusnya. Dahinya berkerut seribu. Dia pasti lakaran itu
adalah lakaran wajahnya. Tanpa tudung… Apa semua ini? Mengapa Helmi melukis
gambarnya?
Natrah kemudiannya melipat kertas putih itu.
Dia bercadang mahu menyimpan sahaja lakaran itu. Dia berdiri lama-lama pun di
situ, soalan yang bermain di benaknya tidak akan terjawab dengan sendirinya.
Hakim merenung wajah
isterinya yang ayu. Dia tahu Natrah hanya berpura-pura tidur kerana malas
melayannya. Tadi pula dia boleh terleka berangan hingga tidak sedar Natrah
sudah meninggalkannya tercegat di depan bilik Helmi seorang diri.
“Sayang, ubat tak makan lagi… Bangunlah
dulu.” Hakim menarik lembut lengan Natrah.
Malas benar rasanya mahu bangun. Natrah
hanya berbaring di dalam bilik. Bila Hakim masuk sahaja, dia terus berpura-pura
tidur. Kalau tidak, Hakim akan lebih galak mengusiknya tidakpun, suaminya akan
terus-terusan meminta maaf. Dia masih belum bersedia menghulur kemaafan.
“Kenapa isteri abang ni… Tak sedap badan
ke?” Hakim melabuhkan punggung di sebelah Natrah yang masih berbaring. Dahi
Natrah yang berkerut itu ditekan perlahan dengan jari telunjuknya.
Natrah menepis perlahan tangan Hakim. Lemas
pula asyik diganggu lelaki itu. Ubat yang dihulur Hakim disambut lalu ditelan.
Selesai semuanya dia kembali berbaring.
“Lah… Baring balik budak ni. Abang bosan ni,
jom la teman abang tengok TV ke, apa ke…” Hakim berterus-terusan mengongoi.
Natrah membuka bulat matanya. Dia mendengus
kasar sebelum duduk betul-betul bertentangan dengan Hakim.
Hakim tergelak melihat reaksi Natrah. Comel
sungguh di matanya. Bibir Natrah yang mencebik dikepitnya.
Natrah merenung tajam wajah suaminya. Sakit
hatinya melihat Hakim masih mampu ketawa dan bergembira. Apa suaminya itu sudah
lupa dengan kejadian itu. Kerana lelaki itu, dia kehilangan anaknya.
Satu-satunya tonggak hidup dia. Kemanisan dalam kepahitan hidupnya.
Setitik demi setitik air mata Natrah mula
mengalir. Terkedu Hakim melihat keadaan Natrah. Sangkanya emosi Natrah sudah
mula stabil akhir-akhir ini ternyata sangkaannya meleset.
Hakim menyeka air mata isterinya, namun
Natrah menepis tangannya lalu meninggalkan dia seorang diri termangu di atas
katil. Dia menuruti langkah Natrah dari belakang. Mahu dipujuk risau makin kuat
tangisan isterinya.
Natrah mengetuk pintu
bilik Dato’ Syukor. Dia tiba-tiba terasa ingin memeluk bapa mertuanya itu.
Menumpahkan segala air mata dan rasa pedihnya ke bahu Dato’ Syukor.
Dato’ Syukor membuka pintu biliknya.
Terkejut dia apabila melihat Natrah tercegat di depan pintunya. Tambah terkejut
dia saat menantunya mendadak memeluknya. Dia memandang Hakim yang berdiri di
belakang Natrah, hanya memerhati.
Bahu Natrah yang terhingut-hingut diusap
lembut. Tumpah kasih seorang ayah di situ. Dia yakin Natrah teringat akan
anaknya. Tiada apa yang boleh dilakukan. Nasi sudah menjadi bubur. Dan yang
bersalah dalam hal ini, yang bertanggungjawab membawa kawah derita dalam diri
Natrah adalah keluarganya.
“Sayang, dah malam ni. Biar abah rehat. Abah
bukannya sihat sangat pun.” Hakim cuba memujuk Natrah. Dia cuba menarik
isterinya itu dari pelukan Dato’ Syukor tapi sedikit pun gadis itu tidak
berganjak. Keras juga hati gadis selembut Natrah ni.
Dato’ Syukor meleraikan pelukan Natrah.
Wajah Natrah yang basah dengan air mata itu direnung. Pahit sekali melihat
gadis itu telah banyak disakiti anak-anaknya. Sampai mati pun dia rasa bagai
tidak mampu membasuh dosanya pada anak itu.
“Natrah nak tinggalkan Hakim?” Tersentak
Hakim mendengar bicara Dato’ Syukor.
“Abah! Apa abah cakap ni?” Jantung Hakim
sudah berdebar tidak menentu. Bagaimana jika Natrah mengiakan pertanyaan Dato’
Syukor? Sanggupkah dia menghadapi kehilangan Natrah dari hidupnya. Rasanya dia
lebih rela mati. Dia baru sahaja ingin menaburkan semua kasih yang selama ini
dia pendam dan nafikan.
“Natrah nak tinggalkan Hakim?” Sekali lagi
soalan itu diajukan kepada Natrah. Kalau terus-terusan hati gadis itu direnyuk
dan diinjak, lebih baik Natrah menjauhkan diri dari keluarganya. Bina hidup
yang baru.
Natrah terkedu dengan soalan mendadak Dato’
Syukor. Suaminya yang sudah tersandar di dinding direnung sebentar. Dia dapat
lihat ketakutan dalam mata lelaki itu. Takut akan kehilangannya. Natrah menelan
liur. Walau sekejam mana lelaki itu, mampukah dia menafikan rasa cinta dan
kasih buat suaminya. Dia keliru.
Dato’ Syukor seolah-olah membuka jalan
keluar dari penderitaannya. Dalam masa yang sama dia turut nampak kebahagiaan
yang boleh dia kecapi bersama Hakim seandai dia mampu memaafkan. Kini pilihan
di dalam tangannya.
BAB 18
Natrah termenung di
dalam kereta. Lama betul Hakim membeli air. Dia membuka tingkap keretanya lalu
menongkat dagu memerhatikan kereta yang banyak lalu-lalang di jalan. Tiada apa
yang mampu menarik perhatiannya.
Tiga hari yang lepas, dia telah menerima cadangan
Dato’ Syukor untuk berbulan madu bersama Hakim setelah puas suaminya memujuk
rayu itupun dengan syarat mereka berbulan madu di rumah anak yatim yang pernah
menjadi rumahnya. Memang tak pernah dibuat orang. Natrah tersenyum sendiri.
Dia mahu Hakim merasai kehidupannya suatu
masa dahulu. Bagaimana anak-anak sepertinya membesar tanpa kasih-sayang ibu dan
bapa hingga melatih ketabahan dalam hati setiap mereka. Dia tidak terkecuali.
Tiga
hari sebelumnya…
“Natrah nak tinggalkan
Hakim?” Lama Natrah tidak bereaksi pada soalan itu. Dia memandang Dato’ Syukor
sekilas lalu merenung ke arah Hakim yang jelas kelihatan sangat terkejut.
Mereka berbalas renungan. Satu rasa yang sukar dijelaskan timbul dalam dirinya.
Seketika, dia kembali merenung Dato’ Syukor
sebelum tertunduk memandang lantai. Dia tidak tahu samada keputusan ini betul
atau tidak. Tapi, dia harus mencuba.
Hakim meraup mukanya. Melihat reaksi Natrah
yang terdiam agak lama, hatinya mula diasak pelbagai andaian buruk.
Walauapapun, dia sememangnya telah banyak menyakiti gadis itu. Dia harus
bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Gelengan perlahan oleh Natrah membuat mata
Hakim kembali bercahaya. “Alhamdulillah! Terima kasih, Natrah,. Terima kasih.
Ya Allah… Isteri abang… Terima kasih.” Hakim memeluk erat tubuh Natrah. Allah
mengabulkan doanya. Natrah masih memilih untuk bersamanya. Dia berjanji yang
dia tidak akan biarkan Natrah menyesali keputusannya malam itu.
Lamunan Natrah
terganggu saat melihat Hakim menuju ke arahnya sambil tersenyum. Hakim
mengenyitkan mata ke arahnya. Memang kacak, mahu cair hatinya namun dia tidak
membalas sebaliknya dia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Bukan menjual
mahal, cuma dia masih belum dapat menerima Hakim sepenuhnya.
Natrah menjeling sekilas suaminya. Hairan
pula melihat langkah suaminya tiba-tiba terhenti.Matanya terarah pula pada
susuk tubuh yang semakin mendekati Hakim. Rasanya dia kenal gadis yang melekat
di kornea matanya. Dia pasti!
“Sayang.” Hakim
berpaling sebaik mendengar suara Rossa. Bagaimana Rossa boleh berada di situ?
Hatinya mula resah membayangkan reaksi Natrah sedang gadis itu masih belum
menerimanya sepenuhnya. Dia takut usahanya untuk menawan hati Natrah akan
menjadi sia-sia dengan kehadiran Rossa.
Rossa menerpa tubuh sasa Hakim. Tubuh lelaki
itu dipeluk erat. Dia tahu isteri Hakim pasti sedang memerhati. Dia telah
mengekori pasangan itu sejak dari rumah mewah itu lagi. Dia tidak akan mengalah
semudah itu. Hakim terlalu sempurna untuk dilepaskan pada perempuan lain.
Sakit mata Natrah melihat kelakuan perempuan
itu. Tidak sedarkah perempuan itu bahawa lelaki yang dipeluknya itu adalah
suami orang. Tiada maruahkah perempuan itu?
Natrah segera keluar dari kereta lalu
melangkah laju mendekati suaminya. Dia memegang tangan suaminya manakala tangan
kirinya menolak kuat bahu Rossa hingga gadis itu terdorong ke belakang. Entah
dari mana dia mendapat kekuatan itu pun dia tidak tahu.
Jelas wajah tidak puas hati Rossa. Hakim
yang terkejut dengan tindakan mendadak Natrah sudah bulat matanya memandang
isterinya. Natrah yang lemah-lembut bertindak sebegitu? Cemburukah isterinya
itu? Senyuman bahagia mula terukir di wajah Hakim. Cemburu tandanya sayang.
“Eh perempuan! Kau cari pasal dengan aku ni
apasal, hah?” Lantang suara Rossa menengking Natrah. Namun Natrah hanya diam.
Hanya matanya meluah bicara. Renungan Natrah bagi Rossa sangat menyakitkan
hati. Mata gadis itu seolah-olah merendahkannya. Dia tidak dapat terima itu!
Tangannya mula naik mahu menampar pipi gebu Natrah.
Mujur sahaja Hakim lebih pantas bertindak. Tangan Rossa ditepis kasar. Natrah
tetap merenung tajam Rossa. Jangan sangka dia takut dengan tindakan kasar
Rossa. Hanya pengecut seperti Rossa yang akan bertindak menggunakan kekerasan
dan bukannya akal.
“Apa hak you nak tampar isteri I?” Hakim
mengunjukkan jari telunjuknya tepat ke muka Rossa. Sakit hatinya melihat Rossa
cuba menyakiti wanita yang dia cintai. Natrah sudah ditarik dalam pelukannya.
Takut juga kalau Rossa bertindak lebih nekad. Bukan sehari dua dia mengenali
gadis itu.
Berkerut dahi Natrah dengan tindakan Hakim. Terharu
pun ada mendengar kata-kata suaminya itu. Dia diam sahaja dalam pelukan Hakim.
Kalau sebelum ini pasti dia akan meronta ingin melepaskan diri tapi tidak kali
ini.
Hakim membawa Natrah meninggalkan Rossa yang
sudah tidak teratur nafasnya dijilat api kemarahan. Rossa memandang
kedua-duanya meninggalkannya begitu sahaja dengan dendam yang membara dalam
dirinya. Suatu hari nanti mereka akan menerima balasan memperlekehkannya
begitu. Dia berjanji!
“Ni mesti dia ikut
kita. Dia tu memang psyco.” Hakim mendengus. Dia memandang ke arah Natrah.
Pandangan Natrah hanya terarah ke jalan. Malas dia mahu melayan. Hakim berdehem
melihat Natrah yang tiada tanda mahu bereaksi.
“Tapi, abang bahagia juga Rossa datang
tadi.” Hakim membuat suara nakal. Dia dapat melihat renungan maut isterinya.
Rasa mahu terburai tawanya namun tetap ditahan. Dalam beku-beku isterinya itu,
dia dapat rasakan hati Natrah sudah mula mencair dengan kehangatan cinta
darinya.
“Dapat juga abang tengok isteri abang
cemburu.” Hidung kecil mancung Natrah dicuit. Kemudian ibu jarinya dilekap pada
bibir merahnya sebelum mendarat di bibir mungil Natrah lalu di bawa semula ke
bibirnya. Terus tawanya meletus melihat wajah Natrah yang kian memerah. Keras
manalah hati seorang perempuan ditambah lagi isteri sebaik Natrah.
BAB 19
“Ya Allah. Sampai juga
anak ibu.” Farida segera mendapatkan Natrah. Sudah lama rasanya mereka tidak
bertemu muka. Selepas kejadian itu, ada sekali-sekala dia menjenguk Natrah.
Tetapi selepas perkahwinan Natrah, mereka semakin sibuk dengan hidup
masing-masing. Cuma dia tetap tidak lokek berdoa untuk kebahagiaan anak malang
itu.
Natrah rindu sangat dekat ibu.
“Ibu pun rindu dekat anak ibu ni.” Kedua-dua
belah pipi mulus Natrah dikucup penuh kasih. “Hah, jom masuk. Hakim pun. Ibu
dah kemas bilik untuk korang.” Farida memimpin tangan Natrah ke bilik yang
didiami oleh warden yang bekerja dirumah anak yatim itu. Walaupun agak kecil
namun masih begitu kemas dan teratur.
“Natrah dengan Hakim rehat dulu. Nanti
jangan lupa keluar makan malam dengan semua. Ibu nak keluar dulu. Ada kelas
lepas ni.” Pipi mulus Natrah sekali lagi dikucup. Gadis itu hanya mengangguk
faham. Ringan sedikit beban rindu pada Farida yang ditanggungnya.
Baru sahaja Hakim mahu
menyusun barang-barang yang dibawanya, Natrah terlebih dahulu menghalang. Bagi
Natrah itu adalah tugasnya sebagai seorang isteri.
“Bagi abang tolong sekali.” Hakim cuba
mengambil pakaian dari tangan Natrah. Natrah menggelengkan kepalanya lalu
meneruskan kerjanya. Dia dapat menangkap keluhan halus suaminya yang mula
bergerak ke katil. Dia tahu suaminya penat memandu. Agaknya suaminya turut
terasa hati dengan kedinginannya.
Natrah meletakkan baju yang dipegangnya lalu
berjalan mendekati Hakim yang duduk bermasam muka di atas katil. Hakim
mendongakkan kepalanya memandang isterinya yang sudah tercegat di hadapannya
dengan kehairanan.
Tersentak dia saat tangan Natrah mendarat di
bahunya. Terasa bahunya ditolak perlahan hingga tubuhnya berbaring di atas
katil. Natrah kembali tegak. Kerut di dahi Hakim berganti dengan senyuman nakal
melihat Natrah yang sedang sibuk menulis sesuatu di memonya. Akal lelakinya
mula memikirkan perkara yang bukan-bukan walaupun dia merasa pelik dengan
tindakan Natrah.
Awak
kan penat bawa kereta. Awak rehatlah. Biar saya kemaskan.
“Lah… Ingatkan Natrah
nak baring sekali. Lepas tu…” Ayatnya sengaja dibiar tergantung. Matanya
dikenyitkan ke arah Natrah cuba menggoda isterinya.
Terasa panas muka Natrah. Mahu mati sakit
jantung dia menahan debaran apabila hari-hari digoda Hakim sebegini. Dengan
sikap Hakim yang begitu, dia mungkin akan kembali tewas pada suaminya itu.
Natrah merasa hatinya seperti bukan lagi haknya sendiri sebaliknya diserahkan
sepenuhnya pada suaminya.
Dalam kalut hatinya itu, Natrah kembali
bersimpuh menyambung kerjanya. Dari ekor matanya, dia tahu Hakim memerhati
setiap perbuatannya sambil tersenyum penuh makna namun sengaja dia membiarkan.
“Kak Natrah!” Kelihatan
seorang kanak-kanak kecil berlari ke arahnya lalu terus memeluk erat tubuh
Natrah diikuti beberapa kanak-kanak lain.
Hakim tersenyum melihat telatah anak-anak
kecil itu. “Ni boyfriend akak, ya?” Salah seorang kanak-kanak bertanya sambil
memandang ke arah Hakim. Natrah hanya membalas dengan senyuman.
Kanak-kanak perempuan itu kemudian mendekati
Hakim manakala rakan-rakan yang lain hanya memandang dari sisi Natrah. “Abang
dah kiss-kiss dengan Kak Natrah ke?” Kepetahan kanak-kanak bernama Fatin itu
mengundang tawa Hakim. Namun Fatin tetap mengekalkan wajah seriusnya manakala
mata Natrah membuntang dengan pertanyaan kanak-kanak itu.
“Abang memang nak kiss-kiss kakak, tapi
kakak tak nak.” Hakim sengaja membuat muka sedih di hadapan Fatin sambil tubuh
kecil itu diangkat. Mengekek kanak-kanak itu saat diagah Hakim.
Natrah segera mencubit pinggang Hakim hingga
suaminya mengaduh keperitan. Ada pula Hakim ni cakap yang bukan-bukan dengan
budak kecil. Tidak patut betul!
“Seronok juga kawasan
sini. Nyaman.” Udara di pantai Terengganu yang betul-betul terletak di belakang
rumah anak yatim itu benar-benar menenangkan minda.Suara gelak tawa kanak-kanak
tadi sayup-sayup kedengaran diselangi bunyi ombak menghempas pantai.
Natrah merenung wajah Hakim yang menikmati
udara nyaman di situ sambil memejamkan mata. Dia meneliti wajah suaminya. Dia
paling suka melihat bibir Hakim yang begitu merah semulajadi. Kulitnya juga
putih bersih.
Natrah tersenyum memerhati wajah kacak
suaminya. Pandangannya kembali ke arah pantai yang indah. Senyumannya mati saat terasa genggaman hangat
tangan Hakim. Kornea matanya kembali melekat di wajah Hakim yang masih
kelihatan bersahaja.
Natrah cuba menarik kembali tangannya. Makin
kejap pula genggaman suaminya. “Cubalah duduk diam sikit. Karang abang peluk
pula baru tahu.” Terus senyap Natrah mendengar ugutan Hakim. Namun sebentar cuma.
Dia kembali meronta kecil.
Langkah Hakim mati. Dia tegak berdiri
menghadap Natrah yang kembali senyap. Nak marah juga bila Natrah masih berdegil
namun melihat wajah comel isterinya itu, surut kembali amarahnya. Idea nakal pula
yang timbul dalam kepalanya.
Tubuh Natrah dicempung lalu dibawa ke gigi
air. Kuat rontaan Natrah namun sedikitpun tidak berjaya menewaskan Hakim. Dalam
beberapa saat, tubuhnya telah lenjun dengan air laut, begitu juga dengan Hakim.
Natrah mencebik. Matanya memandang tajam
Hakim yang galak tertawa. Seketika tawa Hakim mula reda. Hakim mendekati Natrah
lalu dahi gadis itu dikucup penuh kasih buat kali pertama. Terpana Natrah
dengan tindakan tiba-tiba Hakim.
“Natrah kena biasakan. Lepas ni, sini, sini,
sini dengan sini abang cium.” Hakim mengunjuk ke arah kedua-dua belah pipi,
hidung dan akhir sekali bibir mungil Natrah. Tawanya meletus kembali.
BAB 20
Natrah membuka matanya.
Dia memandang ke sebelahnya lalu ke seluruh bilik. Kelibat Hakim tiada. Natrah
bangun dari katil lalu melangkah ke jendela. Langsir disingkap. Langit petang
yang memerah kelihatan indah sekali.
Natrah bergerak pula ke bilik air. Dia
berdiri dihadapan cermin. Pantulan wajahnya di cermin direnung dalam. Tangannya
mengusap lembut dahinya. Rasa bagai hangat kucupan suaminya masih terasa.
Senyuman manis tergaris di bibirnya.
“Ya Allah!” Tersentak Natrah saat dia hampir
tergelincir. Bulat matanya mendengar suaranya sendiri. “Aku… Ya Allah… Aku
boleh… Huh… Boleh bercakap! Alhamdulillah ya Allah. Alhamdulillah!”
Tersekat-sekat suaranya. Rasa semuanya bagai mimpi.
Natrah segera mencapai tudungnya lalu
melakukan sujud syukur. Betapa rahmat Allah datang tanpa dijangka. Sungguh kita
tidak mampu menduga takdir yang Allah tetapkan. Air mata Natrah mengalir
membasahi pipinya yang memerah. Tidak lain tidak bukan air mata kegembiraan…
Selesai memanjatkan kesyukurannya pada Yang
Maha Esa, Natrah melangkah keluar dari bilik. Kini dalam otaknya dipenuhi
suaminya, Hakim. Matanya melilau mengikut arah langkahnya sementara mindanya
sibuk merangka ayat pertama yang akan diucapkan pada Hakim. Ayat yang penuh
makna…
Farida menegur Hakim
yang dilihatnya jauh termenung melihat laut yang terbentang luas. Hakim
tersenyum sambil menjawab salam wanita tua itu. “Jauh kamu termenung, Hakim.
Fikir apa?” Farida berbasa-basi.
“Tak ada apa-apalah Ummi. Saja berangan.”
Hakim dan Farida serentak tertawa kecil. Kemudian kedua-duanya melayan perasaan
sambil merenung keindahan ciptaan Tuhan. Hanya deruan angin dan bunyi ombak
menghempas pantai menjadi peneman setia mereka.
“Ummi, macam mana perwatakan Natrah sebelum
ni?” Kesunyian antara mereka dipecahkan dengan soalan yang telah lama bermain
dalam fikiran Hakim. Hakim memandang wajah wanita tua di sebelahnya. Rambutnya
yang ditiup angin dirauk. Namun jambul yang menutupi keningnya kembali jatuh
dan menari mengikut buaian angin.
Lama Faridah termenung mendengar soalan
mendadak Hakim. Tidak tahu mahu dimulakan dari mana. “Ummi…” Panggilan Hakim
membuat Farida tersenyum mesra. Tidak sabar sungguh Hakim ini.
“Natrah
tu, tabah orangnya. Ibu dia meninggal masa umurnya setahun. Beberapa bulan
kemudian, ayahnya pula meninggalkannya. Datuk dengan neneknya juga telah lama
meninggal. Dia sebatang kara di dunia ni. Tapi, masa dia kena hantar dekat sini
pun, dia tak pernah menangis. Bila dia rapat dengan ummi, dia tunjuk kenakalan
dia. Kemanjaan dia. Natrah ikhlas dengan semua orang yang dia sayang.” Farida
kembali memanahkan pandangannya ke laut sebelum menyambung bicara.
“Sungguh, dia tidak pernah menyalahkan
takdir. Walau bahagia macam mana pun, tapi Ummi tahu dia tetap rasa sunyi. Ummi
selalu nampak Natrah merenung gambar ibu bapa dia. Tapi, derita Natrah tak
berakhir setakat itu sahaja…” Suara Farida terasa seperti tersekat di
kerongkong. Hakim tertunduk. Dia faham apa yang Farida maksudkan adalah
kejadian hitam itu. Kalaulah wanita itu tahu layanannya pada Natrah pada awal
perkahwinannya… ‘Ya Allah, ampunilah aku.’ Desah hati Hakim.
“Ummi selalu doa segala dugaan akan berlalu
dan Natrah jumpa kebahagian yang patut dia dapat.” Hakim dapat tangkap ada
titisan jernih di tubir mata wanita yang semakin dimamah usia itu.
Farida mengalihkan pandangannya dari laut
yang terbentang luas ke wajah Hakim. Matanya memancar sinar harapan. Harapan
untuk melihat Natrah bahagia.
“Hidup Natrah jarang bahagia selalu derita.
Ummi minta sangat dengan Hakim. Hakim jaga Natrah baik-baik. Secara luaran,
mungkin dia nampak tabah. Tapi, realitinya dia sangat rapuh. Hati dia sedia
dipenuhi parut sekarang ni mungkin dah berdarah semula lepas apa yang dia
lalui. Hakim janji dengan Ummi.”
Hakim mengangguk perlahan. “Ummi, Natrah itu
cinta hati saya. Permaisuri hidup saya. Insyaallah saya akan cuba yang terbaik
untuk dia.” Hatinya juga memang telah tekad untuk melimpahi hidup Natrah dengan
kasih sayangnya hingga tiada lagi bahagian hati isterinya itu yang dibalut
kesunyian.
Bilalah agaknya dia akan dapat melihat
kemanjaan dan keletah Natrah. Betapa dia berharap Natrah akan membuka semula
pintu hatinya buat dirinya. Jika saat itu tiba, dia pasti hidup mereka akan
disinari cahaya bahagia.
“Isy… Lama sangat ummi dekat sini. Ummi nak
balik dululah.” Jam di tangannya dikerling sekilas. Farida berlalu meninggalkan
Hakim yang kembali termenung menikmati keindahan alam yang terbentang luas di
hadapannya.
Hakim melepaskan keluhan ringan. Sayangnya
pada Natrah semakin lama semakin menggunung. Tapi, adakah Natrah akan menerima
cintanya? Sungguh dia merasakan dosanya pada Natrah seolah-olah tidak terampun.
Bagaimana dia boleh tergamak melukakan hati
Natrah yang sedia parah itu… Dia malu mengenangkan perbuatannya.
“Natrah, abang sayang sangat dengan
Natrah…” Hakim bersuara separuh berbisik. Itulah rasa yang sering menghiasi
ruang hatinya.
sangat berbakat.....best gila cita ni
ReplyDeletesangat berbakat.....best gila cita ni
ReplyDelete