Pages

Saturday, 12 July 2014

Novel Bahagia buat Natrah - Part 2

BAB 6

            Natrah memandang bilik yang kini dihuninya. Begitu mewah dan indah sekali. Dia pada awalnya tidak bersetuju dengan tawaran Dato’ Syukor untuk berada di bawah jagaannya. Namun desakan demi desakan dari Farida dan Dato’ Syukor mencairkan juga kedegilannya.
Tambahan pula, entah mengapa dia dapat melihat bayangan kasih seorang ayah dalam diri Dato’ Syukor. Mungkin juga kerana ayahnya dan Dato’ Syukor merupakan rakan baik, makanya banyak persamaan antara mereka.
   Natrah melangkah pula ke luar rumah itu. Dia berjalan menuruni tangga rumah itu. Sungguh hatinya dibalut kekaguman. Tidak pernah seumur hidupnya membayangkan yang dia akan tinggal sebagai anak angkat di rumah semewah itu.
   Gadis itu duduk bersimpuh di pinggir kolam renang. Tangannya lincah mengocak air yang tenang itu. Baru hatinya ingin dibuai ketenangan, mindanya kembali terbayang peristiwa hitam yang menimpanya. Pergerakan tangannya terhenti. Senyumannya mati. Sekelilingnya terasa gelap.Dadanya berasa sesak dilanda sebak. Seluruh tubuhnya menggigil ketakutan. Nafasnya turun naik. Empangan air matanya kembali pecah.

“Awak ni siapa?” Suara garau dari arah belakang mengejutkan Natrah yang hanyut dalam kesedihan. Segera dia berdiri menghadap lelaki itu. Pipinya yang basah dengan air mata segera dikesat.
   Hakim mengerutkan dahinya melihat gadis asing itu. Wajah itu seperti pernah dia lihat sebelum ini, namun dia tidak mampu mengingat di mana dia pernah berjumpa gadis itu. “Awak ni siapa?” Dia mengulangi pertanyaannya. Baru Natrah ingin membuka mulut, Dato’ Syukor terlebih dahulu menyampuk.
   “Dia anak kawan baik abah. Mulai hari ini dia tinggal di sini sebagai anak angkat abah. Nama dia Natrah. Abah nak Hakim layan dia seperti adik Hakim sendiri.” Dato’ Syukor memperkenalkan Natrah dan Hakim. Hakim tersenyum lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. Namun, gelengan Natrah membuat dia termalu sendiri.
   “Erm… Kita ada jumpa ke sebelum ni?” Akhirnya terluah juga persoalan itu. Natrah merenung sebentar wajah kacak itu. Berkerut-kerut dahinya cuba mengingat, namun hampa. Akhirnya dia hanya menggelengkan kepalanya.
   “Mana adik kau, Helmi?” Dato’ Syukor menyampuk. Bahu Hakim dipegang.
   “Entah. Hakim ni pun baru balik dari pejabat ni. Hakim naik dululah.” Hakim meminta diri sebelum berlalu. Dalam hatinya memuji kecantikan Natrah. Ada sesuatu yang lain pada sinar wajah gadis itu. Seperti ada mendung duka di sebalik wajah bujur sirih itu. Ah! Mungkin sangkaannya sahaja. Sama seperti perasaan pernah berjumpa dengan gadis itu.
Dato’ syukor memandang wajah ayu Natrah. Dia perasan mata gadis itu yang merah dan sembam. Pasti anak itu menangis lagi. ‘Ya Allah, kasihannya anak aku.’ Bisik hati kecil Dato’ Syukor.

Helmi melangkah keluar dari rumah. Dia ternampak Dato’ Syukor bersama seorang gadis yang membelakanginya di kolam renang. Hatinya ingin tahu tapi dia malas mahu ke kolam renang itu.
   Helmi membawa motornya dengan renungan kosong. Dia membelokkan motornya ke satu simpang. Entah jalan mana yang dilaluinya, dia tidak tahu. Itu baru kali pertama dia melalui jalan yang sunyi ini.
Entah mengapa, motor Helmi tiba-tiba mati. Dia turun lalu cuba menghidupkannya lagi, namun sia-sia. Helmi memeriksa bahagian enjin motor. Tiada apa-apa pun yang rosak.
   Baru sahaja dia mahu melepaskan amarah dengan membaling topi keledarnya, bergema suara merdu melaungkan azan di kawasan itu. Pergerakan tangannya terhenti. Nafasnya yang laju sebentar tadi semakin tenang.
   Helmi berpaling. Terpaku dia melihat sebuah masjid tersergam indah di hadapannya. Laungan azan itu benar-benar menenangkan. Bagai ada sesuatu yang asing menyelinap ke seluruh urat sarafnya seperti simbahan air sejuh yang mematikan marak api kemarahannya.
   “Assalamualaikum.” Helmi berpaling. Dia melihat seorang lelaki berjubah biru cair tersenyum ke arahnya.
   “Waalaikumussalam.” Lambat-lambat Helmi menjawab.
   “Jom, kita masuk berjemaah.” Lelaki separuh abad itu mengajak Helmi. Bagaikan boneka, Helmi menurut sahaja langkah lelaki itu.
   Saat kaki kanannya menjejak perkarangan masjid itu, dia merasakan ketenangan yang luar biasa yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Lelaki berjubah itu tersenyum memandang Helmi. Dia dapat membaca riak wajah Helmi. Anak ini telah berada di permulaan jalan yang lurus.

“Banyak dosa saya, ustaz.” Helmi memandang lelaki yang dikenali sebagai Ustaz Rahim.
   “Helmi, dalam dunia ni tak ada seorang manusia pun yang lepas dari membuat dosa. Yang penting adalah taubat.” Lembut Ustaz Rahim berbicara. Helmi yang tertunduk  direnungnya.
   “Allah itu maha pengampun. Kalau betul Helmi menyesal dan bertaubat, insyaallah Allah akan terima taubat Helmi.”
   “Tapi, ustaz. Saya rasa dosa saya macam tak akan terampun.” Luah Helmi.
   “Helmi tahu kisah umat Nabi Yunus?” Helmi mengangkat mukanya sebelum mengangguk lemah.
   “Macam-macam dosa yang umat Nabi Yunus lakukan. Mereka mencerca ajaran Allah hingga akhirnya Nabi Yunus meninggalkan umatnya. Waktu itu Allah telah mewahyukan pada Nabi Yunus bahawa dia akan menurunkan balasan atas dosa umatnya. Tapi, bila sampai saat itu… Umat Nabi Yunus sedar akan dosa mereka. Mereka tidak putus-putus memohon ampun. Dan, Helmi tahu apa yang jadi lepas itu?” Ustaz Rahim memandang Helmi.
   “Allah ampunkan mereka. Allah tarik semula azab yang Dia hampir turunkan.” Jawab Helmi. Ustaz Rahim kelihatan terangguk-angguk.
   “Dosa yang mereka lakukan bukan kecil. Mereka menghina Nabi Allah, menghina ajaran Allah. Mereka membuat pelbagai kerosakan hingga Nabi Yunus sendiri nekad meninggalkan umatnya yang seperti sudah tiada harapan mendapat cahaya hidayah, namun taubat mereka masih diterima Allah. Itu kerana Allah maha pengampun.”
   Helmi merenung semula kata-kata Ustaz Rahim. “Allah akan terima ke taubat saya, ustaz?” Helmi kembali bersuara.
   “Wallahualam. Itu urusan Helmi dengan Allah. Tapi, ingat jika Helmi benar-benar ikhlas insyaallah pintu keampunan itu terbuka buat Helmi… Allah sendiri berfirman, wahai anak-anak Adam, walaupun dosa kamu mencecah awan dan selepas itu kamu memohon keampunan, nescaya akan Ku beri keampunan itu.”
   Helmi berfikir sejenak. “Tapi ustaz, saya ni jahat. Hidup saya macam hidup orang yang tak ada iman.” Helmi menggenggam kuat tangannya cuba mengawal getaran yang dia rasai saat ini.
   “Bila Helmi masih rasa macam tu. Ada rasa takut dengan apa yang Helmi lakukan. Takut dengan balasan Allah. Percayalah yang hati Helmi itu sendiri masih islam.”







BAB 7

Jijik mata orang sekeliling memerhati perlakuan tidak bermoral pasangan yang jelas jauh berbeda jarak umurnya. Gadis itu dilihat meliuk manja dalam dakapan lelaki tua itu seperti ular yang melingkar. Begitu murah nilai maruah gadis itu merelakan segenap inci tubuhnya dijelajah lelaki tua itu malah di khalayak ramai pula.
   Antara banyak-banyak mata itu, sepasang mata merenung tajam pasangan itu tanpa pasangan itu sendiri menyedarinya.
Menggigil pemilik mata itu melihat adegan sumbang di hadapan matanya saat ini. Dia mengepal penumbuknya. Melampau! Perempuan murahan itu perlu di ajar.
   Berderau darah Rossa melihat Hakim yang kini berdiri tegak dihadapannya. Pelukannya terhadap lelaki tua yang merupakan ‘sugar daddy-nya’ segera dileraikan. Kini dia berdiri menghadap Hakim.
   “Ha.. Hakim. I can explain it.” Rossa meraih tangan Hakim. Lelaki itu menepis kasar, terlalu jijik rasanya saat disentuh perempuan murahan itu. Darahnya terasa menyirap ke kepala. Ikutkan hati, mahu dibunuh kedua-duanya di situ juga.
   Tidak… Dia masih waras. Dia tidak akan korbankan hidupnya meringkuk dalam penjara semata-mata disebabkan wanita yang tiada maruah seperti Rossa. Tidak sama sekali. Matanya kembali merenung Rossa yang sudah mula mengalirkan air mata palsunya. Hakim tersenyum sumbing. Apa Rossa menyangka semudah itu dia akan tertipu?
   “Explain? Explain what? Start from this moment, we are finish. You can go to hell along with that son of a bitch. You such a whore!” Serentak menghabiskan kata-katanya, dia melangkah laju meninggalkan Rossa dengan air mata buaya gadis itu. Sekalipun dia tidak berpaling lagi. Semua sudah tamat antara mereka.

Natrah sesekali menguap. Matanya agak berat namun dia tetap berdegil mahu habiskan menonton rancangan menarik itu. Seram juga menonton cerita hantu seorang diri. Waktu malam pula.
   “Dang!” Bunyi hentakan pintu yang kuat betul-betul menyentap tangkai jantung Natrah. Segera Natrah meluru ke pintu depan. Dia dapat melihat Hakim berdiri tegak dengan dada yang berombak ganas. Apa yang terjadi pada lelaki itu?
   Tersentak dia saat melihat Hakim tega melepaskan tumbukan pada almari kaca hiasan berdekatan. Berderai kaca-kaca bertebaran di lantai marmar banglo mewah itu. Kerutan jelas terlukis di wajah Hakim.
   ‘Tahu pun sakit.’ Hati Natrah berbisik. Pelik dia melihat kelakuan Hakim yang berang tiba-tiba. Bunyi kepoh mulut Bik Yanti mengalih perhatian Natrah dari Hakim. Natrah masih juga bersembunyi di sebalik dinding dan menjadi pemerhati setia.
   “Ya Allah. Den Hakim. Kok begini sekali. Ha.. Non Natrah, ke sini ya tolongin bibik beresin ini kaca. Nanti ada yang tertusuk.” Terbongkok-bongkok Bik Yanti menyapu kaca-kaca itu.
   Natrah tersentak mendengar namanya dipanggil. Berlari-lari anak dia cuba mendapatkan penyapu di tangan Bik Yanti, namun Bik Yanti mengelak. Mulutnya dijuihkan pada Hakim yang berdiri membeku di situ. Fahamlah Natrah yang Bik Yanti mahu dia merawat luka di tangan lelaki itu.

“Perempuan jalang!” Perlahan sahaja nada suara Hakim namun cukup jelas di telinga Natrah. Terhenti pergerakan tangannya yang sibuk mencuci luka di tangan Hakim. Serasa sejuk seluruh tubuhnya. Adakah Hakim tahu apa yang terjadi pada dirinya. Dia cuba amati riak di wajah kacak itu. Anak mata Hakim langsung tidak memanah ke arahnya.
   “Tak selesai hal Helmi, Hakim pula buat hal meroyan tengah-tengah malam buta ni.” Dato’ Syukor mengambil tempat di sebelah Natrah yang tersenyum tawar. Hakim mengangkat mukanya memandang Dato’ Syukor. Bibirnya diketap.
   “You were right, abah. Rossa tu memang perempuan tak guna.” Masih terasa bahang pada nada suara Hakim. Dato’ Syukor mengeluh. Sudah banyak kali dia mengingatkan Hakim, baru kini taring sebenar perempuan itu timbul.
   Natrah menghela nafas lega. Oh… Tahulah dia kini bahawa kata-kata itu bukan ditujukan padanya.
   Natrah bangun menyimpan peti pertolongan cemas di dalam laci almari. Dia berlalu sebaik melambai ke arah Dato’ Syukor. Matanya sudah terlalu berat untuk terus bertahan di situ. Tambahan pula, apa yang terjadi tiada kena-mengena dengannya.
   Hakim memerhati lenggok gadis itu hingga hilang di sebalik dinding batu. Sudah lebih tiga minggu gadis itu tinggal bersama mereka, namun sepatah perkataan pun dia tidak pernah dengar keluar dari mulut gadis manis bertudung itu.
   Dato’ Syukor hanya memerhati Hakim yang masih tidak lepas dari memandang Natrah. Dia ketawa kecil. Ada sesuatukah dalam hati Hakim buat Natrah. Nampaknya anaknya itu tidaklah terlalu kecewa dengan hubungan yang baru putus itu.

Hakim merenung syiling biliknya. Dia melepaskan keluhan berat. Ada sesuatu yang tidak kena. Dia memang merasa marah dengan apa yang Rossa lakukan. Namun entah mengapa hatinya tidaklah terlalu sakit.
Tangannya yang masih berdenyut diangkat kehadapan wajahnya. Dia merenung pula tangannya yang berbalut kemas. Tanpa dipanggil-panggil senyuman terukir di wajahnya. Bayangan wajah Natrah yang begitu tekun merawat tangannya melekat di kornea matanya.
   Ada sesuatu yang istimewa pada gadis cantik itu yang menyebabkan dia sering terbayangkan wajahnya. Mungkinkah hatinya telah berpaling? Dia sendiri tidak pasti. Hanya yang dia tahu ini baru kali pertama dia merasakan perasaan yang sebegini. Membuat dia tidak senang duduk dan sentiasa keresahan tapi dalam masa yang sama, bahagia!






BAB 8

Natrah menghulurkan sayur salad yang siap dibasuh kepada Bik Yanti. Meskipun penat baru pulang dari kerja masih belum hilang, dia tetap ingin membantu di rumah. Dia telah terlalu banyak terhutang budi pada Dato’ Syukor yang memberi tempat tinggal dan pekerjaan kepada orang asing sepertinya.
   Bik Yanti menyiku pinggang Natrah saat Hakim melangkah masuk ke dapur. Natrah hanya tersenyum melihat Bik Yanti yang membuat wajah masam mencuka. Memang fotokopi wajah Hakim saat itu. Penatlah tu.
   “Oh iya. Baru bibik teringat. Non Natrah masih belum bertemu sama deng Helmi, iya enggak?” Entah dari mana soalan itu boleh datang ke minda Bik Yanti waktu itu. Natrah hanya mengangguk.
Hakim mula tertarik untuk  mendengar perbualan mereka. Dia mula memasang telinga dalam diam. Mana tahu, dia dapat mendengar suara Natrah yang baginya amat misteri itu.
   “Deng Helmi itu gantang. Cuma sikapnya agak nakal gitu. Enggak jahat hanya nakal. Wajah deng Helmi sama deng Hakim persis. Ada iras-iras gitu. Apa itu dalam bahasa Malaysia. Ha! Sejibik!” Ringan sahaja mulut Bik Yanti bercerita. Natrah menutup mulutnya menahan tawa. Pandai sahaja Bik Yanti menggunakan ayat muda-mudi zaman sekarang.
   “Bik! Itu budak-budak yang tak reti memartabatkan bahasa sendiri guna perkataan ‘sejibik’ itu. Yang betulnya sebijik. Tak pun nak lagi sedap, serupa…” Hakim menegur setelah Natrah dilihat hanya menahan tawa.
Natrah memandang wanita empat puluhan yang bertubuh gempal itu mencebik menerima teguran Hakim namun tangannya masih lincah mengacau tomyam di dalam periuk itu. Bik Yanti tidak mempedulikan teguran anak majikannya lalu meneruskan ceritanya.
   “Tapi, deng Helmi itu banyak berubah sekarang. Dia jadi pendiam. Suka menyendiri dalam kamar.” Berkerut dahi Natrah mendengar penjelasan Bik Yanti. Misteri benar lelaki bernama Helmi itu. Dia ingin bertanya lanjut, namun keadaannya menghalang. Nota dan pennya juga tertinggal di dalam bilik. Akhirnya dia hanya menganggukkan kepalanya.
   Hakim bergerak ke singki bersebelahan Natrah. Ringan sahaja mulutnya memerli Natrah. “Ada emas ke dalam mulut tu.” Walaupun kata-kata itu hanya usikan kosong, namun hati Natrah tetap terasa dalam diam. Bibir merahnya diketap kuat.

Natrah berlalu ke dalam bilik. Dia masih belum menunaikan solat maghrib. Keluarga Dato’ Syukor dibiar makan terlebih dahulu. Dia lebih selesa makan malam bersama Bik Yanti selepas maghrib.
   Natrah melangkah ke dalam bilik air. Dia mengambil sabun cuci tangan di sinki. Tiba-tiba hidungnya menangkap bau yang kurang senang. Dia hairan mengapa bau sabun Palmolive kegemarannya menjadi busuk dan begitu mencucuk hidung.
   Natrah segera mencuci sisa sabun yang masih ada di tangannya. Setelah dia pasti bersih, dia mengangkat tangannya dekat dengan hidungnya. Masih kuat baunya. Tekaknya mula terasa mual. Akhirnya Natrah memuntahkan segala isi perutnya ke dalam sinki.
   Natrah melangkah lemah ke katil. Mualnya masih belum hilang. Mujur sahaja dia mampu menahan rasa itu ketika menunaikan solat hingga selesai.
Natrah berbaring di atas katil empuknya. Bunyi ketukan di pintu bilik memaksanya untuk tetap mengheret kakinya membuka pintu itu.
   “Non enggak mau makan?” Bik Yanti bertanya saat pintu terbuka. Natrah hanya menggeleng lemah. Bik Yanti merenung wajah Natrah yang pucat. “Non enggak sihat? Mahu ubatnya?” Natrah masih lagi menggeleng kepala. Waktu ini dia hanya mahu merehatkan kepalanya yang pusing.
   Bik Yanti mengeluh. Hati tuanya dihambat kerisauan melihat wajah Natrah yang begitu pucat hingga kelihatan seperti tiada setitik darah pun di wajah itu. “Kalau begitu, non istirehat sahaja ya.” Natrah mengangguk. Memang itu yang dia perlukan waktu ini.

Hati gadis itu dihambat resah. Pagi tadi, rasa loya ditekaknya bertambah teruk. Walaupun dia tidak menjamah apa-apa makanan sejak malam semalam dia masih lagi memuntahkan isi perutnya. Kepalanya pusing dan terasa berat sekali.
Bila difikirkan semula, dia juga sudah lewat datang bulan tiga minggu lebih. Jangan-jangan apa yang selalu ditakutinya dan sering menghantuinya setiap saat selepas kejadian hitam itu benar-benar terjadi.
   Natrah menjeling jam di meja. Sudah cukup tiga minit. Jantungnya berdebar kencang menanti keputusan alat ujian kehamilan yang dibeli selepas habis waktu kerja. Dia menggenggam alat itu sambil matanya dipejam rapat.
   ‘Ya Allah, berilah kekuatan padaku. Jauhkanlah aku dari apa yang aku ragui sekarang. Janganlah apa yang aku takuti termaktub dalam takdir-Mu buatku.’ Hatinya tidak putus-putus berdoa.
Natrah membuka matanya perlahan-lahan. Matanya membelolok melihat keputusan ujian itu. Alat itu terlepas dari tangannya yang menggeletar. Dia merasa bagai ada dinding yang tidak kelihatan menghimpitnya hingga dia langsung tidak boleh bernafas.
Terasa dunianya kelam sekali. Matanya berpinar-pinar dan dia akhirnya rebah menyembah lantai. Segala-galanya hilang dari pancainderanya.











BAB 9

   Telinganya menangkap sayup-sayup bunyi esakan seseorang. Matanya kembali menangkap cahaya. Bik Yanti dilihatnya menggeleng-geleng perlahan. Ada air jernih di tubir mata wanita itu. Matanya beralih pula ke wajah Dato’ Syukor yang jelas terbeban dengan masalah.
   “Kasihan non… Bibik enggak sangka begini sekali nasib non.” Melalui kata-kata Bik Yanti, Natrah pasti Dato’ Syukor telah menceritakan nasib yang telah menimpanya, yang telah merubah seluruh hidupnya. Natrah mengeluh perlahan. Tangannya meraba kepalanya. Litup bertudung. Pasti Bik Yanti yang sarungkan.
   Dato’ Syukor mendekati Natrah. Tiada terkesan air mata olehnya. Dia yakin walau tidak kelihatan gadis itu pasti meratap dalam hati. Kasihan anaknya ini tidak putus-putus ditimpa ujian. Tiada jalan lain lagi. Dia harus memberitahu Natrah.
“Kita gugurkan, ya?” Tersentak Natrah mendengar ayat yang keluar dari mulut Dato’ Syukor. Pantas dia menggelengkan kepalanya. Matanya terarah pada Bik Yanti meminta simpati. Ya Allah, dia tidak mahu membunuh satu nyawa. Walauapapun, yang ada di dalam rahimnya itu adalah anaknya!
   “Tuan… Itu namanya membunuh.” Bik Yanti mengelus ubun-ubun Natrah. Dia yakin gadis itu mengharap agar dia menyebelahi bayi di dalam perutnya itu. Itulah hati seorang ibu. Meski lautan api yang terpaksa diredah, mereka rela hanya demi amanat dari Allah yang bergelar cahaya mata.

Natrah termenung di jendela biliknya. Setitis demi setitis air matanya jatuh membasahi pipi. Gadis itu berjalan perlahan ke arah meja di sebelah katilnya. Al-Quran kecil berwarna hijau itu diambil lalu dipeluk erat. Hatinya berdoa setulus hatinya.
   ‘Tiupkanlah kekuatan dan semangat bagiku untuk meneruskan hidup ini, ya Allah… Bantulah aku menempuh dugaan ini.’ Sayu hatinya merintih.
   Natrah memanggung kepala. Langsung tidak dia sangka hingga begini sekali dia diuji. Namun siapa yang harus dia salahkan. Lelaki bangsat yang telah mengotorkan dirinya masih bebas berkeliaran di luar sana sedang dia…
   Dia seorang menanggung akibat dari dosa yang tidak pernah dia lakukan. Astaghfirullahhal’azim… Natrah menggelengkan kepalanya. Terlalu jauh dia tersasar. Dia tidak sepatutnya mempersoalkan takdir Allah buatnya.
   ‘Apakah hikmah disebalik semua yang berlaku ini?’ Hati Natrah berbisik perih. Satu soalan yang dia masih belum temui jawapannya.
   Natrah meletakkan kalam Allah itu di atas meja lalu dia menuju ke bilik air. Dia hanya Nampak satu jalan itu meringankan walau sedikit luka yang dia tanggung iaitu, menyembah yang maha esa.



  Dato’ Syukor bagai cacing kepanasan di bilik utama. Lelaki tua separuh abad itu mencapai nota yang masih disimpan elok. Nota yang diberikan arwah Kamil kepadanya saat pertelingkahan meletus antara mereka. Sori, bro. Kosong-kosong okay.
Segaris senyuman terukir di bibirnya. Wajah Kamil menghiasi ruang mindanya bersilih ganti dengan wajah Natrah. Kepalanya benar-benar pusing memikirkan masalah yang baru ini.
   Kertas memo kecil berwarna kuning itu dirapatkan ke dadanya. “Maafkan aku, Kamil. Aku tak mampu lindungi Natrah.” Seketika kemudian, mata Dato’ Syukor yang terpejam kembali terbuka.
   Tidak! Dia tidak boleh hanya berpeluk tubuh membiarkan semua ini berlaku. Sanggupkah dia melihati hari-hari Natrah akan datang bersama bayi dalam kandungannya ditemani hinaan dan caci maki orang sekeliling? Tidak… Sungguh dia tidak sanggup.
   Dato’ Syukor bingkas dari katilnya. “Ya Allah, kau berilah petunjukmu padaku.” Dato’ Syukor memanjatkan doanya. Dalam dia mundar-mandir di dalam bilik itu, secara tidak sengaja lututnya melanggar bucu meja di sebelah katilnya. Salah satu bingkai gambar di atas meja itu jatuh ke lantai.
   Rasa pedih menjalar ke kepala lututnya. Dato’ Syukor terduduk sambil memegang kakinya yang kesakitan. Saat itu matanya tertancap pada gambar yang terbaring sepi di atas lantai mozeknya. Wajah Hakim tersenyum memegang segulung ijazah menembusi anak matanya.
    Bingkas Dato’ Syukor bangun sambil gambar itu masih dalam tangannya. Rasa sakit yang dia alami sebentar tadi hilang begitu sahaja.
    Dia tahu apa yang dia rencanakan dalam mindanya kini menuntut satu pengorbanan yang cukup besar. Namun, ini sahaja jalan yang tinggal buatnya untuk menyelamatkan maruah Natrah dari terus tercalar. Dia perlu mengeraskan hatinya. Kini kebahagian Natrah adalah segala-galanya…
   “Aku janji aku akan lindungi maruah anak kau selagi terdaya. Aku takkan biarkan Natrah macam tu saja.” Dato’ Syukor nekad. Walau berapa harga yang perlu dibayar, aib Siti Natrah harus ditutup!












BAB 10

   “What? Apa yang abah cakap ni? Takkan nak suruh Hakim jadi pak sanggup untuk perempuan sundal tu? Hakim ni anak abah. Betina tu orang luar je!” Melengking Hakim sebaik mendengar permintaan Dato’ Syukor.
   Apa yang lebih menaikkan amarahnya, selama ini dia memandang Natrah sebagai gadis baik-baik. Hatinya juga sedikit demi sedikit semakin terpaut pada gadis cantik itu. Tiba-tiba sahaja, Dato’ Syukor menyampaikan khabar kehamilan Natrah. Malah, memaksanya menjadi galang ganti menutup aib gadis itu.
   “Hakim! Natrah tu budak baik. Abah yakin dia boleh jadi isteri yang baik. Apa yang berlaku bukan atas kerelaan dia.” Lirih suara Dato’ Syukor saat mengungkit peristiwa hitam itu. Jika dia tahu siapa dalangnya, pasti dibunuh budak jahanam itu.
   “Baik? Semua perempuan sama saja.” Sinis nada suaranya. Bayangan Rossa bermesra dengan lelaki yang boleh digelar bapa kembali bermain di mindanya. Baru sahaja dia mahu membuka hatinya untuk Natrah, gadis itu pula yang menghentam hatinya.
   “Abah tak kira. Hakim kena kahwin dengan Natrah. Kalau tak, satu sen pun Hakim takkan dapat dari abah!” Tersentak Hakim dengan ugutan Dato’ Syukor.
   “What? Abah sanggup buang Hakim sebab orang luar?” Hakim memandang mata Dato’ Syukor yang tidak berkelip. Lelaki itu benar-benar serius.
   “Abah… Abah jangan mudah tertipu dengan perempuan tu. Konon bertudung. Entah berapa ramai lelaki yang dah tidur dengan dia. Hakim kenal sangat perempuan macam tu. Perempuan mur…” Belum sempat Hakim berbicara lebih lanjut, telapak tangan Dato’ Syukor hinggap di wajah Hakim. Terkedu Hakim di situ.
   Buat pertama kalinya Dato’ Syukor menamparnya. Sebelum ini jangankan jentik, mencuitnya pun tidak. Namun hanya kerana perempuan bernama Natrah, Dato’ Syukor tekad menamparnya.
   “Jangan Hakim hina dia. Dia perempuan baik-baik. Abah tahu sangat Natrah. Keputusan abah muktamad! Terpulang mana yang Hakim pilih. Terus berada dalam keluarga ini atau hidup di luar sana seolah-olah abah dah mati dalam hidup kamu.”

Natrah menutup perlahan pintu biliknya. Pipinya basah dengan air mata. Terhincut-hincut bahunya menahan sendu. Sampai begitu sekali Dato’ Syukor cuba mempertahankan maruahnya yang sedia terobek parah.
   Natrah mencapai jam tangan kristal di dalam laci. Dia masih ingat saat jam itu diserahkan padanya ikhlas dari Dato’ Syukor. Katanya pemberian sempena hari dia menjadi anaknya. Hari lahir keduanya sebagai ‘anak abah’. Betapa dia membayangkan kasih tidak bertepi seorang bapa dalam anak mata lelaki tua itu.
   Natrah menggenggam erat jam itu. Dia tidak mahu Dato’ Syukor mengorbankan masa hadapan anak kandungnya demi orang asing sepertinya. Dia tidak layak mendapat kebaikan sampai begitu sekali.

Dato’ Syukor berpaling saat dia terasa hujung baju melayunya ditarik. Natrah tercegat dibelakangnya. Tangan lembut itu masih memegang kejap hujung bajunya namun wajah gadis itu tunduk memandang lantai. Hakim menjeling benci gadis itu.
   Natrah menggerakkan bibirnya meminta Dato’ Syukor mengikutnya. Hakim yang duduk agak jauh dari mereka hanya memerhati dengan penuh rasa jijik. Entah apa yang gadis itu hasut abahnya sampai berbisik-bisik begitu. Telinganya tidak dapat menangkap butir bicara Natrah.
   “Syy… Natrah percayakan abah?” Natrah mengangguk perlahan. “Natrah nak tengok abah bahagia?” Sekali lagi Natrah hanya mengangguk. Dia tahu ke mana arah bicara Dato’ Syukor. Pen dan nota di tangannya digenggam sekuat mungkin.
   “Kahwin dengan Hakim.” Muktamad keputusan Dato’ Syukor. Natrah diam tidak berkutik. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Apa lagi pilihan yang dia ada?

Helmi bersujud buat kesekian kalinya menghadap Illahi. Jiwanya sedikit tenang sejak dia kembali ke pangkal jalan. Namun dia masih dengan tabiatnya berkurung berjam-jam di dalam bilik. Jika hendak keluar, dia tidak betah di dalam rumah, dia akan terus mengheret kakinya ke masjid berdekatan. Di situlah Ustaz Rahim mendidik dia soal hukum-hakam agama yang telah lama dia tinggalkan.
    Pertemuannya dengan Ustaz Rahim membawa seribu, bukan. Sejuta rahmat buatnya! Dia nampak jalan untuknya bertaubat. Dia nampak cahaya yang selama ini tidak terjangkau dalam hidupnya yang dibalut kegelapan dosa.
   Dato’ Syukor bagai tidak percaya apa yang dilihatnya sebaik daun pintu bilik Helmi diselak. Sejuta kesyukuran dipanjatkan pada Illahi. Sejuk hatinya mendengar merdunya suara Helmi mengalunkan kalam Allah.
   Dato’ Syukor duduk di birai katil. Kehadirannya disedari Helmi. Bacaan anaknya terhenti. Dato’ Syukor memandang Helmi penuh kasih.
   “Alhamdulillah. Abah tak sangka Helmi dah berubah. Diam Helmi bawa seribu rahmat.” Helmi mengensot mendekati Dato’ Syukor. Tangan Dato’ Syukor yang berurat dicapainya lalu dibawa ke bibirnya.
   “Abah. Maafkan Helmi selama ni sakitkan hati abah. Helmi menyesal.” Rasa kekesalan dan dosa memberat di hatinya. Dato’ Syukor membelai rambut Helmi sedang Helmi masih tertunduk mencium tangannya. Hilang sedikit masalah Natrah yang mengasak mindanya ketika ini.
   “Abah dah agak anak abah tak jahat…” Kata-kata Dato’ Syukor menghentak jiwa Helmi. ‘Abah, Helmi memang jahat. Helmi jahat!’ Hatinya membentak. Tidak mampu rasanya untuk menceritakan perbuatan durjananya kepada Dato’ Syukor. Dia tidak punya kekuatan.
   “Abah dah lama maafkan anak-anak abah. Helmi, abah ada sesuatu nak cakap tentang abang kau dengan Natrah.” Dato’ Syukor terdiam sementara. Tangannya menepuk katil menyuruh Helmi melabuhkan punggung di situ. Natrah… Bik Yanti pernah bercerita tentang anak angkat baru abahnya itu saat Bik Yanti menghantar makanan ke biliknya. Helmi memandang wajah abahnya. Ada kesayuan di sebalik wajah tua itu.

Sambungan Part 3

No comments:

Post a Comment