Pages

Friday, 18 July 2014

Tragedi Pesawat MH17 Malaysia Ditembak di Ukraine

Sunday, 13 July 2014

Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: Cerpen

Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: Cerpen: Cerpen Seikhlas Kasih, Cerpen Cinta Dalam Diam, Cerpen Mr Vampire, Cerpen Mata, Cerpen Semanis Madu, Cerpen Yang Ketiga Vol 1, Cerpen Yang ...

Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: CERPEN : Yang Ketiga

Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: CERPEN : Yang Ketiga Vol 1: Muzik berdentum kuat hingga membingitkan telinga dalam kelab malam itu. Kesemua manusia dalam kelab itu bagai telah hilang kewarasan akal. ...
Untuk lebih banyak cerpen terbaru.
Hope enjoy :)
Koleksi Cerpen Menarik
 

Saturday, 12 July 2014

Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: Novel Bahagia buat Natrah - Part 1

Novel Cerpen Cerita Online Terbaik: Novel Bahagia buat Natrah - Part 1: BAB 1 Suasana di bandaraya Kuala Lumpur sesak dengan banjiran manusia. Terik matahari diredah meski bahangnya membakar kulit. Dari jauh...

Novel Bahagia buat Natrah - Final

BAB 21

Hakim berpaling bila terasa sesuatu di baling ke arahnya dari belakang. Lamunannya tercantas. Dia dapat melihat Natrah yang tersenyum memandangnya.
   “Oo… Sayang baling abang dengan batu? Nakalnya.” Hakim cuba mendekati isterinya yang berdiri agak jauh dari tempatnya berdiri, namun langkahnya terhenti melihat Natrah menghalakan telapak tangan kanan ke arahnya. Berkerut dahinya melihat kelakuan Natrah.
   Natrah menapak selangkah dua mendekati suaminya. Nafas dihela. Langkahnya yang mula-mula perlahan semakin laju. “Ouch! Sayang..” Hakim kini terbaring di atas pasir dan Natrah berbaring di atasnya. Tangan Natrah dilingkar pada pinggang Hakim. Pelukan Natrah begitu erat sekali.
   “Kenapa ni?” Belakang isterinya diusap lembut. Hairan dia dengan sikap Natrah yang sukar ditebak ini. Dia melepaskan keluhan perlahan. Nafasnya sedikit sesak namun hatinya tetap berbunga dipeluk erat isterinya. Kali ini isterinya sendiri yang meluru ke dalam pelukannya dengan rela.
   Natrah melepaskan pelukannya lalu duduk bersimpuh menghadap suaminya yang duduk berlunjur. Wajah Hakim yang berkerut diusap. Tangannya itu kemudian dipegang Hakim. “Kenapa ni, Natrah?” Risau juga melihat perubahan Natrah. Apa sebenarnya yang telah terjadi? Gadis itu mengigaukah?
   Natrah tersenyum manis. Hanya buat Hakim. Wajahnya dirapatkan ke telinga Hakim. “Saya sayang suami saya.” Gemersik suara Natrah menyelinap masuk ke pendengaran Hakim. Kelu lidahnya untuk membalas kata-kata Natrah. Wajah mulus Natrah yang tersenyum dipegang. Matanya tidak berkelip memandang wajah itu. Dia yakin dia tidak bermimpi. Semerdu itu suara isterinya.

Hakim terus-terusan merenung Natrah dengan senyuman. Kekok Natrah mahu membalas renungan Hakim. Entah mengapa, gelisah benar dia malam itu. Hakim tidak membenarkan dia berganjak walau seinci jauh darinya. Tangannya digenggam kejap Hakim.
   Natrah berdehem. “Saya dah confess dekat awak tadi. Tapi awak tak jawab pun.” Matanya memanah simen lantai. Sedikitpun tidak membalas renungan menggoda suaminya.
   “Apa? Saya, awak? Well, Natrah nak ABANG jawab apa?” Hakim masih enggan mengeluarkan ayat yang Natrah nantikan. Sengaja mahu mengusik Natrah.
   “Ye lah. Saya dah cakap… Emm, awak cakaplah pula.” Merah kembali muka Natrah yang putih bersih. Hakim tertawa kecil melihat reaksi isterinya. Natrah merungut dalam hati. Kenapalah dia perlu luahkan perasaan dia dahulu. Kan dah malu. Tapi, dia hanya mahu suaminya mendengar ayat itu sebagai ayat pertama yang keluar dari bibirnya.
   “Natrah cakap apa, ya?” Hakim masih enggan mengaku kalah. Melopong Natrah melihat sikap Hakim yang berpura-pura bodoh itu. Hakim menolak dagu Natrah agar mulut isterinya kembali tertutup. Natrah mendengus geram.
   “Tak apa.. Awak tak ingat tak apa. Saya tarik balik kata-kata saya.” Natrah mencebik. Tangannya ditarik dari genggaman Hakim lalu disilangkan. Dia mengalihkan pandangannya dari Hakim. Terasa dia dipermainkan suaminya sendiri.
   Hakim meraih tubuh Natrah ke dalam pelukannya. Natrah hanya membatukan diri. Terasa hangat pelukan itu. Hakim menongkatkan dagunya ke ubun-ubun Natrah. Haruman rambut Natrah menyapa derianya.
   “Kalau Natrah sayang suami Natrah, abang lagi sayang isteri abang.” Senyuman terukir di bibir Natrah. Tangannya diletakkan ke dada bidang suaminya. Jelas dia merasa degupan jantung suaminya yang kencang. Sama sepertinya. Hakim mengucup lembut dahi dan kemudiannya beralih ke bibir munggil Natrah. Tangannya mengusap perlahan belakang isterinya. Hakim tidak mampu lagi menepis naluri lelakinya. Natrah juga hanyut dalam pelukan suami yang dicintainya.  





BAB 22

   Hakim terjaga dari lelapnya. Dia mencapai telefon bimbitnya. Baru pukul lima pagi. Tapi, Natrah tiada di sisinya. Ke mana isterinya menghilang?
   Hakim bangun menuju ke bilik air sambil menggosok-gosok matanya. Mungkin isterinya ke situ. Namun sangkaannya meleset. Hatinya mula gelisah melihat tiada tanda isterinya berada di bilik itu. Tanpa membuang masa, Hakim meluru keluar dari bilik itu. Hatinya dihimpit kerisauan dan pelbagai persoalan.
   Mungkinkah Natrah mengalami trauma yang sama semula selepas apa yang berlaku malam tadi? Kalaulah dia mampu menahan diri, mungkin Natrah tidak hilang seperti sekarang. Kini air matanya hampir merembes keluar. Tak mungkin. Bukankah Natrah telah sembuh? Mustahil. Betapa dia memohon agar segala tekaannya salah.

“Awak!” Sedikit tinggi suara Natrah memanggil Hakim. Pelik dia melihat Hakim yang kelam kabut semacam. Macam kena rasuk pun ada.
Hakim berpaling saat mendengar suara isterinya. Terus dia berlari ke arah Natrah lalu tubuh ramping itu dirangkul erat agak lama hinggalah Natrah sendiri menolak lembut tubuh sasa Hakim. Mahu patah pinggangnya dipeluk Hakim sebegitu.
   Hakim merenung wajah mulus Natrah. Tiada tanda trauma pada wajah cantik itu. Jadi, ke mana Natrah pergi meninggalkannya lena seorang diri.
   “Natrah pergi mana? Abang minta maaf kalau Natrah tak suka apa yang jadi antara kita semalam. Itu semua salah abang. Abang minta maaf, tapi jangan tinggalkan abang.” Serak basah suaranya merayu agar Natrah tidak bertindak drastik meninggalkan dia.
   Berkerut dahi Natrah mendengar kata-kata yang keluar dari bibir suaminya. “Apa awak cakap ni? Awak mengigau ke?” Tangannya dilambai-lambai di hadapan wajah Hakim. Mana tahu kalau-kalau betul suaminya mengigau.
   Tangan Natrah di hadapan wajahnya ditangkap lalu digenggam erat. Hakim menggelengkan kepalanya. “Abang janji abang tak buat lagi. Abang takkan paksa Natrah lagi. Kita balik, jom.” Hakim menarik lengan Natrah namun Natrah tidak berganjak.
   “Awak. Saya rasa awak dah salah fahamlah. Saya okay. Lagipun… Hal semalam tu… Emm…” Natrah berjeda sebentar. Merona merah wajahnya saat kenangan manis yang telah memeterai hubungan yang halal antara mereka kembali ke ingatannya. Dia merenung sejenak wajah suaminya. Memang dia pasti suaminya berfikir yang bukan-bukan. Nampaknya, walau segan dia harus memberitahu Hakim apa yang dia rasa.
   “Kita kan suami isteri. Awak tak paksa pun…” Kini giliran Hakim pula merona merah. Mereka sama-sama hanyut meladeni cinta yang akhirnya terluah mengatasi ego. Tapi, sungguh dia tidak ingat semua itu saat mendapati Natrah tiada lagi di sisinya.
   Hakim melepaskan pegangannya. Sebelah tangannya mencekak pinggang manakala sebelah lagi tangannya memegang belakang tengkuknya. Walaupun suatu masa dahulu dia liar, namun buat kali pertamanya dia mengalami perasaan sebegini.
   “Habis tu, Natrah pergi mana pagi-pagi buta ni?” Hakim memandang sekilas Natrah yang masih lagi menunduk. Pelik ke mana isterinya menghilang tanpa berita.
   “Pukul lima macam ni, biasanya kami kejut budak-budak bangun tidur. Bersiap tunggu dekat masjid.” Hakim terangguk-angguk seperti burung belatuk.
   Natrah kembali tertunduk. Waktu itu matanya menangkap di sebalik samar-samar cahaya kaki Hakim yang tidak beralas.
   “Awak tak pakai selipar?” Berkerut dahi Natrah. Sudahlah kawasan ini banyak duri. Tidak sakitkah suaminya itu?
   Hakim turut tunduk merenung kakinya. Dia sendiri tidak perasan yang dia meluru keluar berkaki ayam. Yang ada dalam kepalanya hanya Natrah. Sekarang, bila dia sudah perasan barulah dia merasa sedikit pedih dan rasa berdenyut-denyut di kakinya.

“Awak ni kan. Ada ke keluar ke tanah tak pakai selipar. Tak pasal-pasal luka. Nasib baik tak ada paku karat ke apa ke.” Natrah membebel pada Hakim sambil menyapu ubat luka di kaki Hakim yang diletakkan di atas ribanya. Tak sayang kaki betul dia ni.
   “Sayang juga Natrah dekat abang. Tapi kan. Baru abang tahu. Natrah ni suka membebel rupanya.” Terpana seketika Natrah melihat Hakim yang hanya tersengih seperti kerang busuk. Secara automatik Natrah menekan kuat luka di kaki Hakim.
   Apa lagi… Terjerit kecil Hakim dibuatnya. Mengekek Natrah melihat reaksi Hakim. Comel juga lelaki itu. Kulit lelaki itu yang agak cerah kembali kemerahan.
   “Hisy! Sayang ni kan..” Hakim menarik hidung kecil mancung Natrah. Kemudian bibirnya diketap sengaja mengacah gadis itu yang sudah tertawa kecil.

“Hakim menyimpan bagasi pakaiannya dan Natrah ke dalam bonet kereta. Kemudian dia mendekati Natrah yang masih berpegangan tangan dengan Farida.
   “Natrah jangan lupa sekali-sekala jenguklah ummi dekat sini.” Farida mencium kedua-dua belah pipi Natrah.
   “Insyaallah, ummi. Natrah pergi dulu. Assalamualaikum.” Natrah menyambut tangan Hakim yang dihulurkan padanya lalu bergerak meninggalkan Farida yang mengiringinya dengan senyuman.
   “Waalaikumussalam.” Farida memandang kereta Natrah hingga hilang dari pandangan. Dia dapat melihat sinar kebahagiaan pada pasangan itu. ‘Berbahagialah anakku…’ Bisik hati kecilnya.





BAB 23

   “Woi! Tengok siapa ada dekat sini. Pheewwit! Imam masjid siot!” Langkah Helmi terhenti. Dia berpaling mencari pemilik suara yang sangat dikenalinya.
   “Tok imam, tok imam… Saya ni jahat. Tuhan ampunkan saya, tak? Hmm?” Remy terus-terusan menyakitkan hati Helmi. Dia sebenarnya marah kerana Helmi menghilang dan keluar dari kumpulannya begitu sahaja sedang lelaki itu merupakan sumber kewangannya.
   “Kau nak apa?” Helmi cuba sedaya upayanya agar tidak terlalu mengikut amarah. Situasi begini lebih baik dikawal dengan ketenangan dan akal yang waras.
   “Aku nak apa? Aku nak duit la, tolol!” Remy menunjal-nunjal kepala Helmi hingga Helmi terundur setapak dua.
   “Aku tak ada duit.” Jujur sahaja Helmi menjawab. Dia sememangnya ada sedikit duit yang diberi Dato’ Syukor sementara mencari kerja baru di luar sana, namun satu sen pun tidak disentuhnya. Dia lebih rela mengikat perut dan membanting tulang bekerja sebagai buruh kasar. Dia tidak layak menerima duit itu sedang Dato’ Syukor terang-terangan membuangnya dari keluarga itu.
   “Apa? Tak ada duit? Heh! Kau ingat aku ni bodoh ke? Anak Dato’ tak ada duit.” Remy menggosok hidungnya. Giannya untuk dadah semakin menjadi-jadi. “Macam ni la, kawan. Aku pakai cara baik kau tak nak. Nampak gayanya aku kena pakai cara kasar.”
   Remy mengeluarkan kamera dari poketnya. Mahu pitam Helmi melihat aksinya memperkosa Natrah terakam dalam kamera itu. Dia segera mencapai kamera itu, namun Remy lebih pantas bertindak mengacahnya dengan pisau. Tindakan Helmi terhenti.

“Allah!” Penutup botol mineralnya terlepas dari tangannya sewaktu dia cuba menutup botol itu. Dia melepaskan keluhan ringan.
   Hakim mencapai penutup botol air mineralnya yang tergolek agak jauh darinya. Saat dia berdiri tegak semula, matanya menangkap kelibat adiknya, Helmi. Dia segera berlari mendekati Helmi apabila menangkap imej lelaki asing menghalakan pisau ke arah adiknya. Kayu di tepi jalan di capai.
   Tanpa amaran, kayu bersaiz sederhana itu hinggap di belakang Remy hingga lelaki itu jatuh menyembah tanah. Pisau dan kameranya tercampak di atas jalan. Baru dia hendak bangun membalas, Hakim pantas mengacah dengan kayu yang masih di tangannya. Remy lari meninggalkan tempat itu.
   Hakim memandang Helmi yang terpaku bagai orang bodoh. Hakim mengambil kamera yang tercampak dari tangan Remy sebentar tadi. Tangannya menggeletar melihat apa yang terakam dalam kamera itu. Dia pasti kedua-duanya adalah adiknya dan isterinya.
   Bagai baru tersedar dari mimpi, Helmi merampas kamera di tangan abangnya. Namun, segalanya telah terlambat. Satu penumbuk padu hinggap di pipi adiknya.
   “Rupa-rupanya… KAU!” Hakim tidak dapat membendung kemarahan yang dia rasakan. Kayu di tangannya dilibas tanpa arah. Kotak-kotak kosong di dinding berterabur menerima penangannya. Helmi hanya mampu memerhati abangnya melampiaskan kemarahan.

Hakim melangkah masuk ke dalam rumah. Natrah yang sedang leka berborak dengan Dato’ Syukor dan Bik Yanti tersedar akan kehadiran Hakim di muka pintu. Dia segera mendapatkan Hakim diikuti Dato’ Syukor.
   Dengan senyuman manis, Natrah menghulurkan tangan mahu menyalami suaminya. Namun, senyumannya mati apabila Hakim dengan dinginnya berlalu meninggalkan dia seolah-olah dia tidak wujud di situ.
   Baru Dato’ Syukor ingin menegur Hakim, matanya menangkap kelibat Helmi. Hatinya mula rasa tidak senang. Natrah mengekori langkah Hakim ke bilik.

“Hakim dah tahu, abah.” Helmi tertunduk merenung lantai. Dato’ Syukor memicit-micit kepalanya. Anak dan menantunya baru sahaja mahu menjenguk kebahagiaan. Tapi, bala lain pula yang datang menimpa. Dari reaksi Hakim, jelas anaknya tidak mampu menerima kenyataan ini.
   “Macam mana boleh jadi macam ni?” Dato’ Syukor sudah tidak larat memikirkan setiap dosa keluarganya terhadap Natrah. Sedang Natrah langsung tidak tahu-menahu akan perihal ini.
   Helmi hanya diam. Mahu diceritakan pun dia rasa tiada tenaga. Andai Hakim menyampaikan perkara ini pada Natrah… Mungkin gadis itu tidak akan memaafkan dia buat selama-lamanya.

Natrah mengambil tempat duduk di atas katil bersebelahan suaminya. Namun, hatinya tersentuh apabila Hakim bangkit dan duduk di sofa pula. Sedaya upaya dia menahan rasa.
   “Kenapa dengan awak ni? Saya ada buat salah dengan awak ke?” Natrah merenung anak mata Hakim. dia sedar suaminya itu melarikan pandangan darinya. Entah di mana silapnya kali ini sedang dia baru hendak merasa secangkir kasih seorang suami.
   Hakim hanya menahan rasa. Tidak… Memang ini bukan salah Natrah… Tapi, aku juga mangsa. Adik aku sendiri yang telah menghancurkan hidup gadis yang dia cintai. Adiknya sendiri… Bukan orang lain… Kenapa mesti Helmi? Layakkah lagi dia menggelar dirinya sebagai suami Natrah? Keluarganya banyak berdosa pada Natrah. Dia benci dengan dirinya sendiri.
   Hakim meninggalkan Natrah sendirian menjeruk rasa. Saat itu, hatinya terlalu terluka dan pedih untuk memikirkan tentang perasaan Natrah. Hakim mencapai bagasinya lalu menyumbatkan apa sahaja pakaian yang sempat dicapainya ke dalam beg itu.
   “Awak nak pergi mana? Kenapa dengan awak ni?” Natrah memegang lengan Hakim cuba menghentikan perbuatannya. Hakim menepis dan secara tidak sengaja tertolak Natrah hingga gadis itu terduduk di lantai.
   Hakim sendiri terkejut dengan perbuatannya. Baru dia hendak membantu Natrah bangun, dia kembali memalingkan muka. Dia tidak sanggup menyentuh Natrah buat masa ini. Dia tidak mampu…
   “Ni bukan salah kau. Tapi aku… Maaf, aku tak boleh jelaskan apa-apa buat masa ni.” Hakim segera meninggalkan Natrah yang masih berteleku di atas lantai. Luluh hati Natrah mendengar panggilan ‘aku-kau’ oleh suaminya. Apa yang telah dia lakukan?















BAB 24

   Natrah termenung di jendela. Sudah tiga hari tiada khabar dari Hakim. Rindu yang menepu dalam jiwanya semakin tidak mampu ditahan lagi. Sejak Hakim tiada, kini Helmi pula kembali menjadi penghuni setia rumah ini.
   Banyak kali juga Helmi cuba memujuk hatinya yang nanar rindukan Hakim. Malangnya, sedikitpun tidak mampu menyembuh luka. Selera makan Natrah turun mendadak sekali dengan berat badannya. Dia kecewa ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebab dan musabab yang munasabah.
   Natrah mendail lagi nombor telefon Hakim buat kesekian kalinya. Hanya suara operator yang menyambut panggilannya. ‘Awak… Kenapa awak buat saya macam ni. Sebelum ni, awak janji awak takkan lukakan hati saya.’ Entah berapa kali hatinya merintih dibiarkan dalam kegelapan. Tidak tahu sebab perubahan tiba-tiba Hakim.

Natrah memandang kosong pinggan berisi steak di hadapannya. Bawalah dia ke hotel seratus bintang sekalipun, seleranya tetap mati. Jika dipaksa juga, jawabnya akan keluar semula dari mulutnya.
   “Hakim.” Hampir serentak suara Dato’ Syukor dan Helmi memanah pendengaran Natrah. Segera Natrah mengangkat kepalanya. Matanya bergenang dengan air jernih melihat wajah yang siang malam dirinduinya.
   Natrah segera bangun menuju ke arah Hakim yang leka berbual dengan rakannya di kaunter. “Awak…” Natrah bersuara menarik perhatian Hakim dan kawannya. Senyuman Hakim semakin hambar sebaik wajah Natrah hinggap di kornea matanya.
   “Siapa tu?” Kawan Hakim menampar ringan bahu Hakim. Badrul merasa seperti pernah melihat gadis itu, tetapi dia tidak mampu mengingatinya.
   “Tak ada siapa-siapalah. Aku tak kenal pun. Jom, blah.” Hakim berlalu meninggalkan Natrah yang kelu mendengar bicaranya. Dia tahu hati isterinya terluka, tapi dia turut berduka. Dia masih belum bersedia untuk kembali pada Natrah.

Badrul memandang perubahan temannya. Dia sememangnya tahu akhir-akhir itu Hakim ditimpa masalah tapi nampaknya seperti masalah itu berganda beratnya selepas kemunculan gadis itu. Siapa gadis itu? Dia yakin dia pernah berjumpa dengan gadis itu. Dia mula membuka satu-persatu laci ingatannya.
   “Hah! Baru aku ingat. Dia isteri kau kan. Nama dia…” Badrul memejamkan matanya cuba mengingati nama isteri kawan baiknya.
   “Natrah.” Akhirnya Hakim bersuara. Nama yang dia rindui setiap saat. Tapi luka yang ditanggungnya terlalu dalam.
   “Seriously, dude. What is happening sampai kau buat isteri kau macam tu sekali?” Dia tahu Hakim dikahwin paksa tapi padanya tidak wajar Hakim memperlakukan Natrah sebegitu. Walhal jelas terpancar duka dalam anak mata gadis itu yang seolah-olah sudah hilang cahayanya. Malah Hakim sendiri… Wajahnya jelas cengkung dan tidak terurus. Kenapa mesti menyeksa hati Natrah jika dia sendiri menjadi terseksa?
   “Hakim… I’m your friend. Tell me. What has happen?”
   Setelah didesak beberapa kali, barulah Hakim menceritakan satu persatu yang terjadi. Badrul pula sekejap mengangguk, sekejap menggeleng. Tumpah simpatinya pada Natrah yang tidak henti-henti ditimpa kedukaan.
   “Hati aku sakit, Bad.” Rintih Hakim.
   “You are so selfish.” Badrul merenung tajam Hakim membuatkan dahi Hakim berkedut seribu.
   “What do you mean?” Sangkanya Badrul akan mengurangkan pedihnya tapi, rakannya itu menuduhnya sebegitu pula.
   “Apa yang membuatkan kau fikir luka di hati kau lebih parah dari luka di hati Natrah. Dari cerita kau, aku rasa Natrah bagai dipermainkan keluarga kau. Dia mangsa sebenar dalam hal ni. Adik kau, Helmi hancurkan hidup dia. Masa depan dia. Kau? Kau seperti dah robek hati dia yang sedia hancur. Aku rasa kalau kau belah dada dia dan jenguk hati dia, baru kau akan tahu macam mana nanarnya jiwa perempuannya diperlakukan macam itu. Kalau aku jadi dia, mungkin pintu kemaafan takkan terbuka lagi untuk kau dan family kau.” Panjang lebar Badrul bercerita
   “Tapi, aku…” Hakim masih cuba memberi logik tindakannya meninggalkan Natrah. Badrul perlu faham yang dia turut terluka.
   “Hakim… Kau rasa apa yang akan Natrah buat kalau dia tahu hal ni? Kau tinggalkan dia macam tu je. You kept her in the dark. Kalau ditakdirkan suatu hari nanti dia yang tinggalkan kau, apa yang kau nak buat?” Badrul mengerutkan dahinya.
   “Bad, itu yang aku takutkan. Itu yang aku takutkan. Aku takut Natrah menuntut aku lepaskan dia. Aku takut dia melangkah keluar dari hidup aku. Setiap kali aku lihat wajah dia, aku rasa diri aku berdosa sangat. Apa yang Helmi lakukan. Apa yang aku pernah lakukan. Aku tahu dia takkan aafkan aku Bad. Aku takut dia pergi Bad. Aku takut…” Hakim memanggung kepala. Air mata lelakinya tumpah juga. Itulah yang dia sering rasakan sejak kebenarannya terbongkar. Takut kehilangan ratu hatinya itu.
   Badrul bangun dari duduknya lalu menarik kerusinya ke sebelah Hakim yang masih dilanda sebak. Bahu rakannya dipegang. “Disebabkan rasa takut kau itu, Natrah menderita. Kerana takut kehilangan dia, kau buat seolah-olah dia tidak wujud dalam hidup kau. Tapi, kau masih rasa terseksa, kan?” Hakim masih tertunduk.
   Badrul melepaskan keluhan berat. “Kau kena beritahu dia perkara sebenar. Masalah takkan selesai dengan kau melarikan diri macam ni. She’s gonna need you to face the truth. Apa yang dah terjadi tak dapat diubah lagi. Aku tahu kau rasa bersalah kerana Helmi itu adik kau. Tapi, apa yang adik kau lakukan tidak ada kena-mengena dengan kau. Kau tak bersalah.” Badrul cuba memujuk.
   “Kau fikir Natrah akan rasa begitukah? Dia pasti akan bencikan aku. Dan akhirnya, dia akan tinggalkan aku. Aku tak sanggup, Bad. Aku terlalu sayangkan dia. Demi Allah, aku sayangkan isteri aku.” Semakin laju air matanya meluncur keluar membasahi pipi.
   “Kalau kau sayangkan dia, beritahu dia perkara sebenar. Dia berhak tahu. Jangan jadi pengecut.” Lama Hakim terdiam. Dia benar-benar menjadi pengecut saat berhadapan dengan situasi begini. ‘Ya Allah, apa yang harus aku lakukan?’ Desah hati kecilnya.




BAB 25

“Abah, Helmi tak jangka benda ni boleh jadi macam ni sekali.” Helmi memegang tangan Dato’ Syukor. Dia benar-benar tidak menjangka segalanya terbongkar jua. Bukan niatnya…
   “Macam mana kau kata tak boleh jangka? Semua ni sebab dosa kau. Kau rogol dia. Kau tahu tak? Hidup Natrah dah hancur kau kerjakan. Sekarang ni perkahwinan dia pula yang semakin retak. Puas hati kau?” Dato’ Syukor menarik semula tangannya. Segala-galanya jadi berantakan!
   Natrah terasa dunianya seperti berpusing. Betulkah apa yang dia dengar keluar dari mulut Helmi dan Dato’ Syukor. Bibirnya terasa kering, tekaknya terasa perih. Tangannya yang menggeletar memeluk tubuhnya cuba menahan perasaan yang maha hebat melanda dirinya. Entah marah, entah sedih, entah terkejut. Dia tidak pasti. Saat ini, apa yang dialaminya terlalu hebat.
   “Hakim tahu semua ini?” Natrah muncul tiba-tiba di belakang Dato’ Syukor membuat kedua beranak itu terdiam. Serasa berderau darah mereka melihat reaksi Natrah yang jelas telah mendengar semuanya. Betullah kata Dato’ Syukor. Tiada rahsia di dunia ini.
   “Hakim tahu tak?” Suara Natrah meninggi. Buat kali pertamanya mereka mendengar lengkingan Natrah. Masing-masing tertunduk merenung lantai.

Tersentak Hakim mendengar suara Natrah. Segera dia membuka kasutnya lalu terus melangkah ke dalam rumah. Dia dapat merasa suasana yang tegang dalam banglo mewah itu. Hatinya tercarik melihat mata Natrah yang merah merenung tajam ke arahnya. Penuh kebencian…
   “Hebat… Seluruh ahli keluarga ni memang hebat.” Natrah terasa kakinya bagai longlai. Segera dia menggunakan sofa dihadapannya untuk menyokongnya berdiri. Rohnya bagai ditarik keluar dari jasadnya. Dia menelan liur seketika. Perit…
   “Puas kamu semua hancurkan hidup saya. Hah? Apa yang korang nak dari saya? Apa dosa saya pada keluarga ni sampai maruah saya, hidup saya dilayan lebih hina daripada sampah dekat tepi jalan.” Dia meraup wajahnya. Cukup lumat hatinya dikerjakan mereka. Natrah memegang dadanya. Sakit… Terlalu sakit dikhianati mereka yang telah dianggap sebagai keluarga sendiri. Dalam esakan dia memukul dadanya.
   “Tak guna saya cakap apa-apa lagi. Semuanya dah jelas.” Natrah cuba memanggil semula kekuatan yang tersisa. Dia tak akan rebah di hadapan keluarga ini. Sama sekali dia tak akan menunjukkan kelemahannya. Air matanya diseka.
   Natrah berjalan mendekati Hakim yang dibaluti rasa bersalah. “Ceraikan saya.” Dunia Hakim terasa mahu runtuh. Akhirnya isterinya meluahkan juga perkataan itu. Perkataan yang paling ditakutinya. Tidak… Ini semua mimpi. Natrah tak mungkin tinggalkan dia.
   “Abang takkan ceraikan Natrah. Abang cintakan Natrah.” Tangannya yang membelai halus pipi Natrah yang kelihatan agak cengkung itu ditepis kasar. Hakim sedar isterinya terlalu menderita.
   “Cinta? Macam mana awak boleh cintakan saya padahal awak jijik dengan saya. Cakap! Itu ke yang dinamakan cinta?” Natrah melepaskan keluhan. Sarat dengan duka. Hakim tertunduk. Natrah memandang sejenak wajah suaminya. Wajah itu juga cengkung dan tidak terurus. Kumis dan jambang halus mula menghiasi wajah Hakim. Mata lelaki itu sembab dan merah seperti baru selepas menangis. Mungkinkah Hakim juga terseksa sepertinya? Namun segera ditepis perasaan itu. Apa yang Hakim rasakan tidak terbanding dengan apa yang dia terpaksa hadapi.
   “Natrah…” Kini Dato’ Syukor cuba memegang bahu Natrah. Kasihannya anakku. “Ampunkan abah…” Hanya itu yang mampu terucap olehnya. Dia tidak tahu bagaimana lagi mahu merawat hati Natrah yang parah.
   “Terima kasih Dato’, Helmi, Hakim. Terima kasih sebab dah buat hati saya mati. Lepas ni, saya yakin saya takkan dapat luka yang lebih sakit dari yang ini.” Natrah kembali memakukan pandangannya pada Hakim. “Tahniah sebab apa yang awak cakap dah pun jadi kenyataan. Saya memang takkan rasa secicip pun bahagia.” Hakim merasa seperti dipanah petir mendengar ayat yang pernah diucapkannya kepada Natrah di awal perkahwinan mereka. Air mata lelakinya tumpah lagi.
   Natrah melangkah keluar dari rumah itu dengan keperitan yang amat sangat. Baginya, mati mungkin lebih baik dari ini.
   Langkahnya terhenti saat banglo mewah itu sudah jauh dari pandangan mata. Di bahu jalan itu, Natrah terduduk dan menangis semahu-mahunya.

Hakim hanya terpaku di situ. Dia terasa udaranya untuk bernafas bagai telah direnggut. Dadanya terasa sesak. Air mata lelakinya begitu murah mengalir. Kini Natrah benar-benar tekad.
   Helmi mendekati abangnya. Ya Allah… Berdosanya dia menghancurkan hidup Natrah dan abang kandungnya sendiri. Tangannya memegang bahu Hakim yang kelihatan bergetar.
   “Hakim… Aku..” Belum sempat Helmi menyusun bicara, tubuh Hakim terlebih dahulu rebah menyembah lantai. Terpana Helmi di situ sebelum dia mendapatkan abangnya itu.
   Dato’ Syukor turut membantu Helmi mengangkat Hakim ke atas sofa. Mata tuanya dapat melihat betapa menderita sekali Hakim menanggung kehilangan wanita yang dicintainya sepenuh jiwa raganya dari hidupnya.
   Dia tidak pengsan, tetapi seluruh fungsi anggota badannya bagai terhenti. Kakinya tidak mampu menampung berat badannya. Tangannya longlai tidak mampu digerakkan. Matanya merenung kosong syiling rumahnya. Suara Helmi dan Dato’ Syukor menyeru namanya hanya sayup-sayup kedengaran menyapa telinga.
   Dia menelan liurnya. Terasa perit sekali tekaknya. “Aku tak layak menjadi suami dia… Aku tak mampu mengejarnya yang semakin jauh berlari meninggalkan aku… Ketakutan aku jadi nyata. Dia menuntut aku melepaskan dia. Aku tak mampu mengejar dia. Aku tak mampu menggapai tangannya. Dosa-dosa lalu mengunci seluruh tubuhku dari mendapatkan dia.” Rintih Hakim antara dengar dan tidak.
   Helmi dan Dato’ Syukor berpandangan. Helmi tertunduk. Semua salahnya. Dia menanggung dosa yang terlalu besar. Seharusnya dia yang menanggu derita. Bukan Natrah dan bukan juga abangnya.
   “Maafkan aku…” Helmi bingkas lalu melangkah laju keluar dari rumah itu tanpa mempedulikan laungan Dato’ Syukor memanggil namanya. Dia tidak layak berada di situ. Dia malah merasakan dia tidak layak hidup di dunia ini menabur derita kepada semua orang yang dia sayang hanya dengan kewujudannya.



BAB 26

Farida terkejut mendapat berita dari Natrah. Besar sungguh apa yang ditanggung Natrah. Natrah tidak tahu, kemana lagi dia harus membawa dirinya selain tempat dia membesar.
   “Natrah nekad nak bercerai dengan Hakim?” Farida masih mahu bertanya. Hati tuanya tetap mengatakan Natrah dan Hakim saling mencintai malah sememangnya ditakdirkan untuk bersama.
   Natrah mengangguk lemah. Tudungnya yang berkibar-kibar ditiup angin di pegang. Otaknya sekarang terlalu serabut. Dia bencikan keluarga itu, tapi dia lebih bencikan dirinya yang tidak mampu mengikis Hakim dari hatinya.
   “Natrah, runtuhnya sebuah perkahwinan itu akan menggegar arasy. Bercerai itu adalah jalan yang paling dibenci Allah. Ummi percaya Natrah tahu itu.” Bahu gadis itu diusap lembut.
   “Natrah dah tak larat ummi. Natrah dah terlalu penat. Baru Natrah nak rasa bahagia, derita datang berganda-ganda. Kadang-kadang Natrah rasa tak adil. Kenapa mesti Natrah yang rasa semua penderitaan ni. Dunia ni seolah-olah nak tengok sejauh mana Natrah boleh melentur sebelum akhirnya Natrah patah.” Natrah membaringkan kepalanya ke bahu Farida.
   “Natrah, Allah bagi ujian pada hambanya dalam pelbagai bentuk. Ramai lagi yang lebih menderita di luar sana. Tak baik nak mempersoalkan takdir Tuhan. Sekarang ni keputusan ada di tangan Natrah samada Natrah mahu lulus atau gagal dalam ujian ni. Tapi Natrah kena ingat hidup kita macam roda. Bukan sentiasa di atas dan tidak selamanya di bawah.” Kepala Natrah yang dibalut tudung putih dibelai lembut.

Katil itu diusap lembut. Kenangan bulan madunya dengan Hakim memenuhi kepalanya. Kenapa? Kenapa begitu payah untuk dia mendapatkan kebahagiaan? Air matanya mengalir lagi. Natrah mengetap bibirnya kuat.
   Dia mengambil pula bantal di kepala katil lalu wajahnya ditekup pada bantal itu. Terasa seolah-olah dia dapat menghidu haruman Hakim. Rindunya pada suaminya benar-benar menyeksa batinnya.
   Tetapi, hatinya sudah terlalu parah. Apa yang berlaku ke atas dirinya. Reaksi Hakim yang menjauhkan diri darinya saat mengetahui kebenaran itu menambah luka yang tidak tertanggung. Hakim jijik dengannya. Sama seperti di awal perkahwinan mereka. Natrah yakin itu.
   Natrah mencapai sekeping kertas di atas meja. Borang cerai yang diambilnya petang tadi dibelek. Ditahan air matanya dari jatuh. Pen di atas meja dicapai. Dia harus mulakan hidup baru. Jauh dari keluarga itu.

Menggeletar tangan Hakim membuka sampul surat yang baru diterimanya. Natrah betul-betul tekad menuntut perpisahan. Dia terduduk di kerusinya sambil merenung wajah Badrul yang duduk berhadapan dengannya.
   Badrul yang turut membaca surat itu mengeluh. Pasti gadis itu merasa terlalu sakit hingga tegar meruntuhkan perkahwinannya. Sudah dia katakan, yang akan merasa luka paling dalam adalah Natrah sendiri. Luka yang bisa membunuh jiwa raga seorang perempuan.
   “Bad, aku tak sanggup lepaskan dia. Aku terlalu sayangkan dia.” Hakim memicit kepalanya. Dia tidak mampu bayangkan hari-hari seterusnya tanpa nama Natrah dalam kamus hidupnya.
   “Aku tahu. Tapi, kau bayangkan sendiri apa yang Natrah rasakan sekarang. Sekeping hati dia hancur. Dia perlu mulakan hidup yang baru.” Badrul cuba memberi rasional. Bukan mudah mahu melepaskan orang tersayang. Tapi jika untuk kebaikan orang itu, Hakim perlu juga merelakan. Perkahwinan menuntut kerelaan kedua belah pihak.     
   Dia meletakkan kedua-dua belah tangannya ke atas meja kerja majikan dan juga rakannya itu. “Kalau kau sayangkan dia, you should walk in her shoes. Cuba faham apa yang dia rasa.” Badrul merenung sedalam-dalamnya anak mata Hakim. Jelas kelihatan betapa menderita sahabatnya ini menghadapi kehilangan Natrah. Dalam hatinya, dia berdoa agar Natrah mampu melihat cinta yang tertanam dalam hati Hakim.
  
Rossa mengikuti kereta Hakim. Telah berhari-hari dia mengekori lelaki itu, menanti masa sesuai untuk menyerang. Hatinya penuh dendam pada Natrah yang telah merampas Hakim darinya. ‘Dasar perempuan kampung. Kau akan mati dalam tangan aku!’ Hatinya bertempik.
   Pisau di tempat duduk sebelahnya dicapai. Tangannya menggenggam pisau itu erat. Saat Natrah muncul di balik matanya nanti akan ditusuk pisau itu ke tubuh Natrah supaya dendamnya terlunas.
   Segala rasionalnya sebagai manusia hilang begitu sahaja. Syaitan sudah merajai segenap jasadnya.  Dosa tidak pernah dipedulikan. Yang penting hatinya puas dapat melihat sendiri roh Natrah terpisah dari jasadnya.
   Bagai orang tidak waras, Rossa ketawa. Mulanya halus dan perlahan lalu semakin kuat bergema dalam keretanya.

“Natrah, kita perlu bincang.” Hakim memandang tepat wajah Natrah yang sarat dengan duka. Pipi gadis itu kelihatan semakin cengkung. Mata gadis itu juga sembab dan bengkak. Wajahnya benar-benar kelihatan lesu.
   Natrah langsung tidak memandang suaminya. Tangannya disilang. Apa yang Hakim ingin cakap, dia akan dengar tapi keputusannya tidak akan berubah.
   “Abang tak rasa abang mampu lepaskan Natrah…” Jujur Hakim menyatakan apa yang dia rasa saat ini.
   Bibir Natrah sedikit terjongket. Entah mengapa dia terasa lucu mendengar ayat Hakim. “Apa yang susah sangat? Bukan awak benci dan jijik ke tengok saya? Jadi buat apa nak simpan saya lagi?” Matanya masih lagi terarah ke jalan.
   “Tak… Abang sayangkan Natrah. Waktu tu hati abang terluka. Abang tak mampu nak kawal diri abang… Tapi sumpah abang tak rasa jijik dengan Natrah. Abang takut bila abang dapat tahu dosa keluarga abang terhadap Natrah terlalu besar.” Hakim cuba memegang bahu Natrah namun gadis itu lebih pantas mengelak.
   “Abang mengaku abang memang pengecut. Disebabkan abang takut abang larikan diri. Abang takut Natrah tuntut perpisahan. Tapi, akhirnya mimpi ngeri yang abang cuba elakkan tetap jadi kenyataan.” Hakim meraup wajahnya. Terasa jambang halusnya dibasahi air mata.
   “Awak cuma fikirkan hati awak yang terluka. Hati saya yang hancur pula macam mana. Ada awak fikir?” Jari runcing Natrah mengunjal dada Hakim. Wajah Hakim juga jelas dihempas derita. Kelihatan tidak bermaya dan tidak terurus.
   “Abang minta maaf. Abang cintakan Natrah. Demi Allah, Mohammad Hakim cintakan Siti Natrah.”
   “Awak tinggalkan saya terlebih dahulu. Itu yang awak panggil cinta?” Natrah sedikit sebak mendengar bicara Hakim. Tidak! Dia tidak akan mengalah. Hatinya mesti dikeraskan. Luka yang dihadiahkan keluarga itu bukan luka kecil…
   “Natrah… Natrah akan lebih bahagia tanpa abang?” Hakim menguatkan hatinya. Mereka saling berbalas pandang. Renungan yang hanya mereka berdua mampu tafsirkan. Natrah cuba melarikan anak matanya. Tidak! Dia tidak boleh tewas kali ini.
   Hakim mendekati Natrah. Dagu isterinya itu dipegang. “Natrah pandang abang. Beritahu abang apa yang Natrah rasa. Natrah rasa Natrah lebih bahagia tanpa abang? Terus-terang abang cakap, abang takkan bahagia tanpa isteri abang.”
   Natrah kembali kelu. ‘Hati, kuatlah.’ Natrah memejamkan matanya. Tidak sanggup rasanya melafazkan kata-kata itu sambil merenung mata bundar suaminya. Dia terasa seolah-olah menipu dirinya sendiri.
   

Baru Natrah mahu membuka mulut, sesuatu menangkap perhatiannya. Matanya membulat melihat Rossa berlari laju ke arahnya. Berderau darahnya apabila matanya menangkap kilauan pisau di tangan Rossa. Segalanya berlaku terlalu pantas.
   Saat Rossa mendekat, Natrah memejamkan matanya. Dia yakin pisau itu akan tertusuk di tubuhnya. Namun aneh, dia tidak merasa keperitan yang sepatutnya dia rasa.
   Natrah kembali membuka matanya. Terasa jantungnya bagai berhenti berdenyut melihat Hakim kini terbaring di atas jalan dengan berlumuran darah. Pisau itu masih terpacak di perut Hakim. Merah muka lelaki itu menahan kesakitan yang sangat dasyat.
   Rossa yang pada mulanya terpaku di situ cuba melarikan diri. Dia melintas jalan tanpa melihat ke kiri dan kanannya. Apa yang dia tahu dia harus lari. Dalam sekelip mata tubuhnya melayang dilanggar kereta sebelum terbaring semula di jalan. Saat dia terkutik-kutik menahan sakit, sebuah lagi lori menggilis tubuhnya. Segala-galanya menjadi hitam.

“Ha… Hakim.” Natrah menjadi tidak keruan. Darah yang membuak-buak keluar dari tubuh suaminya merenggut jiwanya.  Wajahnya saat itu, pucat lesi. Jika ditoreh sekalipun pasti tidak berdarah.
   Tangan Natrah sebelah menggenggam erat tangan Hakim manakala sebelah tangannya menggeletar saat memegang hulu pisau itu. Hanya tuhan yang tahu apa yang dia rasakan saat ini. Kepala Hakim diangkat lalu dipangkunya.
   Hakim menekan perutnya. Sekelilingnya semakin kelam. Dia menangkap imej Natrah di sebelahnya. Natrah selamat. Isterinya selamat. Senyuman manis terukir di bibirnya. ‘Cukup. Ini sudah cukup. Aku berjaya melindungi Natrah.’ Hatinya berbisik.
   Natrah memangku kepala Hakim. Sekuat hati dia menjerit melihat mata Hakim yang tertutup rapat. Hakim tidak boleh tinggalkannya. Tidak dengan cara begini. Tidak…







BAB 27

   Natrah memandang tangannya yang berlumuran darah Hakim yang mula mengering. Tangannya menggeletar. Empangan air matanya pecah. Doa dipanjatkan tanpa henti. Janganlah nyawa suaminya diambil.
   Dato’ Syukor memeluk bahu menantunya manakala Helmi hanya bersandar di dinding. Turut mendoakan keselamatan abangnya.
   “Abah, Natrah ingat hati Natrah dah cukup lumat sampai Natrah takkan rasa sakit lagi. Tapi bila Natrah tengok sendiri mata Hakim terpejam. Natrah… Natrah… Rupanya masih ada lagi ruang dalam hati ini untuk merasa sakit.” Natrah kembali teresak-esak. Dato’ Syukor mengucup ubun-ubun Natrah. Memang Natrah cintakan Hakim.
   “Hakim akan selamat. Kita sama-sama doakan.” Dato’ Syukor cuba memujuk Natrah agar bertenang walaupun hatinya sendiri dirusuh ketakutan memikirkan anak sulungnya sedang berperang dengan maut.

“Kami dah cuba sedaya upaya. Sekarang ni kita hanya mampu berdoa. Walaupun Encik Hakim telah melepasi tahap kritikal, namun keadaannya masih belum stabil.” Berita itu disampaikan dengan lancar sekali oleh doktor separuh abad itu.
   Natrah merasa kakinya lemah sekali untuk menanggung tubuhnya. Mujur sahaja Dato’ Syukor dan Helmi sempat menahan Natrah dari tersungkur.
   “Boleh kami melawat?” Helmi mengajukan soalan. Doktor tersebut mengangguk sedikit. Dia menepuk perlahan bahu Helmi bagi melahirkan rasa simpatinya.
   Natrah segera mengikut stretcher yang keluar membawa Hakim dari bilik bedah. Begitu juga Helmi dan Dato’ Syukor.

Rambut Hakim di belai lembut. Sebelah tangannya lagi memegang tangan Hakim. Sekejap-sekejap dia mengucup tangan itu. “Awak, awak kena sembuh. Awak kena bangun. Baru saya boleh maafkan awak.” Lembut Natrah berbisik di telinga Hakim.
   Dia telah berjanji dengan dirinya yang dia tidak akan pergi lagi dari sisi Hakim. Apa yang telah berlalu dia tidak mampu untuk mengubahnya. Yang harus dia fikirkan masa hadapan mereka bersama.
   Dia sudah cukup terseksa menghadapi risiko kehilangan Hakim. Dia juga telah mendapat jawapan untuk soalan Hakim. Dia tidak mungkin akan bahagia tanpa suaminya. Mungkin hatinya dilanda duka sekarang, tetapi dia yakin luka itu akan bertambah parah jika Hakim tiada di sisinya.
   Dato’ Syukor dan Helmi telah ke surau hospital untuk menunaikan solat hajat untuk keselamatan Hakim. Bukan dia tidak mahu ikut, cuma dia mahu Hakim melihatnya dahulu jika suaminya itu sedar.
   Natrah mendekatkan lagi kerusinya ke katil hakim. dia bangun sedikit lalu dahi suaminya dikucup penuh kasih. Tiada lagi rusuh di hatinya. Hanya cinta buat suaminya.

Hakim memandang sekeliling. Gelap dan kelam. Tiba-tiba muncul cahaya yang menyilaukan pandangan mata. Disebalik cahaya itu muncul dua lembaga. Helmi dan Natrah. Aksi mereka berpelukan mencabar kesabaran Hakim. baru dia hendak menyerang kedua-duanya, cahaya itu hilang mengembalikan dia dalam kegelapan.
   Dia merasa bahunya dipegang. Wajah mulus Natrah muncul di hadapannya. Ada air jernih bergenang di tubir mata isterinya. Ya, dia teringat. Isterinya hanyalah mangsa. Hakim cuba memeluk tubuh itu namun susuk Natrah semakin lama semakin jauh. Dia cuba mengejar. Nama gadis itu dilaung berkali-kali. Namun ia tetap menjauh.
   “Natrah… Natrah…” Tenggelam timbul suara Hakim mengganggu lena Natrah. Segera Natrah bangkit mendekatkan telinganya ke bibir Hakim. Terharu dia mendengar suaminya berulang kali menyebut dan menyeru namanya.
   “Saya ada dekat sini, awak.” Natrah membisikkan ke telinga Hakim. Mata Hakim terbuka perlahan-lahan. Kelibat Natrah dicarinya. Gadis itu tersenyum memandangnya.
   Tangannya mencapai belakang tengkuk Natrah lalu ditarik lembut ke dadanya. Dia yakin ini bukan lagi mimpi. Isterinya tidak meninggalkannya.

Dato’ Syukor dan Helmi berjalan menuju ke bilik wad Hakim ditempatkan. Helmi menjinjit beg yang terisi pakaian Natrah memandangkan Natrah berdegil enggan pulang.
   Sebaik pintu wad dikuak, Dato’ Syukor dan Helmi saling berpandangan. Mereka melihat Natrah dan Hakim sama-sama terlena di atas katil. Tangan sasa Hakim melingkar erat di bahu Natrah seolah-olah tidak akan dilepaskan lagi.
  Dato’ Syukor dan Helmi sama-sama tersenyum. Walau sekejam mana takdir itu, namun jodoh antara pasangan itu tetap kekal. Inilah ketentuan yang telah ditentukan Tuhan untuk hambanya.

Hakim bermain dengan jemari runcing isterinya yang sedang terlena. Dia tahu Natrah penat menjaganya siang dan malam hingga dia semakin sembuh. Sejenak dia tersenyum melihat dahi Natrah yang sekejap berkerut sekejap tidak. Entah apa yang dimimpikan isterinya itu.
  Hakim memandang Helmi yang melangkah masuk ke dalam wad. Adiknya jelas tidak berani bertentang mata dengannya. “Aku dah uruskan borang discharge kau.” Selesai bicaranya, Helmi terus berpaling ingin keluar dari bilik itu.
   “Apa rancangan kau lepas ni?” Langkah Helmi terhenti. Walau apa yang telah dilakukan Helmi memang salah, tapi jika Natrah sendiri telah memaafkan Helmi apa haknya untuk tidak memaafkan adiknya. Lagipun carik-carik bulu ayam akhirnya akan bercantum jua.
   “Aku nak sambung belajar dekat luar negara.” Berkerut dahi Hakim. Adiknya mahu membawa diri sejauh itu?
   “Ke mana? Kau dah fikir habis-habis ke?” Helmi mengangguk. Dia tersenyum sumbing ke arah Hakim. Jelas abangnya tahu perasan dia kala ini. Dia memandang sekilas pada Natrah yang masih lena di kerusi sebelah katil abangnya.
   “Kau tahu aku baru putus cinta. Tak salah kalau aku nak bawa diri.” Hakim merenung tajam mendengar bicara Helmi. Helmi ketawa kecil melihat reaksi abangnya. “Ya… Aku tahulah kau pun cintakan dia. Tak payah tenung aku macam tu. Aku bukan nak rampas dia pun. Dia isteri kau.” Kata-kata Helmi menyedarkan Hakim. Dia tersenyum tawar. Dia tahu persis perasaan adiknya.
















BAB 28

Natrah khusyuk mengacau nasi goreng di dalam kuali itu sambil diperhatikan Bik Yanti. Hakim memerhati dari jauh sebelum mendekati kedua-duanya dengan topang yang menyokong berat badannya. Dia masih tidak mampu berjalan dengan kekuatannya sendiri.
   “Syyy…” Hakim meletakkan jari telunjuknya di bibir saat Bik Yanti berpaling ke arahnya. Dia mengisyaratkan Bik Yanti agar berlalu meninggalkannya dengan Natrah. Bik Yanti tersenyum melihat sikap Hakim.
   “Bik, nak garam.” Natrah menghulurkan tangannya tanpa mengalihkan pandangannya dari nasi goreng ciptaannya itu. Hampir semua benda yang dia nampak di dapur itu dicampak ke dalam kuali.
  Hakim menghulur dan menyambut botol berisi garam. Dia bergerak lebih dekat dengan Natrah penuh hati-hati agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Topang di sandarkan pada cabinet dapur.
   Perlahan-lahan tangannya melingkar pinggang ramping Natrah. Dia dapat merasakan tubuh Natrah terloncat sedikit. Terkejutlah tu. Natrah memalingkan kepalanya dengan muka geram yang sengaja dibuat-buat.
   “Apa awak ni. Kacau saya buat kerja. Dah, pergi main jauh-jauh.” Natrah menggoncangkan sedikit bahunya agar suaminya meleraikan pelukan. Hakim tidak mengalah. Dia mengeratkan lagi pelukan dari arah belakang sambil dagunya didaratkan di bahu Natrah.
   “Buat je lah kerja Natrah. Anggap abang macam halimunan.” Hakim tidak mempedulikan keluhan kecil Natrah. Dia mencapai tisu di sebelah lalu mengesat dahi Natrah yang berpeluh. Namun pelukan masih belum dileraikan.

“Amboi! Romantiknya pagi-pagi lagi…” Teguran Dato’ Syukor memeranjatkan Hakim yang akhirnya termalu sendiri.
   “Mana ada abah. Biasalah pengantin baru.” Hakim memberi alasan.
   “Pengantin baru apanya. Dah lapuk dah pun.” Kali ini Helmi pula muncul lalu menyampuk diiringi gelak tawa Dato’ Syukor.
   “Pengantin baru bersamalah.” Hakim memintas. Natrah yang sibuk menghidang mencubit lengan suaminya. Terjerit kecil Hakim dibuatnya.
   “Tak padan dengan sakit. Pandai je mengarut.” Natrah membidas. Ketawa mereka sekeluarga meletus.

Lapangan terbang itu sesak dengan orang ramai. Helmi memandang sepi kawasan sekeliling. Kini, dia berada di negara asing. Keluarganya tidak menghantarnya selepas dia menolak berkali-kali dengan alasan dia tidak suka mengucapkan selamat tinggal.
Baru dia bangun berjalan ke arah pintu keluar, dia dilanggar seseorang hingga terjatuh. Banyak kertas berterbangan di situ. Helmi menanggalkan cermin matanya. Dia menangkap imej seorang wanita kelam kabut mengutip helaian-helaian kertas supaya tidak dipijak orang.
Helmi mengeluh melihat gadis itu bersusah payah meminta agar orang ramai tidak memijak kertas-kertas yang bertaburan di atas lantai sedang suaranya begitu perlahan.
   “Excuse me! Can you all please give way for this lady to pick up her documents. Please don’t step on them.” Akhirnya Helmi sendiri melaung selepas bosan melihat gadis itu terkocoh-kocoh sendirian.
   Gadis itu memandang Helmi tidak berkelip. Kemudian Helmi menolong pula mengutip kertas itu hingga selesai lalu diserahkan pada gadis itu.
   “Thanks a lot. I’m really sorry for all this troubles.” Lancar gadis berambut perang itu berbicara.
   “No sweat.” Helmi menjawab. Dia memerhati gadis itu. Gadis itu semulajadi cantik namun penampilannya cukup serabut. Dengan baju yang besar tidak sepadan dengan tubuhnya yang kecil molek dan cermin mata besar yang menyembunyikan mata coklat gadis itu, kecantikan dia sukar dikesan jika tidak diperhatikan betul-betul.
   “Comel juga awek ni kalau tengok betul-betul.” Perlahan sahaja suara Helmi. Namun gadis itu dapat menangkap bicaranya.
   “Excuse me?” Gadis itu memandang Helmi dengan dahi berkerut. Helmi memandang ke arah lain. Dengarkah gadis itu? Ah, bukannya minah salleh itu faham pun. Dia tersenyum sendiri.
   “Saya comel?” Gadis itu mengulang semula kata-kata Helmi. Terbuntang mata Helmi mendengar kefasihan gadis itu bercakap dalam bahasa melayu. Tergagap-gagap Helmi mahu menjawab. Malunya, Tuhan sahaja yang tahu.
   “Actually, I’m half malay half Britain. Anyway, I’m Maria.” Maria memperkenalkan dirinya.
   “I’m Helmi.” Helmi tersengih.
Begitulah permulaan hubungan mereka…

Tidak berkelip mata Hakim merenung wajah Natrah yang sedang mencuci lukanya. Sampai sekarang dia sebenarnya masih terasa di awang-awangan. Dia bagaikan tidak percaya Natrah betul-betul tidak meninggalkannya.
   “Berlubanglah muka saya awak tenung macam tu.” Natrah menjeling manja sekilas pada Hakim. Sungguh… Melihat suaminya masih bernafas di hadapan matanya benar-benar bagaikan sejuta rahmat buatnya. Tidak dapat dia bayangkan kalau Hakim benar-benar meninggalkan dirinya buat selamanya pada hari itu. Pasti Natrah akan merana mengenangkan sikapnya terhadap Hakim lebih-lebih lagi suaminya tercedera hanya kerana untuk melindunginya. Melihat Hakim membuka matanya semula terus membasuh semua luka yang pernah ada.
   “Abang tenung sebab takut Natrah tiba-tiba hilang.” Natrah merenung anak mata Hakim.
   “Saya takkan pernah pergi lagi dari hidup awak.” Selesai mencuci luka Hakim, Natrah mencapai tangan Hakim lalu dikucupnya.
   “Saya minta maaf… Untuk semuanya.” Lirih suara Natrah menuturkan kata-kata maaf yang lama bersarang di hatinya. Hakim membelai rambut Natrah.
   “Abang minta maaf juga…” Hakim memegang dagu Natrah agar memandangnya.
   “Abang sayangkan isteri abang.” Hakim berbisik. Natrah tersenyum manis.
   “Abang cintakan Natrah sampai mati ke?” Natrah bertanya. Giliran Hakim pula tersenyum mendengar panggilan Natrah kepadanya.
   “Ya… Malah bukan sampai mati sahaja. Abang sanggup mati demi cinta kita.” Natrah melabuhkan kepalanya di dada bidang Hakim.
Dalam hati, Natrah memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada tuhan. Dia sudah penat berada di bawah dalam putaran hidupnya. Kini kebahagiaan betul-betul untuk Natrah. Semua kepahitan yang dia lalui sebelum ini akan memaniskan lagi kehidupannya di masa hadapan. Selamat tinggal duka selamat datang bahagia

~ TAMAT ~