Pages

Saturday, 12 July 2014

Novel Bahagia buat Natrah - Part 4

BAB 16

   Natrah terasa pipinya dielus lembut. Matanya dibuka perlahan. Seluruh tubuhnya terasa sakit. Serpihan memori yang berterabur cuba dikutip dan dicantum saat matanya melihat wajah Hakim yang tersenyum di hadapannya. Mimpi atau realiti?
   Natrah meraba perutnya. Terasa seperti kosong tidak berisi. Darahnya mula berderau. Hatinya diasak ketakutan. Ingin ditanya, namun tiada suara yang keluar. Hanya bibirnya terkumat-kamit dan tangannya tergagau menggapai angin. Dia nanar sendirian…
    Hakim menggenggam erat tangan Natrah. Dia tahu apa yang ingin ditanyakan isterinya itu. Kini dia sendiri harus menyampaikan berita pedih itu pada gadis yang dia cintai. Puaskah hatinya melihat hidup Natrah runtuh satu persatu.
   “Natrah gugur.” Ringkas. Ya, hanya seringkas itu yang diucapkan Hakim namun cukup besar kesannya bagi Natrah. Kini dia tiba-tiba kehilangan makna untuk meneruskan hidup. Natrah menarik tangannya dari genggaman Hakim. Tubuh Hakim ditolak dengan sisa tenaganya.
   Hancur hati Hakim melihat air mata Natrah. Kalau dulu, mungkin dia akan meloncat kegembiraan melihat hancurnya hidup seorang gadis bernama Natrah namun kini hancurnya hati Natrah turut membawa seribu kelukaan padanya. Semua salahnya!
   Hakim memeluk tubuh Natrah seerat-eratnya meski gadis itu meronta lemah. “Maafkan abang. Abang berdosa pada Natrah. Maafkan abang. Maafkan abang.” Hanya itu yang diulangi Hakim. Natrah berhenti meronta. Hanya esakannya yang menemani kesunyian yang hanya dia seorang mampu rasai.
   Memang dia tidak nafikan telah lama dia ingin disayangi suaminya. Namun semahal itu harga yang perlu dia bayar untuk mendapatkan keikhlasan Hakim. Kejam… Lelaki ini terlalu kejam…

Hakim memimpin Natrah duduk di kerusi sebelah katil tempat Dato’ Syukor terbaring. Natrah mencapai tangan Dato’ Syukor. Dia tersenyum melihat Dato’ Syukor membuka matanya.
   “Natrah okay?” Serak basah suara Dato’ Syukor menyapa telinga. Dia tidak tahu bagaimana Natrah masih mampu tersenyum dengan hatinya yang pasti sudah hancur lumat itu. Tabah sungguh anak itu. Sama seperti ayahnya, Kamil.
   Hakim yang berdiri di belakang Natrah melabuhkan kedua-dua belah tangannya di bahu isterinya itu. Sedaya upaya Natrah cuba mengawal perubahan riak wajahnya agar tidak dikesan Dato’ Syukor. Biarlah dia menyimpan sendiri kepedihan yang dia rasa.
   Natrah menganggukkan kepalanya lalu mengambil kertas yang dihulurkan Hakim.
Natrah okay. Petang ni discharge. Tu la abah, Natrah masuk hospital abah nak masuk juga. Ni Natrah nak keluar, abah x nak ikut pula?
Dato’ Syukor tersenyum. Dia mengusap pipi menantunya itu. Rasa bersalah menggunung di dada. Bayangan Helmi kembali bermain di ruang mata. Bagaimana dia mahu berdepan dengan situasi ini? Pedih benar kenyataan yang terbentang di hadapan matanya.
   ‘Kamil… Maafkan aku…’ Hati tua Dato’ Syukor merintih. Betapa dia dan keluarganya menanggung dosa yang besar terhadap Natrah. Jika Kamil masih hidup, mungkin kawan baiknya itu akan membencinya. Dosa keluarganya pada Natrah seolah tidak akan terampun.

Sesekali Hakim mengerling Natrah di kerusi sebelahnya. Jemarinya pada stereng kereta digerak mengikut alunan muzik dari corong radio. Dia berdehem dua tiga kali dalam keganjalan. Namun pandangan Natrah tetap dipaku keluar tingkap. Entah apa yang menarik pandangan isterinya itu. Ataupun Natrah sengaja enggan bertentang mata dengannya.
   Hakim menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bingung dia bagaimana mahu memujuk Natrah. Dia bukanlah lelaki yang bijak bermain kata-kata. Suasana waktu itu terlalu kekok dan ganjal hingga dia berasa tidak selesa.
   ‘Come on, Hakim… You can do it. Gentlemanlah sikit. Takkan dengan bini pun kau takut.’ Sedaya upaya dia memujuk hatinya yang entah kenapa gemuruh semacam mengalahkan waktu dia menanti keputusan tender syarikat diumumkan.
   “Ada apa yang menarik sangat dekat jalan tu?” Hakim memulakan bicara memecah kesunyian antara mereka. Natrah masih tetap seperti tadi. Diam dan beku. Kata-kata Hakim hanyut dibawa angin.
   “Dari tengok jalan tu, baik Natrah tengok abang. Muka abang lagi handsome dari jalan tu, tau?” Hakim masih mencuba. Namun Natrah yang masih beku memanggil rasa janggal kembali dalam kereta itu.

Bik Yanti menyambut kepulangan Natrah dengan gembira. Tubuh langsing Natrah dipeluk erat. Hakim hanya memandang gelagat mereka sambil tersenyum. Tabah benar isterinya. Masih mampu tersenyum meski hati memberat dengan luka yang tidak mampu dipikul. Walau senyuman itu hanya satu kepura-puraan.
   “Helmi mana, bik?” Soalan Hakim mematikan senyuman Bik Yanti. Natrah turut memakukan pandangannya pada Bik Yanti yang jelas kelihatan serba-salah.
   “Kenapa, bik?” Hakim dan Natrah sudah berkerut melihat kelakuan Bik Yanti yang tergagap-gagap sedari tadi.
   “Itu… Itu… Deng Helmi itu… Udah pindah.” Akhirnya terluah juga dari bibir Bik Yanti. Dia tidak mahu bercerita lebih-lebih apa yang dia saksikan. Biarlah Dato’ Syukor sendiri yang membuka cerita itupun jika lelaki itu cukup kuat. Peristiwa beberapa hari lepas di hospital kembali bermain dalam memorinya.
   “Pindah?” Hakim bersuara dengan nada yang agak tinggi. Matanya membulat seketika. Hakim dan Natrah saling bertukar pandangan.

Dua hari sebelumnya…
“Abah… Ampunkan Helmi, bah. Helmi tak sedar masa tu. Helmi tak tahu apa yang Helmi buat.” Merah wajah putih bersih Helmi. Air matanya sudah banyak tumpah hari ini. Pekung yang selama ini disimpan erat akhirnya terbuka jua. Helmi cuba menggapai tangan abahnya yang langsung tidak memandangnya. Namun tangan tua itu pantas menepis.
   “Abah… Helmi nak bertanggungjawab dengan perbuatan Helmi. Helmi nak ambil Natrah jadi isteri Helmi. Helmi janji Helmi akan tebus dosa Helmi pada Natrah.” Helmi melutut pada ayahnya yang masih diam di atas katil hospital.
   “Bertanggungjawab? Dengan cara hancurkan rumah tangga abang kau? Tak cukup lagi ke dosa yang kau buat? Hah! Helmi?” Terjengil mata Dato’ Syukor memandang Helmi yang sudah menunduk. Walaupun dia sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan namun penangan yang dirasakan lebih dasyat dari yang dia sangka mendengar pengakuan anaknya. Dia tidak dapat menyelindung rasa kecewanya.
   “Abah, Natrah tak bahagia dengan Hakim. Abah tahu macam mana layanan Hakim pada Natrah, kan?” Dato’ Syukor tahu akan perkara itu. Tapi, dia juga tahu isi hati Natrah.
   “Habis, kau mampulah bahagiakan Natrah lepas apa yang kau buat pada dia? Mana kau tahu Natrah akan terima kau?” Dato’ Syukor melepaskan keluhan berat melihat Helmi yang diam tertunduk.
   “Abah tahu kau jahat… Kau nakal… Tapi abah tak pernah sangka sejauh ni kau boleh kecewakan abah.” Dato’ Syukor memejamkan matanya sejenak. Nafas dihela lembut. Getaran kecewa dalam jiwanya tergambar dalam kata-katanya.
   “Abah nak kau keluar dari rumah abah. Jauhkan diri dari Natrah…” Putus Dato’ Syukor. Pergilah, Helmi. Sungguh Dato’ Syukor tidak sanggup untuk melihat wajah anaknya saat ini. dia terlalu kecewa.




BAB 17

   Natrah tercegat memandang pintu bilik Helmi. Entah berapa lama lelaki itu menyepi. Helmi memang misteri dan sukar diagak. Kalau dulu, sepinya diubati Bik Yanti dan Helmi kini ruang sepi itu cuba diisi suaminya. Tapi, hatinya tetap beku walau sehangat mana pun cinta yang Hakim hulurkan padanya.
   “Apa Natrah buat termenung dekat sini? Kan badan tu tak berapa sihat lagi.” Lembut sahaja suara Hakim menyapa telinga Natrah. Tangan lelaki itu mendarat di bahu Natrah, namun sedikit pun tiada reaksi dari gadis itu.
   Hakim mendesah perlahan. Sudah beberapa hari Natrah membeku dengan layanannya. Malangnya, dia sendiri bukanlah pandai sangat memujuk. Naik buntu dia memikirkan kedinginan Natrah. Tapi dia tetap bersyukur kerana setidak-tidaknya Natrah tidak pernah meminta dia melafazkan talak.
   Hakim turut termenung memandang pitu bilik Helmi yang tertutup rapat. Yang adiknya lagi satu masalah. Ke manalah adiknya itu menyepi. Pergi tanpa khabar berita. Apa adiknya benar-benar serius menyuruhnya menceraikan Natrah. Hai… Hidup, kenapalah kau begitu mengelirukan.

Natrah merenung wajah suaminya yang telah jauh termenung. Natrah bergerak perlahan meninggalkan Hakim. Pelik benar suaminya itu. Sikit-sikit berangan. Dia ada depan mata pun, Hakim masih boleh berangan.
   Natrah melangkah masuk ke bilik Helmi. Kemas… Mujur ada Bik Yanti, jika tidak pasti bersawang bilik kosong itu. Susunan kertas di meja berdekatan tingkap menarik perhatian Natrah. Perlahan-lahan dia bergerak ke arah itu.
   Kertas-kertas di atas meja itu dibeleknya berhati-hati. Cantik… Dia tidak menyangka adik iparnya mempunyai bakat dalam bidang lakaran. Dia merenung satu-persatu lakaran di tangannya. Ada gambar permandangan, gambar laluan trafik malah gambar keluarga mereka termasuk Bik Yanti juga ada.
   Bibir Natrah sedikit terjongket melihat gambar Bik Yanti yang mencebik bibir. Namun senyumannya mati saat matanya tertancap pada gambar yang seterusnya. Dahinya berkerut seribu. Dia pasti lakaran itu adalah lakaran wajahnya. Tanpa tudung… Apa semua ini? Mengapa Helmi melukis gambarnya?
   Natrah kemudiannya melipat kertas putih itu. Dia bercadang mahu menyimpan sahaja lakaran itu. Dia berdiri lama-lama pun di situ, soalan yang bermain di benaknya tidak akan terjawab dengan sendirinya.

Hakim merenung wajah isterinya yang ayu. Dia tahu Natrah hanya berpura-pura tidur kerana malas melayannya. Tadi pula dia boleh terleka berangan hingga tidak sedar Natrah sudah meninggalkannya tercegat di depan bilik Helmi seorang diri.
   “Sayang, ubat tak makan lagi… Bangunlah dulu.” Hakim menarik lembut lengan Natrah.
   Malas benar rasanya mahu bangun. Natrah hanya berbaring di dalam bilik. Bila Hakim masuk sahaja, dia terus berpura-pura tidur. Kalau tidak, Hakim akan lebih galak mengusiknya tidakpun, suaminya akan terus-terusan meminta maaf. Dia masih belum bersedia menghulur kemaafan.
   “Kenapa isteri abang ni… Tak sedap badan ke?” Hakim melabuhkan punggung di sebelah Natrah yang masih berbaring. Dahi Natrah yang berkerut itu ditekan perlahan dengan jari telunjuknya.
   Natrah menepis perlahan tangan Hakim. Lemas pula asyik diganggu lelaki itu. Ubat yang dihulur Hakim disambut lalu ditelan. Selesai semuanya dia kembali berbaring.
   “Lah… Baring balik budak ni. Abang bosan ni, jom la teman abang tengok TV ke, apa ke…” Hakim berterus-terusan mengongoi.
   Natrah membuka bulat matanya. Dia mendengus kasar sebelum duduk betul-betul bertentangan dengan Hakim.
   Hakim tergelak melihat reaksi Natrah. Comel sungguh di matanya. Bibir Natrah yang mencebik dikepitnya.
   Natrah merenung tajam wajah suaminya. Sakit hatinya melihat Hakim masih mampu ketawa dan bergembira. Apa suaminya itu sudah lupa dengan kejadian itu. Kerana lelaki itu, dia kehilangan anaknya. Satu-satunya tonggak hidup dia. Kemanisan dalam kepahitan hidupnya.
   Setitik demi setitik air mata Natrah mula mengalir. Terkedu Hakim melihat keadaan Natrah. Sangkanya emosi Natrah sudah mula stabil akhir-akhir ini ternyata sangkaannya meleset.
   Hakim menyeka air mata isterinya, namun Natrah menepis tangannya lalu meninggalkan dia seorang diri termangu di atas katil. Dia menuruti langkah Natrah dari belakang. Mahu dipujuk risau makin kuat tangisan isterinya.

Natrah mengetuk pintu bilik Dato’ Syukor. Dia tiba-tiba terasa ingin memeluk bapa mertuanya itu. Menumpahkan segala air mata dan rasa pedihnya ke bahu Dato’ Syukor.
   Dato’ Syukor membuka pintu biliknya. Terkejut dia apabila melihat Natrah tercegat di depan pintunya. Tambah terkejut dia saat menantunya mendadak memeluknya. Dia memandang Hakim yang berdiri di belakang Natrah, hanya memerhati.
   Bahu Natrah yang terhingut-hingut diusap lembut. Tumpah kasih seorang ayah di situ. Dia yakin Natrah teringat akan anaknya. Tiada apa yang boleh dilakukan. Nasi sudah menjadi bubur. Dan yang bersalah dalam hal ini, yang bertanggungjawab membawa kawah derita dalam diri Natrah adalah keluarganya.
   “Sayang, dah malam ni. Biar abah rehat. Abah bukannya sihat sangat pun.” Hakim cuba memujuk Natrah. Dia cuba menarik isterinya itu dari pelukan Dato’ Syukor tapi sedikit pun gadis itu tidak berganjak. Keras juga hati gadis selembut Natrah ni.
   Dato’ Syukor meleraikan pelukan Natrah. Wajah Natrah yang basah dengan air mata itu direnung. Pahit sekali melihat gadis itu telah banyak disakiti anak-anaknya. Sampai mati pun dia rasa bagai tidak mampu membasuh dosanya pada anak itu.
   “Natrah nak tinggalkan Hakim?” Tersentak Hakim mendengar bicara Dato’ Syukor.
   “Abah! Apa abah cakap ni?” Jantung Hakim sudah berdebar tidak menentu. Bagaimana jika Natrah mengiakan pertanyaan Dato’ Syukor? Sanggupkah dia menghadapi kehilangan Natrah dari hidupnya. Rasanya dia lebih rela mati. Dia baru sahaja ingin menaburkan semua kasih yang selama ini dia pendam dan nafikan.
   “Natrah nak tinggalkan Hakim?” Sekali lagi soalan itu diajukan kepada Natrah. Kalau terus-terusan hati gadis itu direnyuk dan diinjak, lebih baik Natrah menjauhkan diri dari keluarganya. Bina hidup yang baru.
   Natrah terkedu dengan soalan mendadak Dato’ Syukor. Suaminya yang sudah tersandar di dinding direnung sebentar. Dia dapat lihat ketakutan dalam mata lelaki itu. Takut akan kehilangannya. Natrah menelan liur. Walau sekejam mana lelaki itu, mampukah dia menafikan rasa cinta dan kasih buat suaminya. Dia keliru.
   Dato’ Syukor seolah-olah membuka jalan keluar dari penderitaannya. Dalam masa yang sama dia turut nampak kebahagiaan yang boleh dia kecapi bersama Hakim seandai dia mampu memaafkan. Kini pilihan di dalam tangannya.






BAB 18

Natrah termenung di dalam kereta. Lama betul Hakim membeli air. Dia membuka tingkap keretanya lalu menongkat dagu memerhatikan kereta yang banyak lalu-lalang di jalan. Tiada apa yang mampu menarik perhatiannya.
   Tiga hari yang lepas, dia telah menerima cadangan Dato’ Syukor untuk berbulan madu bersama Hakim setelah puas suaminya memujuk rayu itupun dengan syarat mereka berbulan madu di rumah anak yatim yang pernah menjadi rumahnya. Memang tak pernah dibuat orang. Natrah tersenyum sendiri.
   Dia mahu Hakim merasai kehidupannya suatu masa dahulu. Bagaimana anak-anak sepertinya membesar tanpa kasih-sayang ibu dan bapa hingga melatih ketabahan dalam hati setiap mereka. Dia tidak terkecuali.

Tiga hari sebelumnya…
“Natrah nak tinggalkan Hakim?” Lama Natrah tidak bereaksi pada soalan itu. Dia memandang Dato’ Syukor sekilas lalu merenung ke arah Hakim yang jelas kelihatan sangat terkejut. Mereka berbalas renungan. Satu rasa yang sukar dijelaskan timbul dalam dirinya.
   Seketika, dia kembali merenung Dato’ Syukor sebelum tertunduk memandang lantai. Dia tidak tahu samada keputusan ini betul atau tidak. Tapi, dia harus mencuba.
   Hakim meraup mukanya. Melihat reaksi Natrah yang terdiam agak lama, hatinya mula diasak pelbagai andaian buruk. Walauapapun, dia sememangnya telah banyak menyakiti gadis itu. Dia harus bersedia dengan sebarang kemungkinan. 
   Gelengan perlahan oleh Natrah membuat mata Hakim kembali bercahaya. “Alhamdulillah! Terima kasih, Natrah,. Terima kasih. Ya Allah… Isteri abang… Terima kasih.” Hakim memeluk erat tubuh Natrah. Allah mengabulkan doanya. Natrah masih memilih untuk bersamanya. Dia berjanji yang dia tidak akan biarkan Natrah menyesali keputusannya malam itu.

Lamunan Natrah terganggu saat melihat Hakim menuju ke arahnya sambil tersenyum. Hakim mengenyitkan mata ke arahnya. Memang kacak, mahu cair hatinya namun dia tidak membalas sebaliknya dia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Bukan menjual mahal, cuma dia masih belum dapat menerima Hakim sepenuhnya.
   Natrah menjeling sekilas suaminya. Hairan pula melihat langkah suaminya tiba-tiba terhenti.Matanya terarah pula pada susuk tubuh yang semakin mendekati Hakim. Rasanya dia kenal gadis yang melekat di kornea matanya. Dia pasti!

“Sayang.” Hakim berpaling sebaik mendengar suara Rossa. Bagaimana Rossa boleh berada di situ? Hatinya mula resah membayangkan reaksi Natrah sedang gadis itu masih belum menerimanya sepenuhnya. Dia takut usahanya untuk menawan hati Natrah akan menjadi sia-sia dengan kehadiran Rossa.
   Rossa menerpa tubuh sasa Hakim. Tubuh lelaki itu dipeluk erat. Dia tahu isteri Hakim pasti sedang memerhati. Dia telah mengekori pasangan itu sejak dari rumah mewah itu lagi. Dia tidak akan mengalah semudah itu. Hakim terlalu sempurna untuk dilepaskan pada perempuan lain.
   Sakit mata Natrah melihat kelakuan perempuan itu. Tidak sedarkah perempuan itu bahawa lelaki yang dipeluknya itu adalah suami orang. Tiada maruahkah perempuan itu?
   Natrah segera keluar dari kereta lalu melangkah laju mendekati suaminya. Dia memegang tangan suaminya manakala tangan kirinya menolak kuat bahu Rossa hingga gadis itu terdorong ke belakang. Entah dari mana dia mendapat kekuatan itu pun dia tidak tahu.
   Jelas wajah tidak puas hati Rossa. Hakim yang terkejut dengan tindakan mendadak Natrah sudah bulat matanya memandang isterinya. Natrah yang lemah-lembut bertindak sebegitu? Cemburukah isterinya itu? Senyuman bahagia mula terukir di wajah Hakim. Cemburu tandanya sayang.
   “Eh perempuan! Kau cari pasal dengan aku ni apasal, hah?” Lantang suara Rossa menengking Natrah. Namun Natrah hanya diam. Hanya matanya meluah bicara. Renungan Natrah bagi Rossa sangat menyakitkan hati. Mata gadis itu seolah-olah merendahkannya. Dia tidak dapat terima itu!
   Tangannya mula naik mahu menampar pipi gebu Natrah. Mujur sahaja Hakim lebih pantas bertindak. Tangan Rossa ditepis kasar. Natrah tetap merenung tajam Rossa. Jangan sangka dia takut dengan tindakan kasar Rossa. Hanya pengecut seperti Rossa yang akan bertindak menggunakan kekerasan dan bukannya akal.
   “Apa hak you nak tampar isteri I?” Hakim mengunjukkan jari telunjuknya tepat ke muka Rossa. Sakit hatinya melihat Rossa cuba menyakiti wanita yang dia cintai. Natrah sudah ditarik dalam pelukannya. Takut juga kalau Rossa bertindak lebih nekad. Bukan sehari dua dia mengenali gadis itu.
   Berkerut dahi Natrah dengan tindakan Hakim. Terharu pun ada mendengar kata-kata suaminya itu. Dia diam sahaja dalam pelukan Hakim. Kalau sebelum ini pasti dia akan meronta ingin melepaskan diri tapi tidak kali ini.
   Hakim membawa Natrah meninggalkan Rossa yang sudah tidak teratur nafasnya dijilat api kemarahan. Rossa memandang kedua-duanya meninggalkannya begitu sahaja dengan dendam yang membara dalam dirinya. Suatu hari nanti mereka akan menerima balasan memperlekehkannya begitu. Dia berjanji!

“Ni mesti dia ikut kita. Dia tu memang psyco.” Hakim mendengus. Dia memandang ke arah Natrah. Pandangan Natrah hanya terarah ke jalan. Malas dia mahu melayan. Hakim berdehem melihat Natrah yang tiada tanda mahu bereaksi.
   “Tapi, abang bahagia juga Rossa datang tadi.” Hakim membuat suara nakal. Dia dapat melihat renungan maut isterinya. Rasa mahu terburai tawanya namun tetap ditahan. Dalam beku-beku isterinya itu, dia dapat rasakan hati Natrah sudah mula mencair dengan kehangatan cinta darinya.
   “Dapat juga abang tengok isteri abang cemburu.” Hidung kecil mancung Natrah dicuit. Kemudian ibu jarinya dilekap pada bibir merahnya sebelum mendarat di bibir mungil Natrah lalu di bawa semula ke bibirnya. Terus tawanya meletus melihat wajah Natrah yang kian memerah. Keras manalah hati seorang perempuan ditambah lagi isteri sebaik Natrah.

BAB 19

“Ya Allah. Sampai juga anak ibu.” Farida segera mendapatkan Natrah. Sudah lama rasanya mereka tidak bertemu muka. Selepas kejadian itu, ada sekali-sekala dia menjenguk Natrah. Tetapi selepas perkahwinan Natrah, mereka semakin sibuk dengan hidup masing-masing. Cuma dia tetap tidak lokek berdoa untuk kebahagiaan anak malang itu.
   Natrah rindu sangat dekat ibu.
   “Ibu pun rindu dekat anak ibu ni.” Kedua-dua belah pipi mulus Natrah dikucup penuh kasih. “Hah, jom masuk. Hakim pun. Ibu dah kemas bilik untuk korang.” Farida memimpin tangan Natrah ke bilik yang didiami oleh warden yang bekerja dirumah anak yatim itu. Walaupun agak kecil namun masih begitu kemas dan teratur.
   “Natrah dengan Hakim rehat dulu. Nanti jangan lupa keluar makan malam dengan semua. Ibu nak keluar dulu. Ada kelas lepas ni.” Pipi mulus Natrah sekali lagi dikucup. Gadis itu hanya mengangguk faham. Ringan sedikit beban rindu pada Farida yang ditanggungnya.

Baru sahaja Hakim mahu menyusun barang-barang yang dibawanya, Natrah terlebih dahulu menghalang. Bagi Natrah itu adalah tugasnya sebagai seorang isteri.
   “Bagi abang tolong sekali.” Hakim cuba mengambil pakaian dari tangan Natrah. Natrah menggelengkan kepalanya lalu meneruskan kerjanya. Dia dapat menangkap keluhan halus suaminya yang mula bergerak ke katil. Dia tahu suaminya penat memandu. Agaknya suaminya turut terasa hati dengan kedinginannya.
   Natrah meletakkan baju yang dipegangnya lalu berjalan mendekati Hakim yang duduk bermasam muka di atas katil. Hakim mendongakkan kepalanya memandang isterinya yang sudah tercegat di hadapannya dengan kehairanan.
   Tersentak dia saat tangan Natrah mendarat di bahunya. Terasa bahunya ditolak perlahan hingga tubuhnya berbaring di atas katil. Natrah kembali tegak. Kerut di dahi Hakim berganti dengan senyuman nakal melihat Natrah yang sedang sibuk menulis sesuatu di memonya. Akal lelakinya mula memikirkan perkara yang bukan-bukan walaupun dia merasa pelik dengan tindakan Natrah.
Awak kan penat bawa kereta. Awak rehatlah. Biar saya kemaskan.
“Lah… Ingatkan Natrah nak baring sekali. Lepas tu…” Ayatnya sengaja dibiar tergantung. Matanya dikenyitkan ke arah Natrah cuba menggoda isterinya.
   Terasa panas muka Natrah. Mahu mati sakit jantung dia menahan debaran apabila hari-hari digoda Hakim sebegini. Dengan sikap Hakim yang begitu, dia mungkin akan kembali tewas pada suaminya itu. Natrah merasa hatinya seperti bukan lagi haknya sendiri sebaliknya diserahkan sepenuhnya pada suaminya.
   Dalam kalut hatinya itu, Natrah kembali bersimpuh menyambung kerjanya. Dari ekor matanya, dia tahu Hakim memerhati setiap perbuatannya sambil tersenyum penuh makna namun sengaja dia membiarkan.

“Kak Natrah!” Kelihatan seorang kanak-kanak kecil berlari ke arahnya lalu terus memeluk erat tubuh Natrah diikuti beberapa kanak-kanak lain.
   Hakim tersenyum melihat telatah anak-anak kecil itu. “Ni boyfriend akak, ya?” Salah seorang kanak-kanak bertanya sambil memandang ke arah Hakim. Natrah hanya membalas dengan senyuman.
   Kanak-kanak perempuan itu kemudian mendekati Hakim manakala rakan-rakan yang lain hanya memandang dari sisi Natrah. “Abang dah kiss-kiss dengan Kak Natrah ke?” Kepetahan kanak-kanak bernama Fatin itu mengundang tawa Hakim. Namun Fatin tetap mengekalkan wajah seriusnya manakala mata Natrah membuntang dengan pertanyaan kanak-kanak itu.
   “Abang memang nak kiss-kiss kakak, tapi kakak tak nak.” Hakim sengaja membuat muka sedih di hadapan Fatin sambil tubuh kecil itu diangkat. Mengekek kanak-kanak itu saat diagah Hakim.
   Natrah segera mencubit pinggang Hakim hingga suaminya mengaduh keperitan. Ada pula Hakim ni cakap yang bukan-bukan dengan budak kecil. Tidak patut betul!

“Seronok juga kawasan sini. Nyaman.” Udara di pantai Terengganu yang betul-betul terletak di belakang rumah anak yatim itu benar-benar menenangkan minda.Suara gelak tawa kanak-kanak tadi sayup-sayup kedengaran diselangi bunyi ombak menghempas pantai.
   Natrah merenung wajah Hakim yang menikmati udara nyaman di situ sambil memejamkan mata. Dia meneliti wajah suaminya. Dia paling suka melihat bibir Hakim yang begitu merah semulajadi. Kulitnya juga putih bersih.
   Natrah tersenyum memerhati wajah kacak suaminya. Pandangannya kembali ke arah pantai yang indah.  Senyumannya mati saat terasa genggaman hangat tangan Hakim. Kornea matanya kembali melekat di wajah Hakim yang masih kelihatan bersahaja. 
   Natrah cuba menarik kembali tangannya. Makin kejap pula genggaman suaminya. “Cubalah duduk diam sikit. Karang abang peluk pula baru tahu.” Terus senyap Natrah mendengar ugutan Hakim. Namun sebentar cuma. Dia kembali meronta kecil.
   Langkah Hakim mati. Dia tegak berdiri menghadap Natrah yang kembali senyap. Nak marah juga bila Natrah masih berdegil namun melihat wajah comel isterinya itu, surut kembali amarahnya. Idea nakal pula yang timbul dalam kepalanya.
    Tubuh Natrah dicempung lalu dibawa ke gigi air. Kuat rontaan Natrah namun sedikitpun tidak berjaya menewaskan Hakim. Dalam beberapa saat, tubuhnya telah lenjun dengan air laut, begitu juga dengan Hakim.
   Natrah mencebik. Matanya memandang tajam Hakim yang galak tertawa. Seketika tawa Hakim mula reda. Hakim mendekati Natrah lalu dahi gadis itu dikucup penuh kasih buat kali pertama. Terpana Natrah dengan tindakan tiba-tiba Hakim.
   “Natrah kena biasakan. Lepas ni, sini, sini, sini dengan sini abang cium.” Hakim mengunjuk ke arah kedua-dua belah pipi, hidung dan akhir sekali bibir mungil Natrah. Tawanya meletus kembali.



BAB 20

Natrah membuka matanya. Dia memandang ke sebelahnya lalu ke seluruh bilik. Kelibat Hakim tiada. Natrah bangun dari katil lalu melangkah ke jendela. Langsir disingkap. Langit petang yang memerah kelihatan indah sekali.
   Natrah bergerak pula ke bilik air. Dia berdiri dihadapan cermin. Pantulan wajahnya di cermin direnung dalam. Tangannya mengusap lembut dahinya. Rasa bagai hangat kucupan suaminya masih terasa. Senyuman manis tergaris di bibirnya.
   “Ya Allah!” Tersentak Natrah saat dia hampir tergelincir. Bulat matanya mendengar suaranya sendiri. “Aku… Ya Allah… Aku boleh… Huh… Boleh bercakap! Alhamdulillah ya Allah. Alhamdulillah!” Tersekat-sekat suaranya. Rasa semuanya bagai mimpi.
   Natrah segera mencapai tudungnya lalu melakukan sujud syukur. Betapa rahmat Allah datang tanpa dijangka. Sungguh kita tidak mampu menduga takdir yang Allah tetapkan. Air mata Natrah mengalir membasahi pipinya yang memerah. Tidak lain tidak bukan air mata kegembiraan…
   Selesai memanjatkan kesyukurannya pada Yang Maha Esa, Natrah melangkah keluar dari bilik. Kini dalam otaknya dipenuhi suaminya, Hakim. Matanya melilau mengikut arah langkahnya sementara mindanya sibuk merangka ayat pertama yang akan diucapkan pada Hakim. Ayat yang penuh makna…

Farida menegur Hakim yang dilihatnya jauh termenung melihat laut yang terbentang luas. Hakim tersenyum sambil menjawab salam wanita tua itu. “Jauh kamu termenung, Hakim. Fikir apa?” Farida berbasa-basi.
   “Tak ada apa-apalah Ummi. Saja berangan.” Hakim dan Farida serentak tertawa kecil. Kemudian kedua-duanya melayan perasaan sambil merenung keindahan ciptaan Tuhan. Hanya deruan angin dan bunyi ombak menghempas pantai menjadi peneman setia mereka.
   “Ummi, macam mana perwatakan Natrah sebelum ni?” Kesunyian antara mereka dipecahkan dengan soalan yang telah lama bermain dalam fikiran Hakim. Hakim memandang wajah wanita tua di sebelahnya. Rambutnya yang ditiup angin dirauk. Namun jambul yang menutupi keningnya kembali jatuh dan menari mengikut buaian angin.
   Lama Faridah termenung mendengar soalan mendadak Hakim. Tidak tahu mahu dimulakan dari mana. “Ummi…” Panggilan Hakim membuat Farida tersenyum mesra. Tidak sabar sungguh Hakim ini.
      “Natrah tu, tabah orangnya. Ibu dia meninggal masa umurnya setahun. Beberapa bulan kemudian, ayahnya pula meninggalkannya. Datuk dengan neneknya juga telah lama meninggal. Dia sebatang kara di dunia ni. Tapi, masa dia kena hantar dekat sini pun, dia tak pernah menangis. Bila dia rapat dengan ummi, dia tunjuk kenakalan dia. Kemanjaan dia. Natrah ikhlas dengan semua orang yang dia sayang.” Farida kembali memanahkan pandangannya ke laut sebelum menyambung bicara.
   “Sungguh, dia tidak pernah menyalahkan takdir. Walau bahagia macam mana pun, tapi Ummi tahu dia tetap rasa sunyi. Ummi selalu nampak Natrah merenung gambar ibu bapa dia. Tapi, derita Natrah tak berakhir setakat itu sahaja…” Suara Farida terasa seperti tersekat di kerongkong. Hakim tertunduk. Dia faham apa yang Farida maksudkan adalah kejadian hitam itu. Kalaulah wanita itu tahu layanannya pada Natrah pada awal perkahwinannya… ‘Ya Allah, ampunilah aku.’ Desah hati Hakim.
   “Ummi selalu doa segala dugaan akan berlalu dan Natrah jumpa kebahagian yang patut dia dapat.” Hakim dapat tangkap ada titisan jernih di tubir mata wanita yang semakin dimamah usia itu.
   Farida mengalihkan pandangannya dari laut yang terbentang luas ke wajah Hakim. Matanya memancar sinar harapan. Harapan untuk melihat Natrah bahagia.
   “Hidup Natrah jarang bahagia selalu derita. Ummi minta sangat dengan Hakim. Hakim jaga Natrah baik-baik. Secara luaran, mungkin dia nampak tabah. Tapi, realitinya dia sangat rapuh. Hati dia sedia dipenuhi parut sekarang ni mungkin dah berdarah semula lepas apa yang dia lalui. Hakim janji dengan Ummi.”
   Hakim mengangguk perlahan. “Ummi, Natrah itu cinta hati saya. Permaisuri hidup saya. Insyaallah saya akan cuba yang terbaik untuk dia.” Hatinya juga memang telah tekad untuk melimpahi hidup Natrah dengan kasih sayangnya hingga tiada lagi bahagian hati isterinya itu yang dibalut kesunyian.
   Bilalah agaknya dia akan dapat melihat kemanjaan dan keletah Natrah. Betapa dia berharap Natrah akan membuka semula pintu hatinya buat dirinya. Jika saat itu tiba, dia pasti hidup mereka akan disinari cahaya bahagia.
   “Isy… Lama sangat ummi dekat sini. Ummi nak balik dululah.” Jam di tangannya dikerling sekilas. Farida berlalu meninggalkan Hakim yang kembali termenung menikmati keindahan alam yang terbentang luas di hadapannya.
   Hakim melepaskan keluhan ringan. Sayangnya pada Natrah semakin lama semakin menggunung. Tapi, adakah Natrah akan menerima cintanya? Sungguh dia merasakan dosanya pada Natrah seolah-olah tidak terampun.
    Bagaimana dia boleh tergamak melukakan hati Natrah yang sedia parah itu… Dia malu mengenangkan perbuatannya.
    “Natrah, abang sayang sangat dengan Natrah…” Hakim bersuara separuh berbisik. Itulah rasa yang sering menghiasi ruang hatinya.








2 comments: